Topik diikuti
Pergi ke BHkuPapan tanda baru Laluan Circle papar laluan ikut arah putaran jam dan bertentangan di 4 stesen
Papan tanda baru Laluan Circle papar laluan ikut arah putaran jam dan bertentangan di 4 stesen
Papan tanda baru Laluan Circle papar laluan ikut arah putaran jam dan bertentangan di 4 stesen
Papan tanda arah baharu yang menunjukkan laluan ikut arah putaran jam (’clockwise’) dan arah bertentangan putaran jam (’anticlockwise’) dipasang di empat stesen Laluan Circle (CCL), iaitu Promenade, Esplanade, Buona Vista dan Paya Lebar pada 29 Mei.
Ia akan diperkenalkan secara berperingkat di semua stesen CCL.
Papan tanda tersebut diperkenalkan sebagai persediaan bagi peralihan CCL menjadi satu gelung lengkap apabila tiga stesen baharu CCL, Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road, dibuka pada 12 Julai.
Stesen-stesen baharu itu akan melengkapkan laluan antara HarbourFront dengan Marina Bay sekali gus menyempurnakan fasa keenam peluasan CCL.
Memandangkan laluan itu akan beroperasi sebagai satu gelung tertutup, arah perjalanan tren tidak lagi dikenal pasti berdasarkan stesen penamat sahaja.
Sebaliknya, penumpang perlu mengenal pasti sama ada laluan tren itu bergerak mengikut arah putaran jam atau bertentangan arah putaran jam.
Tren yang melalui keseluruhan gelung utama akan memaparkan tanda yang mengandungi perkataan ‘loop’ (gelung), iaitu ‘clockwise loop’ (gelung arah putaran jam) dan ‘anticlockwise loop’ (gelung bertentangan arah jam), serta ‘via (next interchange)’ atau menerusi pusat tukaran selanjutnya, bagi membantu penumpang mengenal pasti arah perjalanan tren.
Contohnya, tanda tertera bagi tren yang bergerak dari Bayfront ke Stadium adalah ‘Anticlockwise loop via Promenade’ atau (Gelung bertentangan arah jam menerusi Promenade).
Jika perkataan ‘loop’ tidak dipaparkan, ini bermakna tren tersebut akan berhenti di stesen tertentu dan tidak melalui keseluruhan gelung.
Stesen penamat juga akan dipaparkan pada papan tanda.
Stesen Esplanade, Bras Basah dan Dhoby Ghaut, yang berada di cabang berasingan dari gelung utama di stesen Promenade, juga tidak akan memaparkan perkataan ‘loop’ pada papan tanda.
Antara papan tanda yang dikemas kini termasuk papan tanda statik yang memaparkan laluan tren di platform dan di dalam tren, paparan digital ketibaan tren, serta pengumuman awam di stesen.
Bagaimanapun, Encik Brian Ho, 37 tahun, yang kali pertama melihat sistem baharu itu di stesen Promenade, berkata papan tanda tersebut “agak kecil” dan “mengelirukan”.
“Mereka patut kekalkan reka bentuk lama dan hanya tambah arah perjalanan (mengikut arah putaran jam atau bertentangan arah jam) pada papan tanda,” katanya.
Seorang lagi pengguna kali pertama, Von Garcia, 16 tahun, berkata papan tanda itu kelihatan asing, namun mudah difahami apabila penumpang membacanya dengan lebih teliti.
Beliau menambah bahawa penumpang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem baharu itu.
“Ia perkara biasa kalau ada sedikit bantahan pada peringkat awal,” katanya.
Sejak 2024, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mendapatkan pandangan lebih 50 pihak berkepentingan, termasuk kakitangan stesen, penumpang termasuk pekerja, pelajar, warga emas dan individu kurang upaya, bagi memahami cabaran penumpang ketika menggunakan CCL.
Selepas mengambil kira maklum balas tersebut dalam reka bentuk yang dicadangkan, LTA mengundang orang ramai memberikan pandangan mengenai papan tanda penunjuk arah baharu itu menerusi satu tinjauan selama empat hari pada Mac 2025. Tinjauan tersebut menerima lebih 3,000 maklum balas.
Menurut LTA, hasil tinjauan menunjukkan ramai lebih gemar dengan penggunaan istilah ‘clockwise loop / anticlockwise loop’ (gelung ikut arah putaran jam/ gelung bertentangan arah jam) berbanding ‘inner loop / outer loop’ (gelung dalaman/gelung luaran) bagi menggambarkan perkhidmatan bergelung itu. Penumpang juga lebih menyukai reka bentuk papan tanda yang seragam di kesemua titik sentuh panduan perjalanan.
Bagi memastikan peralihan berjalan lancar, kakitangan LTA akan berada di empat stesen tersebut dari 29 hingga 31 Mei untuk membantu penumpang memahami papan tanda baharu itu.
Risalah juga akan diedarkan dan boleh didapati di pusat khidmat penumpang.
Penumpang juga boleh merancang perjalanan mereka secara maya menerusi pengalaman panduan arah baharu di lta.gov.sg/cclwayfinding untuk membiasakan diri dengan sistem tersebut.
Pengguna boleh memilih stesen permulaan dan destinasi serta melihat papan tanda yang perlu diikuti bagi laluan paling cekap.
Sedang papan tanda baharu itu diperkenalkan secara berperingkat di semua stesen CCL, LTA akan terus mendapatkan maklum balas bagi menambah baik kejelasan papan tanda dan keseluruhan pengalaman perjalanan di laluan tersebut.
Apabila siap sepenuhnya, CCL akan mempunyai 33 stesen dengan jarak keseluruhan sepanjang 39 kilometer.
