Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan muda dapat kunci tiga tahun selepas mohon flat ‘Masa Tunggu Lebih Singkat’

Aug 10, 2025 | 6:00 PM
Encik Amirulazhari Ahmad Reza dan isteri, Cik Nadia Nuraisha Mohamed Nasir teruja dapat memulakan lembaran baru di rumah pertama mereka di Yishun, pada 2025, hanya tiga tahun selepas memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di bawah skim Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT).
Encik Amirulazhari Ahmad Reza dan isteri, Cik Nadia Nuraisha Mohamed Nasir teruja dapat memulakan lembaran baru di rumah pertama mereka di Yishun, pada 2025, hanya tiga tahun selepas memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di bawah skim Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seperti membuka lembaran baru dalam kehidupan yang penuh bersejarah dan kemanisan.

Begitulah perasaan yang mengisi ruang hati jurubank korporat, Encik Amirulazhari Ahmad Reza, 25 tahun, apabila beliau dan isterinya, Cik Nadia Nuraisha Mohamed Nasir, 24 tahun, seorang ejen e-mel khidmat langganan, menerima kunci bagi rumah pertama mereka.

Pasangan muda itu berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) empat bilik di Yishun pada Januari 2025, hanya tiga tahun selepas memohon perumahan tersebut pada 2022.

Tempoh masa tidak begitu lama bagi mendapatkan flat ini mampu direalisasikan dengan flat BTO mereka ditawarkan di bawah skim flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT), yang membolehkan pembeli ditawarkan flat dalam tempoh lebih cepat, berbanding tempoh menunggu biasa.

Flat sebegini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk memastikan bekalan flat yang mencukupi dalam memenuhi aspirasi warga Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Beliau berkata demikian semasa satu wawancara bersama media di bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Maxwell Road pada 5 Ogos.

Sebanyak 4,500 flat SWT akan dilancarkan pada 2025, dan lagi 4,000 flat SWT pula akan dilancarkan setiap tahun dalam tempoh dua tahun akan datang.

Jumlah ini melebihi sasaran 3,800 unit, iaitu hampir 20 peratus lebih tinggi, kata beliau.

“Langkah ini bakal memberi manfaat kepada ramai pembeli, khususnya mereka yang memerlukan rumah dengan lebih segera,” ujar Encik Chee.

Impian Encik Amirulazhari untuk memiliki rumah turut dipermudahkan melalui pelbagai skim kewangan HDB.

Meskipun baru setahun memulakan kerjaya sepenuh masa sebagai jurubank korporat di DBS, harga kasar flat beliau dan pasangan, iaitu sekitar $324,000, dapat diuruskan dengan lebih mudah disebabkan Geran Perumahan Dipertingkat (EHG) sebanyak $215,500.

Bantuan ini membolehkan mereka menampung kos rumah sepenuhnya melalui pinjaman HDB di bawah Surat Kelayakan Pinjaman (HLE) tanpa perlu mengeluarkan bayaran tunai.

Hasilnya, mereka hanya membayar sekitar $1,000 sebulan menggunakan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), dan merancang untuk melangsaikan pinjaman tersebut dalam tempoh 25 tahun.

Lantas, wang simpanan daripada gaji Encik Amirulazhari pula dapat ditumpukan kepada keperluan lain seperti bil api air dan kos penjagaan anak, yang menurutnya, boleh mencecah sekitar $3,000 sebulan.

“Tanpa keperluan untuk mengeluarkan wang tunai, kami dapat menggunakan simpanan bagi perbelanjaan lain, khususnya untuk anak kecil kami yang berusia 11 bulan,” kata beliau.

Dengan sebahagian besar urusan perumahan sudah diatur, tempoh menunggu yang lebih singkat juga memberi ruang kepada Encik Amirulazhari untuk menumpukan perhatian kepada perancangan lain dalam kehidupannya.

Ini termasuk mengejar impian menyambung pengajian dalam kursus diploma sambilan dalam bidang pemasaran digital di Politeknik Temasek (TP), lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Dengan pelbagai bantuan HDB, saya dapat memberi keutamaan kepada aspek kehidupan lain demi membina asas keluarga serta masa depan yang kukuh dan stabil,” ujarnya.

Cik Nadia turut berkongsi perasaan serupa dengan suaminya, seraya berkata:

“Skim dan geran kewangan HDB benar-benar membantu kami mencapai cita-cita untuk memiliki rumah dan membina kehidupan bersama sebagai sebuah keluarga.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg