Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti politik perlu tolak identiti politik dengan segera, jelas dan tidak berbelah bahagi

Oct 23, 2025 | 5:39 PM
Tetamu Podcast No Tapis BHerbual, Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib (dua dari kanan) dan Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas (kanan) berbincang tentang isu kaum, agama dan politik bersama Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin (dua dari kiri), dan Koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh (kiri) pada 17 Oktober.
Tetamu Podcast No Tapis BHerbual, Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib (dua dari kanan) dan Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas (kanan) berbincang tentang isu kaum, agama dan politik bersama Editor Berita, Encik Nazri Hadi Saparin (dua dari kiri), dan Koresponden Berita Harian, Encik Anwar Saleh (kiri) pada 17 Oktober. - Foto BH oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Parti Pekerja (WP) sepatutnya membuat kenyataan “yang lebih jelas” untuk menolak politik identiti, terutamanya tuntutan yang dibuat oleh guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros, kata para pengamat di Podcast No Tapis BHerbual pada 17 Oktober.

Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, berkata adalah “tidak tepat” apabila Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, berkata Encik Noor Deros adalah “bukan siapa-siapa” atau seorang nobody.

Malah, beliau “tidak boleh terima” bahawa WP tidak tahu identiti Encik Noor Deros memandangkan guru tersebut terkenal pada 2014 sebagai antara peneraju gerakan Wear White, yang juga disokong dan dihadiri naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap.

“Kalau Encik Pritam tidak mengenalinya, mungkin saya boleh menerima. Tapi sesiapa sahaja yang agak prihatin dengan perkembangan masyarakat Melayu, pasti mengenali Encik Noor Deros.

“Sosok Encik Noor Deros ini mula dibangkitkan di ruang awam pada 2014 sewaktu gerakan Wear White, dan beliau terkenal kerana beliau keluar di media. Tidak ada alasan mengatakan beliau seorang yang tidak dikenali. Mungkin orang lupa,” kata Encik Imran.

Demikian yang dikatakan oleh Encik Imran sebagai mengulas tentang Kenyataan Menteri yang disampaikan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 14 Oktober di Parlimen yang menyentuh tentang isu mencampuradukkan agama dan kaum dengan politik.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, telah menyampaikan kenyataan yang antara lain mempersoalkan masa dan isi jawapan WP selepas Encik Noor Deros meminta rakyat Singapura mengundi mengikut garis perkauman dan agama semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Dalam pertukaran bolak-balik dengan Encik Pritam, Encik Shanmugam berkata kenyataan WP tidak menolak gesaan Encik Noor Deros yang menyeru rakyat Singapura untuk mengundi mengikut garis perkauman dan agama.

WP juga tidak menolak sokongan Encik Noor Deros terhadap Encik Faisal, calon WP di GRC Tampines pada ketika itu, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

Dalam jawapannya, Encik Pritam berkata beliau “tidak mengenalinya” dan WP “tidak mempunyai bilik operasi, atau pejabat Pofma (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian) untuk memantau apa orang asing atau orang bercakap tentang politik”.

Membidas kenyataan Encik Pritam, Encik Imran berkata meskipun jika Encik Pritam tidak mengenali atau mengingati sosok Encik Noor Deros semasa GE2025, calon-calon dan AP Melayu WP sudah tentu pernah mengenalnya sebelum pilihan raya.

Semasa berucap di Parlimen, Encik Shanmugam akur bahawa Encik Pritam telah berkata dalam temu bual pada 26 dan 27 April bahawa sokongan Encik Noor Deros tidak bermakna WP akan memperjuangkan dasar-dasar beliau.

Namun, Encik Shanmugam berharap parti-parti politik akan memberikan “respons yang lebih segera, terus terang dan tidak berbelah bahagi” jika kejadian sedemikian berlaku lagi pada masa hadapan.

Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas berkata sebagai seorang peguam, beliau memahami mengapa Encik Shanmugam meminta Encik Pritam untuk “tidak berbelah bahagi” dalam menolak tuntutan Encik Noor Deros.

Ini kerana meskipun WP telah menyatakan “tiada janji, komitmen atau perjanjian dibuat kepada mana-mana individu, termasuk Noor Deros, sebagai pertukaran untuk sokongan politik kepada calon WP”, kenyataan tersebut tidak dengan terang-terangan “menolak sokongan Encik Noor Deros”.

“Encik Pritam sepatutnya menyatakan lebih jelas lagi… Tidak cukup semata-mata menyatakan bahawa WP tidak perlu sokongan Encik Noor Deros. WP perlu menolaknya dengan jelas.

“Kalau di Mahkamah, jika seorang peguam berkata kata beliau ‘tidak membantah’, Hakim akan tanya, ‘jika kamu tidak membantah, adakah kamu menafikannya?”

“Ada perbezaan antara ‘tidak membantah’ dan ‘menafikan’. Kenyataan menolak sokongan Encik Noor Deros sebegini yang Encik Shanmugam mahukan,” kata Encik Ahmad Nizam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg