Sekurang-kurangnya tiga wajah baru daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyertai naib pengerusi pertama parti itu, Cik Hazel Poa, semasa satu lawatan pada 5 April di Boon Lay, kawasan yang kini sebahagian daripada GRC West Coast-Jurong West baru.
Tiga wajah baru itu adalah Encik Sani Ismail, Encik Sumarleki Amjah dan Cik Stephanie Tan.
Mereka dilihat menyertai Cik Poa – Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang menyertai pasukan PSP yang bertanding dalam GRC West Coast semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2020 – di Pasar Boon Lay Place.
Encik Sani bekerja sebagai penasihat undang-undang, manakala Cik Tan ialah suri rumah sepenuh masa yang memiliki ijazah undang-undang daripada Universiti Nasional Singapura, menurut risalah PSP.
Encik Sumarleki pula, yang pernah menjadi sukarelawan bersama Parti Pekerja (WP), kini Ketua Perniagaan – Makanan Perkilangan dan Pembangunan Perniagaan, di syarikat industri barangan perkilangan untuk pengguna (CPG)/barangan pengguna yang boleh dijual segera (FMCG), Del Monte Pacific Limited.
Suami Cik Poa, Encik Tony Tan, juga turut hadir semasa lawatan tersebut.
Seperti Cik Poa, beliau pernah bersama Parti Reformasi (RP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP), dan kini merupakan anggota PSP.
Bersama sukarelawan parti lain, mereka mengedarkan risalah dan paket tisu yang mengandungi cadangan PSP untuk mengurangkan kos sara hidup, seperti mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan harga makanan. Lebih 20 anggota dan sukarelawan parti menyertai lawatan di Boon Lay itu.
Boon Lay adalah sebahagian daripada GRC West Coast-Jurong West baru yang akan mempunyai lima Anggota Parlimen (AP).
Pada GE2020, pasukan PSP yang bertanding di GRC West Coast tewas tipis kepada pasukan PAP yang ketika itu terdiri daripada bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Ia merupakan kekalahan paling tipis dalam pilihan raya tahun itu.
Pasukan PSP pada GE2020 terdiri daripada Dr Tan Cheng Bock, mantan anggota PAP yang mewakili Ayer Rajah dari 1980 hingga 2006; NCMP, Encik Leong Mun Wai dan Cik Poa; serta Encik Nadarajah Loganathan dan Encik Jeffrey Khoo.
Bercakap kepada media pada 5 April, Encik Sani berkata beliau menyertai PSP kira-kira tujuh hingga sembilan bulan lalu.
“Saya sangat bersemangat dan saya rasa tenaga dalam PSP sepadan dengan apa yang saya mahu capai,” katanya.
Beliau menambah bahawa penduduk yang ditemuinya menyuarakan kebimbangan tentang kenaikan kos sara hidup, perumahan yang boleh dimampu, serta ketidaksamaan sosial.
Apabila ditanya mengapa penduduk harus mengundi beliau, Encik Sani berkata: “Saya harap penduduk dapat lihat bahawa saya seorang yang ikhlas, mudah didekati, benar-benar prihatin serta sedia mendengar.”
Beberapa peniaga yang ditemui akhbar The Straits Times, berkata mereka pernah nampak PSP turun padang di kawasan itu sekurang-kurangnya dua kali.
Seorang penduduk yang sudah bersara, Cik Linda Lim, 74 tahun, berkata ini kali pertama beliau melihat parti itu di kawasan tersebut. Katanya, “elok juga” adanya parti pembangkang bersaing di kawasan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg