Parti Tindakan Rakyat (PAP) mempersoal keputusan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, untuk berkongsi pandangannya mengenai politik tempatan menerusi sebuah podcast di Malaysia.
Politik sepatutnya berakhir di sempadan negara, dengan hal ehwal domestik dibincangkan dan ditentukan oleh rakyat di Singapura, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh parti pemerintah itu pada 3 Julai.
PAP dalam kenyataannya itu berkata bahawa Encik Pritam telah memilih untuk berkongsi pandangannya mengenai politik tempatan menerusi saluran media luar negara, dan menyifatkan langkah itu sebagai “amat ketara”, memandangkan ia merupakan temu bual selepas pilihan raya yang paling menyeluruh oleh beliau.
Encik Pritam, yang mengetuai WP, tampil buat kali pertama dalam podcast Keluar Sekejap, sebuah podcast politik popular yang dikendalikan oleh mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, dan mantan Ketua Penerangan Umno, Encik Shahril Hamdan.
Memberikan maklum balas, Parti Pekerja (WP) menyatakan bahawa Encik Pritam bukan anggota eksekutif, yang terdiri daripada menteri Kabinet dan pemegang jawatan politik.
“Tiada sebarang konvensyen undang-undang yang telah dimaklumkan kepadanya yang mengehadkan kebebasan bersuara beliau, sama ada di dalam atau luar negara.
“Jika memang wujud garis panduan sedemikian, ia seharusnya diumumkan,” kata WP dalam satu kenyataan.
Sesi hampir dua jam itu, yang dirakam semasa Encik Pritam bercuti bersama keluarganya di Malaysia, telah dimuat naik ke YouTube pada 24 Jun, lapor akhbar, The Straits Times.
Podcast tersebut menyentuh pelbagai topik termasuk strategi WP semasa pilihan raya serta peranan parti itu dalam landskap politik Singapura.
Encik Pritam mengulangi pendiriannya bahawa WP memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada parti pemerintah, sejajar dengan selera pengundi Singapura masa kini.
Dalam kenyataan itu, PAP berkata: “Kami mempersoalkan mengapa Setiausaha Agung Parti Pekerja memilih untuk berbincang tentang politik Singapura di luar negara, kepada khalayak asing.
“Ini bukan sekadar soal memilih platform. Ia menyentuh satu prinsip asas, bahawa hal ehwal domestik Singapura seharusnya dibincang dan ditentukan oleh rakyat Singapura, di Singapura.”
PAP menambah bahawa prinsip itu bukanlah sesuatu yang baru.
Parti itu merujuk kepada anggota politik pembangkang, Encik Chiam See Tong, yang pernah menyatakan bahawa pembangkang di Singapura mesti “jujur... merupakan warga Singapura yang patriotik... dan tidak pergi ke seluruh dunia untuk mencemuh Singapura”.
Encik Chiam merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi Potong Pasir dari 1984 hingga 2011 dan merupakan salah seorang anggota politik pembangkang yang paling lama berkhidmat di Singapura.
PAP turut menyatakan bahawa kebimbangan pernah dibangkitkan mengenai interaksi lalu WP dengan Encik Noor Deros.
Guru agama Singapura yang berpangkalan di Malaysia itu “terkenal dengan pandangan yang bertentangan dengan komitmen Singapura terhadap kepelbagaian kaum dan keharmonian agama”, kata PAP.
PAP menambah bahawa Singapura dan Malaysia berkongsi hubungan sejarah yang rapat, “tetapi kami juga saling menghormati kedaulatan masing-masing”.
Dalam podcast tersebut, Encik Pritam telah ditanya mengenai isu pelbagai bangsa dan budaya di Singapura.
Antara lain, beliau berkata bahawa isu perkauman tidak seharusnya dijadikan alat untuk meraih keuntungan politik.
Dalam pada itu, WP berkata bahawa sambutan orang ramai di Singapura terhadap podcast tersebut adalah positif, dan menambah bahawa pemimpin PAP secara rutin memberikan temu bual dan berkongsi pandangan mereka mengenai hal ehwal domestik kepada media asing.
“Malah, ada di antara temu bual tersebut tular dan mendapat sambutan baik daripada penonton antarabangsa, sekali gus mengangkat imej PAP.
“Dalam keadaan sedemikian, tiada individu yang waras akan menuduh PAP terlibat dengan ‘campur tangan asing’ demi keuntungan parti itu,” kata WP.
Parti itu berkata bahawa anggota-anggota PAP telah bergambar bersama Encik Khairy semasa beliau berada di Singapura hujung minggu lalu.
WP mendakwa bahawa seorang anggota PAP, selepas menonton podcast tersebut, telah menyatakan bahawa “Pritam menunjukkan prestasi yang baik”.
“Tindakan ini akan mendorong rakyat Singapura untuk membuat kesimpulan yang tidak dapat dinafikan: Bahawa kemunculan Ketua Pembangkang di podcast itu tidak mempunyai kesan yang memudaratkan terhadap kepentingan nasional Singapura,” kata WP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg