Parti Tindakan Rakyat (PAP) memilih jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang seterusnya tanpa muka baru, dengan kader parti mengundi bagi pasukan kepimpinan baru itu semasa persidangan parti yang diadakan pada 25 Oktober.

Seramai 12 anggota dipilih dan dua dilantik menganggotai CEC ke-39 bagi penggal 2027 hingga 2028 – iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti pemerintah itu.

Pengerusi parti, Encik Desmond Lee, mengumumkan senarai nama anggota tersebut yang buat kali pertamanya termasuk Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat – yang sebelum ini dilantik ke dalam CEC lalu pada 2024.

Selain Encik Chee, anggota lain yang dipilih – sebahagian besarnya merangkumi pemimpin pasukan generasi keempat (4G) – termasuk Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong; Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Kewangan merangkap Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah; Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; dan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng; dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, dilantik ke dalam jawatankuasa itu setelah meraih jumlah undi ke-13 dan ke-14 yang tertinggi.

Ini merupakan pemilihan CEC yang pertama bagi setiausaha agung PAP, Encik Wong, sejak menerajui partinya dalam Pilihan Raya Umum sebagai perdana menteri pada 2025.

Kesemua 14 nama itu merupakan antara 19 calon yang didedahkan oleh parti itu bagi kader pertimbangkan untuk undian pada pagi tersebut.

Lima nama yang lain termasuk menteri penggal pertama, Encik Jeffrey Siow dan Cik Jasmin Lau; Encik Alex Yam, Cik Sim Ann dan Cik Josephine Teo.

Semasa berucap di persidangan itu, Encik Wong berkata parti itu tidak boleh mengharapkan rakyat Singapura yang lebih muda merasai ikatan yang sama dengannya semata-mata atas jasa lalu, sebaliknya mesti berhubung dengan mereka mengikut cara tersendiri.

“Mandat kukuh yang kami terima pada pilihan raya lalu tidak menjamin sokongan berterusan.

“Kita mesti terus meraih kepercayaan rakyat Singapura melalui apa yang kita laksanakan, cara kita membawa diri, dan sejauh mana baiknya kita berkhidmat kepada rakyat Singapura.”