Parti Pekerja (WP) telah bertindak pantas dan bertanggungjawab selepas maklumat rasmi mengenai dakwaan campur tangan asing dikeluarkan, kata Setiausaha Agung parti itu, Encik Pritam Singh.
Bercakap kepada media di Blok 201E Tampines Street 23 pada 28 April, Encik Pritam berkata parti itu hanya dimaklumkan tentang penglibatan individu asing berikutan kenyataan bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 25 April lalu.
Ia kemudian mengambil keputusan mengeluarkan maklum balas selewat-lewatnya pada keesokan hari (26 April), meskipun sedang sibuk dengan kempen pilihan raya.
Encik Pritam menjelaskan isu ini kepada media sebelum sesi bertemu dan mendekati penduduk di Tampines dimulakan.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, bersama pasukan WP di GRC Tampines yang terdiri daripada Naib Pengerusi WP, Encik Faisal Manap; Encik Jimmy Tan; Encik Michael Thng; Dr Ong Lue Ping; dan Cik Eileen Chong serta calon WP di SMC Tampines Changkat, Encik Kenneth Foo.
Encik Pritam, yang mengetuai pasukan WP di GRC Aljunied, menambah: “Kami menanganinya pada keesokan paginya walaupun semua pasukan kami menjalankan kempen yang berbeza.”
Menjelaskan bahawa WP tidak mempunyai pengetahuan mengenai individu tertentu yang terlibat sebelum kenyataan rasmi pihak berkuasa, Encik Pritam berkata beliau hanya “memahami terdapat beberapa individu daripada parti politik asing yang terbabit apabila kenyataan ELD-MHA dikeluarkan”.
“Saya tidak tahu siapa individu demikian (sebelum ini),” tambahnya.
Mengulas komen tentang WP lambat bertindak balas, Encik Pritam berkata dalam suasana kempen pilihan raya yang sengit, parti politik perlu menilai dalam memutuskan bila dan bagaimana untuk bertindak balas terhadap dakwaan berkenaan, khususnya dakwaan yang tersebar tanpa pengesahan.
Adalah tidak praktikal untuk mengeluarkan kenyataan sebagai tindak balas terhadap setiap dakwaan yang dibuat dalam talian atau oleh individu, tambahnya.
“Selalu timbul kebimbangan apabila seseorang membuat dakwaan, kemudian diikuti individu kedua dan ketiga.
“Jadi, adakah kita perlu bertindak balas kepada setiap individu yang mendakwa pernah bercakap dengan salah seorang daripada kita? Saya fikir ini adalah soal pertimbangan,” katanya lagi.
Mengenai campur tangan asing dalam politik Singapura itu, Encik Pritam berkata “kebimbangan itu nyata” dan itulah sebabnya beliau melanjutkan ucapan rapatnya di Tampines selama dua minit pada 26 April untuk memberi tumpuan terhadap isu tersebut.
WP secara mutlak menolak penglibatan mana-mana unsur asing dalam politik Singapura, tambahnya lagi.
Pihak berkuasa mengarahkan platform media sosial Meta untuk menyekat akses kepada hantaran Facebook dua pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seorang bekas rakyat Singapura yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Salah seorang daripada mereka telah menyatakan sokongan kepada Naib Pengerusi WP dan ketua pasukan WP di GRC Tampines, Encik Faisal Manap.
Secara berasingan, WP turut mempertikai dakwaan guru agama, Mohammed Noor Mohammed Deros, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Noor Deros, bahawa calon parti itu telah bersetuju mengemukakan keprihatinan yang dibangkitkan golongan asatizah, berhubung masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Dalam pada itu, Encik Pritam juga menjelaskan jika kesemua 26 calon pilihan raya WP dipilih ke Parlimen dalam pilihan raya kali ini, pemerintah masih mempunyai ruang bagi menangani isu seharian.
Jika warga Singapura mengundi semua calon WP ke Parlimen, nisbah Anggota Parlimen (AP) WP dengan AP parti pemerintah hanyalah dua atau tiga AP WP bagi setiap kumpulan sembilan AP parti pemerintah, tambahnya.
“Pemerintah mempunyai ruang yang cukup, kelonggaran yang cukup, tumpuan yang cukup untuk menangani isu-isu hari ini dan esok,” tambahnya, sebagai menjawab soalan media mengenai komen Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP), di Sekolah Rendah Fern Green, pada 27 April.
Encik Lee berkata pengundi tidak harus menentang PAP bagi memberi parti pembangkang lebih sedikit undi, dengan harapan dua atau tiga lagi anggota parti pembangkang menyertai Parlimen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg