Sepasang suami isteri warga Singapura berusia 20-an telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah.

Kesalahan itu termasuk mendedahkan anak-anak mereka kepada dadah, selepas Biro Narkotik Pusat (CNB) menyerbu sebuah unit kediaman berhampiran Marsiling Lane di Woodlands.

Menurut kenyataan CNB pada 13 Ogos, lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 24 tahun itu ditahan selepas pegawai CNB menyerbu kediaman tersebut pada pagi 11 Ogos.

Sejumlah kecil dadah, termasuk ganja, metamfetamina yang juga dikenali sebagai ‘ice’, dan ‘ecstasy’, serta peralatan berkaitan dadah, dirampas dari beberapa bahagian unit rumah tersebut.

Ia termasuk bilik tidur utama, di mana dua anak lelaki pasangan itu yang masing-masing berusia tiga tahun dan tujuh bulan ditemui.

CNB berkata kededua kanak-kanak itu telah ditempatkan di bawah jagaan waris terdekat, dengan langkah-langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Siasatan terhadap kegiatan berkaitan dadah yang dilakukan kededua suspek masih dijalankan.

Timbalan pegawai yang mengetuai operasi penguatkuasaan itu, Superintenden Xanthus Tong, berkata:

“Penyalahgunaan dadah bukanlah sesuatu yang tidak memberi kesan kepada orang lain.

“Kemudaratannya meluas, bukan sahaja menjejaskan penyalah guna dadah sendiri, malah keluarga dan insan tersayang mereka, termasuk kanak-kanak kecil.”

Beliau menambah CNB akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mendedahkan kanak-kanak kepada dadah, serta menggesa ibu bapa supaya menjauhkan anak-anak mereka daripada dadah dan kemudaratan yang berkaitan dengannya.

Mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan mendedahkan dadah terkawal atau peralatan berkaitan dadah kepada kanak-kanak, atau membenarkan atau gagal mengambil langkah munasabah untuk menghalang golongan muda daripada mengambil dadah terkawal, boleh didakwa.