Meskipun isu kaum dan agama kebelakangan ini telah dicampuradukkan dengan politik, ini bukan cara yang kita amalkan di Singapura, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Merujuk kepada hantaran di media sosial yang menyeru pengundi supaya memilih calon berdasarkan garisan kaum dan agama, beliau menegaskan bahawa berbeza dengan Malaysia, parti-parti politik di sini tidak diatur mengikut garisan sedemikian.
Disebabkan itu, Encik Lee berkata beliau hadir ke Tampines pada 29 April – selepas membuat lawatan bersama calon pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Aljunied di Bedok Reservoir – untuk menunjukkan sokongan kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Encik Masagos mengetuai pasukan PAP di GRC Tampines, yang berdepan dengan saingan daripada Parti Pekerja (WP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) dalam pertempuran empat penjuru yang jarang berlaku, lapor The Straits Times (ST).
Bercakap kepada media di luar sebuah pasar raya di Tampines Street 81, Encik Lee berkata walaupun Encik Masagos juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, beliau mewakili penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama di kawasan undi itu, selain “menjaga kepentingan semua rakyat Singapura” sebagai anggota Kabinet.
“Rakyat Singapura perlu faham perkara ini, dan juga perlu faham ‘permainan’ yang sedang dimainkan dalam talian,” katanya, sambil merujuk kepada hantaran Facebook oleh pihak asing yang cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura pada 3 Mei.
Pada 25 April, pihak berkuasa berkata mereka telah mengeluarkan arahan kepada Meta untuk menyekat akses kepada beberapa hantaran yang dibuat oleh dua ahli politik Parti Islam SeMalaysia (PAS) serta seorang bekas warga Singapura yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Bendahari Agung PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, telah meluahkan sokongan kepada Naib Pengerusi WP, yang juga calon GRC Tampines, Encik Faisal Manap, selain berkongsi beberapa hantaran lain yang menyokong ahli politik pembangkang lain dalam kalangan masyarakat Islam.
Seorang lagi individu, Encik Noor Deros – warga Singapura yang menggelar dirinya guru agama dan kini menetap di Malaysia – turut menamakan Encik Faisal sebagai calon yang patut dipilih.
Sementara itu, seorang bekas tahanan ISA, Encik Zulfikar Mohamad Shariff – yang kini merupakan warga Australia – telah mendakwa bahawa beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam di sini gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam, dan berkata masyarakat Islam tempatan tidak memerlukan seorang lagi AP Melayu yang tidak menyuarakan keprihatinan mereka.
Mengulas perkara itu, Encik Lee berkata:
“Kita satu rakyat, satu negara yang bersatu padu, dan kita tidak berpecah mengikut garisan kaum atau agama.
“Saya harap kita dapat terus bekerja dalam semangat ini demi kebaikan negara dan masa depan yang lebih cerah untuk semua (penduduk) di Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg