Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiasatan menyeluruh ke atas insiden kematian lelaki di landasan LRT
Siasatan menyeluruh ke atas insiden kematian lelaki di landasan LRT
Siasatan menyeluruh ke atas insiden kematian lelaki di landasan LRT
Siasatan rasmi sedang dijalankan terhadap langkah keselamatan dan protokol tindak balas, selepas insiden tragis seorang lelaki maut terjatuh ke landasan LRT di Bukit Panjang.
Dalam jawapan media pada 21 Mei, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengesahkan siasatan akan meneliti secara terperinci “kecukupan serta kesesuaian langkah keselamatan dan proses tindak balas insiden” yang wujud.
Tragedi ini menimpa Encik Loh Hee Chen, 68 tahun, pada subuh 18 Mei; beliau terjatuh di hadapan tren yang menghampiri di laluan BPLRT, lantas melumpuhkan operasi antara Senja dan Bukit Panjang selama empat jam. Sementara itu, pihak polis turut menjalankan siasatan.
“Berdasarkan hasil siasatan, langkah lanjut akan diambil jika perlu bagi meningkatkan keselamatan penumpang,” kata jurucakap LTA.
Keluarga Encik Loh, seperti yang dilaporkan media berbahasa Cina, menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan platform LRT, termasuk jurang antara penghadang platform dan fungsi sistem pengesanan halangan pada tren tanpa pemandu.
LTA dan pengendali rel sedia maklum tentang risiko penumpang terjatuh ke landasan MRT dan LRT.
LTA menjelaskan bahawa semua stesen bawah tanah mempunyai pintu skrin platform penuh, sementara pemasangan pintu skrin separuh tinggi di stesen atas tanah Laluan Timur-Barat (EWL) dan Laluan Utara-Selatan (NSL) telah bermula pada 2009.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) menjelaskan bahawa pintu skrin tidak dapat dipasang di stesen LRT tanpa pemandu akibat kekangan fizikal. Pintu Skrin Platform (PSD) memerlukan penyelarasan yang tepat dengan sistem isyarat tren.
Kegagalan penyelarasan ini boleh mencetuskan risiko keselamatan tambahan, contohnya pintu terbuka walaupun tren tiada di platform.
Ini kerana platform LRT jauh lebih kecil berbanding MRT, justeru ruang yang ada tidak mencukupi untuk memasang peralatan dan kabel PSD tanpa mengganggu ruang penumpang.
LTA pengendali rel sentiasa berusaha meneroka teknologi baru bagi mengatasi batasan ini.
Sejak 2018, semua stesen LRT telah dilengkapi dengan penghadang tetap (pemasangan bermula 2015), serta penanda amaran sentuhan di platform untuk memberi peringatan kepada penumpang yang menghampiri tepi landasan.
“Baru-baru ini, LTA dan pengendali rel turut menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) dan analitik video untuk memberi amaran segera apabila seseorang melepasi penghadang tetap dan memasuki landasan LRT. SMRT memasang sistem iSafe di stesen BPLRT pada 2023, manakala sistem serupa turut dipasang bagi LRT Sengkang-Punggol (SPLRT),” kata LTA.
Mendiang Encik Loh, seorang pengurus sekolah rendah di Sengkang, dikenali sebagai individu yang sangat berdedikasi, sering menaiki tren pertama demi menjadi orang yang paling awal tiba di sekolah, menurut laporan media.
Keadaan beliau dikaitkan dengan serangan pening secara tiba-tiba akibat paras gula rendah, tanpa sebarang masalah kesihatan lain.
Anggota Parlimen (AP) Holland-Bukit Timah, Encik Edward Chia, berkata dalam catatan Facebook pada 20 Mei beliau menghadiri upacara penghormatan terakhir Encik Loh dan berbual dengan keluarga mendiang membangkitkan kebimbangan mereka.
Beliau memberi jaminan untuk menyampaikan segala isu yang dibangkitkan kepada agensi berkaitan sambil menanti hasil siasatan polis.
Encik Chia menambah keutamaan beliau ialah kesejahteraan keluarga tersebut, dengan bantuan kewangan segera telah diatur dan bantuan lanjut akan diberikan.
The Straits Times telah menghubungi SMRT untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Beberapa kes kematian di landasan LRT pernah berlaku sebelum ini.
Pada 23 Mac 2023, seorang wanita, 33 tahun, ditemui tidak bergerak di landasan berhampiran platform stesen Cove di laluan bulatan LRT Punggol East dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pada Mac 2017, seorang lelaki mabuk meninggal dunia selepas memasuki landasan berhampiran stesen Fajar dalam sistem LRT Bukit Panjang dan dilanggar tren.
