Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, akan memberikan respons pemerintah pada 8 September berkenaan cadangan yang dikemukakan oleh satu jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyemak gaji pemegang jawatan politik.

Anggota Parlimen (AP) pula akan membahaskan perkara itu pada 10 September, menurut agenda Parlimen yang dikeluarkan pada 7 September.

Ini berlaku empat bulan selepas pemerintah berkata ia akan menangguhkan pertimbangannya terhadap cadangan-cadangan tersebut.

Pada April, satu jawatankuasa seramai lapan orang, yang dibentuk pada Januari untuk menyemak gaji pemegang jawatan politik Singapura, telah mengemukakan cadangannya kepada pemerintah.

Pada masa itu, beliau memberikan jaminan bahawa pemerintah akan mengeluarkan laporan jawatankuasa itu bersama-sama dengan respons pemerintah “pada masa yang sesuai”.

AP juga akan berpeluang untuk menyemak laporan dan respons pemerintah bersama-sama “bagi perbahasan yang lebih bermakna”, tambahnya.

Beberapa pengamat yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata semakan kepada gaji pemegang jawatan politik adalah sesuatu perkara yang “sudah lama tertangguh” dan perlu dipertimbangkan sekarang.

Ini memandangkan gaji pemegang jawatan politik belum dikemas kini sejak 2012, apabila pemerintah menerima cadangan jawatankuasa semakan yang memperkenalkan rangka kerja gaji semasa.

Zamil Penyelidik Kanan Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Gillian Koh, berkata dari segi politik, “tidak pernah ada masa yang sesuai untuk melakukan ini”.

Namun, beliau percaya rakyat Singapura juga faham bahawa terdapat keperluan untuk memastikan penjawat politik mendapat pampasan yang adil.

Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata walaupun isu gaji pemegang jawatan politik adalah isu sensitif, ia perlu dipertimbangkan dan dibahaskan secara berkala.

“Adalah wajar bagi PM Wong memilih untuk mengambil tindakan segera dan melibatkan rakyat Singapura mengenai perkara ini.

“Ia pasti tidak akan menarik undi rakyat tetapi untuk mengekalkan dan meningkatkan sistem pemerintah kita, ia adalah topik yang tidak boleh dielakkan,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa rangka kerja gaji pemegang jawatan politik berisiko menjadi usang jika ia tidak dikaji semula dan dilaksanakan.

Ini memandangkan gaji penerima pendapatan tertinggi dalam sektor swasta telah meningkat dengan ketara sejak 2012.

Menjangkakan bahawa gaji pemegang jawatan politik mungkin akan dinaikkan setelah pemerintah menerima cadangan semakan itu, Dr Tan berkata cabarannya adalah untuk memastikan rangka kerja itu kekal kukuh dan untuk orang ramai memahami kepentingan isu tersebut.

Jawatankuasa semakan itu dipengerusikan Encik Gan Seow Kee, yang merupakan pengerusi Singapore LNG Corporation (SLNG) dan anggota berganti Majlis Penasihat Presiden (CPA).

Jawatankuasa tersebut telah diminta untuk mencadangkan paras gaji yang wajar berdasarkan rangka kerja gaji semasa, serta membuat penyesuaian jika perlu supaya rangka kerja itu terus kekal sesuai.

Semakan itu turut merangkumi cadangan kepada gaji Presiden, Perdana Menteri, Speaker, Timbalan Speaker, dan pemegang jawatan politik yang lain.

Ini kali kedua dalam beberapa tahun kebelakangan ini perubahan gaji kepada pemegang jawatan politik ditangguhkan akibat iklim dunia yang tidak menentu.

Pada 2023, pemerintah telah menangguhkan semakan sedemikian dengan kenyataan Encik Chan bahawa pemerintah sedang menangani isu-isu lain yang lebih mendesak.

Ini termasuk keadaan politik sejagat yang semakin tidak menentu dengan konflik di Timur Tengah dan Ukraine, persaingan politik dunia yang semakin sengit, serta ketidaktentuan ketara dalam ekonomi dunia yang menjejas ekonomi Singapura, gaji dan jangkaan inflasi.

Semakan terakhir telah dilakukan pada 2018. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Encik Gerard Ee ketika itu mengusulkan agar gaji pemegang jawatan politik diselaraskan setiap tahun mengikut pergerakan gaji penanda aras, yang meningkat 9 peratus sejak rangka kerja diperkenalkan.

Namun, pemerintah memutuskan tidak membuat sebarang perubahan ketika itu, dengan menyatakan struktur gaji tersebut masih sah meskipun keadaan ekonomi tidak menentu pada tahun-tahun sebelumnya.

Di bawah rangka kerja ini, gaji menteri ditanda aras kepada pendapatan median 1,000 penerima pendapatan tertinggi warga Singapura, dengan diskaun sebanyak 40 peratus bagi melambangkan prinsip perkhidmatan politik.

Golongan 1,000 penerima pendapatan tertinggi merangkumi jawatan pengurusan kanan seperti ketua pegawai eksekutif, operasi dan kewangan, pekerja sektor kewangan seperti pegawai bank, pedagang dan pengurus aset, serta karyawan seperti peguam, doktor dan akauntan.

Gaji rujukan bulanan menteri peringkat permulaan ialah $55,000, dan gaji pemegang jawatan politik lain ditentukan berdasarkan nisbah kepada gaji tersebut, mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Rangka kerja tersebut merangkumi gaji semua pemegang jawatan politik, termasuk AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dan AP Dilantik (NMP), dan mula berkuat kuasa pada Mei 2011.