Parti Bersatu Singapura (SUP) berkata ia akan bertanding di GRC Ang Mo Kio pada pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung SUP, Encik Andy Zhu, mengumumkan demikian pada 6 April selepas lawatan ke Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon, sambil menambah bahawa beliau dijangka mengetuai pasukan SUP menentang pasukan PAP yang diterajui oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Ini bermakna akan berlakunya pertembungan tiga penjuru, kerana Parti Kuasa Rakyat (PPP) telah mengumumkan sehari sebelumnya yang ia juga akan berentap di GRC lima anggota itu.
SUP telah ditubuhkan pada Disember 2020, justeru ini merupakan pilihan raya pertama parti itu.
Tetapi anggota utamanya pernah bertanding di GRC Ang Mo Kio pada GE2020 di bawah Parti Reformasi (RP), dengan pasukan itu menerima 28.09 peratus undian.
Tiga ahli pasukan itu kini berada dalam SUP – Encik Zhu, timbalan setiausaha agung parti Encik Darren Soh dan Cik Noraini Yunus, yang merupakan bendahari.
Ketiga-tiga mereka hadir semasa acara lawatan itu bersama pengerusi SUP, Encik Ridhuan Chandran.
Bercakap kepada pemberita pada 6 April, Encik Zhu, ejen hartanah berusia 42 tahun, berkata: “Daripada pengalaman lalu sebagai calon di Ang Mo Kio, saya akan mengatakan bahawa terdapat sokongan untuk parti alternatif, dan saya tidak melihat bertanding di kawasan undi (pimpinan SM Lee) sebagai satu kesukaran, kerana apa yang saya lakukan adalah untuk mewakili penduduk GRC Ang Mo Kio.”
Encik Zhu berkata SUP telah berhubungan dengan PPP minggu lalu untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru di GRC Ang Mo Kio, tetapi tiada kesimpulan yang dicapai.
“Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan sekarang ialah kami akan menghubungi mereka untuk mengelak pertembungan tiga penjuru,” tambahnya.
Encik Zhu berkata beliau telah menghubungi bendahari RP, Encik Mahaboob Baatsha, yang merestui penampilan itu serta mengatakan bahawa RP tidak akan bertanding di Ang Mo Kio.
Semasa lawatan itu, SUP mengumumkan slogan pilihan rayanya ‘Melangkah ke hadapan, bersama-sama’, dengan Encik Zhu berkata ia melambangkan perpaduan antara parti dengan penduduk.
Parti itu akan mendedahkan manifesto pilihan raya dan senarai calon apabila Writ Pilihan Raya dikeluarkan, katanya.
SUP adalah satu daripada empat parti yang bergabung dalam satu perikatan pada 2023. Mereka telah bersetuju, antara lain, untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dan meneroka kemungkinan berkongsi calon semasa pilihan raya.
Tiga parti dalam gabungan itu ialah Parti Perpaduan Nasional (NSP), Titik Merah Bersatu (RDU) dan Parti Rakyat Singapura (SPP).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg