Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti Kuasa Rakyat akan bertanding di GRC Ang Mo Kio

Apr 5, 2025 | 9:32 PM
Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng (dua dari kiri) dan bendahari parti, Encik William Lim (kiri) semasa lawatan di Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon pada 5 April.
Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng (dua dari kiri) dan bendahari parti, Encik William Lim (kiri) semasa lawatan di Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon pada 5 April. - Foto ST

Parti Kuasa Rakyat (PPP) akan bertanding di GRC Ang Mo Kio pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), sekaligus memberi cabaran kepada Menteri Kanan Lee Hsien Loong, kata Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng pada 5 April.

Bercakap selepas membuat lawatan di Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon, beliau berkata manifesto parti itu menyasarkan “salah urus dasar kependudukan” sepanjang 20 tahun lalu semasa SM Lee menjadi Perdana Menteri.

“Sekarang beliau sudah berundur, sudah tiba masanya beliau terima penilaian sebenar dari rakyat,” kata Encik Goh.

SM Lee, yang berundur sebagai perdana menteri pada Mei 2024, adalah menteri utama di GRC Ang Mo Kio.

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai beliau meraih 71.9 peratus undi dalam GE2020, menentang pasukan Parti Reformasi, lapor The Straits Times (ST).

Encik Goh berkata beliau percaya PAP mencatatkan “keputusan yang sangat baik” kerana Singapura sedang menghadapi pandemik Covid-19, dan rakyat Singapura mengundi SM Lee untuk mengelak risiko ketiadaan ketua negara dalam tempoh krisis itu.

Bagi pilihan raya akan datang, PPP mempunyai “peluang yang agak baik,” kata Encik Goh.

“Saya boleh katakan yang jika kami tidak menang sekalipun, saya percaya kami akan memperoleh salah satu keputusan terbaik di GRC Ang Mo Kio,” tambah Encik Goh.

Pasukan PPP untuk GRC Ang Mo Kio akan diketuai oleh bendahari parti, Encik William Lim, 47 tahun, seorang penyedia perkhidmatan limusin, yang berkata akan mengemukakan bangkangan kepada dasar yang “menentang hak rakyat Singapura” jika dipilih menjadi Anggota Parlimen.

Parti itu berkata ia akan mengumumkan ahli pasukan yang lain pada masa akan datang.

Selain PPP, Parti Bersatu Singapura (SUP) juga telah membuat lawatan di Ang Mo Kio dan memuatnaik aktiviti mereka di halaman Facebook SUP. 

ST telah menghubungi SUP untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Encik Goh berkata pada 5 April beliau berharap dapat mengelakkan pertarungan tiga penjuru dan telah menghubungi SUP untuk berbincang.

PPP telah melancarkan manifesto pilihan raya dengan slogan, “Jadikan Singapura Rumah Semula”.

Ketika melakukan lawatan, Encik Goh mengkritik dasar pemerintah yang menyebabkan ‘suasana rumah’ di Singapura hilang, antaranya kerana kos perumahan yang tinggi, kekurangan pekerjaan, dan kadar kesuburan yang rendah.

Selain Encik Lim, PPP turut memperkenalkan tiga muka baru yang mungkin bertanding dalam GE2025. 

Mereka adalah: Encik Thaddeus Thomas, 43 tahun, penyelaras keselamatan dalam industri pembinaan; Encik Heng Zheng Dao, 24 tahun, seorang ahli hortikultur, dan Encik Samuel Lee, 33 tahun, yang kini sedang mencari pekerjaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg