Apabila Cik Shafina Saliman dan Sheikh Naufal Mohamad Najeeb Jarhom membina mahligai pada 2022, harapan mereka ialah untuk membina sebuah keluarga dan menimang cahaya mata.
Namun setelah gagal dalam beberapa usaha untuk hamil, termasuk melalui rawatan persenyawaan in vitro (IVF) sebanyak dua kali, mereka akhirnya memutuskan untuk mengambil anak titipan pada 2025.
Ini setelah mereka berpeluang bertemu dengan keluarga titipan lain dalam satu acara anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pada 2024, yang mencetuskan minat mereka.
Walaupun ia bukanlah perjalanan yang mudah memandangkan mereka belum pernah mempunyai anak, pengalaman itu membentuk semula pemahaman mereka tentang keluarga dengan sokongan kukuh daripada semua pihak termasuk agensi titipan, PPIS Oasis.
Lantaran itu, sokongan sedemikian untuk keluarga titipan akan dipergiatkan lagi dan inisiatif menggalak interaksi antara keluarga titipan seperti yang dihadiri pasangan tersebut, akan dipertingkatkan pada 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Cik Aidaroyani Adam.
Berkongsi lebih lanjut semasa ditemui pada acara Hari Keluarga PPIS pada 6 Disember di Taman Haiwan Singapura, Cik Aidaroyani berkata usaha itu juga diharapkan dapat menarik lebih ramai golongan tersebut.
“Kami mahu lebih ramai pasangan melihat sendiri pengalaman keluarga titipan sedia ada kerana pengalaman mereka menjadi sumber sokongan penting,” kata Cik Aidaroyani.
Dalam pada itu, PPIS akan memperkukuh kerjasama dengan rakan masyarakat, termasuk masjid, bagi menarik lebih ramai sukarelawan yang bersedia membuka rumah serta hati mereka kepada kanak-kanak yang memerlukan.
“Ini merupakan antara langkah yang diambil bagi mewujudkan perbualan lebih telus demi meningkatkan kesedaran tentang program titipan demi membantu bakal ibu bapa titipan mendapatkan penjelasan terhadap sebarang keraguan mengenai program tersebut,” tambah beliau.
Mengimbas semula pengalamannya, Cik Shafina, 36 tahun, berkata:
“Kami selalu berdoa agar rumah kami terisi dengan suara seorang anak. Apabila rezekinya datang dalam bentuk anak titipan, kami menerimanya dengan hati yang terbuka.”
Namun, hubungan antara pasangan itu dengan anak titipan mereka tidak lepas daripada cabaran lebih-lebih lagi kerana ‘Farah’, enam tahun, dinilai berisiko tinggi untuk Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).
“Walaupun kami dimaklumkan tentang risiko ADHD, dia sebenarnya sangat mudah disayangi,” kata Cik Shafina.
Sheikh Naufal, 30 tahun, pula berkata mereka telah mengubah rutin dan mengutamakan kesabaran dalam menangani keperluannya.
“Itu semua membantu hubungan kami berkembang dengan baik,” kata Sheikh Naufal, yang bertugas dalam bidang strategi operasi.
“Ini adalah langkah penyesuaian yang kami ambil hasil daripada nasihat yang diberi dan sokongan rangkaian yang kukuh, termasuk daripada anggota keluarga lain serta pegawai kes daripada PPIS Oasis.”
Menurut pasangan itu, mereka memainkan peranan penting dalam memastikan peralihan Farah berjalan dengan lancar, termasuk penyelarasan campur tangan awal serta bimbingan rutin harian yang sesuai bagi menangani tingkah laku aktif baginya.
Sementara itu, turut hadir menyertai 32 keluarga lain dalam acara itu ialah Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim.
Dalam ucapannya, Cik Hazlina berkata dedikasi keluarga titipan berperanan besar dalam menyediakan ruang yang selamat dan stabil bagi kanak-kanak berisiko untuk membesar.
“Ketabahan, belas kasihan dan komitmen tanpa berbelah bahagi anda memberi kanak-kanak berisiko ruang yang selamat, stabil dan penuh kasih sayang untuk mereka membesar,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg