Warga Singapura boleh menjangkakan had tuntutan lebih tinggi bagi bayaran masuk hospital, pembedahan hari dan pesakit luar bagi skim MediShield Hayat dan MediSave secara berperingkat mulai April 2025, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Had tuntutan harian MediShield Hayat bagi dua hari pertama rawatan di wad biasa akan dinaikkan daripada $1,000 kepada $1,630. Had tuntutan harian untuk rawatan wad ICU pula akan ditingkatkan daripada $2,200 kepada $5,140.
Selain itu, had tuntutan maksimum tahunan juga akan dinaikkan kepada $200,000 daripada $150,000.
Perubahan ini dilaksana setelah pemerintah menerima saranan yang dibuat oleh Majlis MediShield Hayat, yang antara lain, bertujuan melindungi rakyat Singapura daripada berdepan dengan bil perubatan yang besar sekiranya terjadi sebarang masalah kesihatan yang membebankan.
Kenaikan ini bermakna premium insurans yang dibayar juga akan meningkat, terutama bagi warga lanjut usia, meskipun dengan lebih sembilan daripada 10 orang akan menerima bantuan untuk mengimbangi kenaikan itu.
Bercakap kepada media pada 11 Oktober, Encik Ong berkata antara perubahan yang akan dilakukan kepada MediShield Hayat juga termasuk memudahkan warga mengakses perubatan baru seperti Produk Terapi Sel, Tisu dan Gen (CTGTP), yang buat masa kini, belum dilindungi di bawah skim tersebut.
“Kos penjagaan kesihatan semakin meningkat dan kami amat bimbang sekiranya terdapat masalah kesihatan yang tidak dijangka yang memerlukan anda tinggal di hospital atau ICU (Unit Jagaan Rapi), untuk masa yang lama.
“Jika perkara yang tidak diingini berlaku, anda mungkin mendapat satu bil besar yang tidak dijangka dan bil itu akan meningkat.
“Oleh itu, kami akan meningkatkan had tuntutan bagi bil tersebut. Ia adalah peningkatan yang agak ketara,” kata Encik Ong.
Di bawah perubahan itu juga, had tuntutan MediShield Hayat untuk rawatan pesakit luar seperti dialisis buah pinggang akan dinaikkan daripada $1,100 sebulan kepada $1,750 sebulan.
“Kami juga akan menaikkan had tuntutan untuk rawatan pesakit luar, khususnya, satu bidang yang kami agak bimbang sebenarnya adalah dialisis buah pinggang.
“Kos telah meningkat. Jika tiada apa-apa dilakukan, tidak lama lagi pesakit dialisis buah pinggang perlu keluarkan wang sendiri dan membayar secara tunai untuk dialisis,” kata Encik Ong.
Dengan peningkatan dalam had tuntutan untuk rawatan di hospital dan pesakit luar, Encik Ong berkata skim MediShield Hayat yang dipertingkatkan akan menampung sepenuhnya sembilan daripada 10 bil bersubsidi.
Semakan MediShield Hayat 2024 yang dipertingkatkan telah dijalankan oleh Majlis MediShield Hayat pada 2023 untuk memastikan skim tersebut kekal relevan buat rakyat Singapura memandangkan peningkatan kos dan tuntutan, serta landskap penjagaan kesihatan yang berkembang.
Diketuai oleh Pengerusi Cik Fang Ai Lian, majlis tersebut terdiri daripada 11 anggota termasuk peguam dan rakan kongsi Reed Smith, Cik Kohe Hassan, dan ahli Jawatankuasa Pusat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Sazali Zainal. Semakan terakhir MediShield Hayat telah dijalankan pada 2020.
Bercakap kepada media pada 11 Oktober, Cik Fang berkata terdapat perubahan dan peningkatan dalam penyampaian penjagaan kesihatan daripada suasana hospital kepada pesakit luar, masyarakat dan jagaan di rumah.
Terdapat juga kemajuan dalam teknologi perubatan seperti CTGTP yang telah menghasilkan terapi baru yang berpotensi menyelamatkan nyawa, tetapi untuk kedua-dua senario ini, kebanyakan rawatannya tidak disertakan di bawah perlindungan MediShield Hayat.
Menurut Cik Fang, majlis itu telah menyarankan kenaikan premium bagi tiga tahun mendatang yang dibataskan pada 35 peratus dengan kadar kenaikan purata 22 peratus.
Namun sebilangan besar tidak perlu membayar sendiri kerana sembilan daripada 10 warga akan meraih manfaat daripada sokongan pemerintah menerusi tokokan MediSave bernilai $3.4 bilion dan subsidi premium sebanyak $700 juta bagi tiga tahun mendatang.
Sementara itu, untuk membolehkan akses kepada pilihan penjagaan yang lebih mudah melangkaui persekitaran hospital tradisional dan meningkat akses dan kemampuan kepada rawatan baru, Encik Ong berkata pemerintah akan memperluaskan liputan MediShield Hayat untuk merangkumi kedua-dua kategori ini.
“Perubatan baru seperti CTGTP boleh menjadi sangat mahal, tetapi ia adalah satu kemajuan dalam perubatan. Ia adalah rawatan mahal yang boleh menyembuhkan penyakit yang teruk seperti kanser.
“Jika kita tidak melakukan apa-apa, kemungkinan besar, pada masa hadapan, hanya orang kaya sahaja yang boleh mengakses rawatan sedemikian.
“Justeru, kami perlu membawa sebahagian daripada rawatan ini ke dalam rangka subsidi kami, serta rangka MediShield Hayat. Kami berbuat demikian dengan syarat ia terbukti berkesan secara klinikal dan efektif dari segi kos,” kata Encik Ong.
“
“Kos penjagaan kesihatan semakin meningkat dan kami amat bimbang sekiranya terdapat masalah kesihatan yang tidak dijangka yang memerlukan anda tinggal di hospital, atau ICU (Unit Jagaan Rapi), untuk masa yang lama. Jika perkara yang tidak diingini berlaku, anda mungkin mendapat satu bil besar yang tidak dijangka dan bil itu akan meningkat. Oleh itu, kami akan meningkatkan had tuntutan untuk bil tersebut. Ia adalah peningkatan yang agak ketara,”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg