Impian pasangan muda ini untuk mencari rumah yang sempurna untuk keluarga kecil mereka bertukar menjadi mimpi ngeri selepas mereka ditipu $7,000 dalam satu skim sewa rumah.
Mangsa, jurulatih kecergasan yang hanya dikenali sebagai JM dan Faz, kededuanya berusia pertengahan 30an tahun, adalah antara beberapa pasangan yang tertarik dengan perjanjian yang bak ‘indah khabar dari rupa’ bagi sebuah unit kondominium Paya Lebar.
Pasangan itu, yang baru-baru ini menerima cahaya mata yang baru lahir, tidak sabar untuk mendapatkan rumah baru sebelum kontrak rumah sewa mereka tamat.
Mereka terjumpa dengan satu senarai kondominium itu di Facebook Marketplace dan berhubung dengan individu yang mendakwa beliau ejen PropNex yang bernama Mike Tay.
Walaupun sudah menjalankan semakan latar belakang ‘Mike Tay’, dan mengesahkan lesen ejen dan mengunjungi unit kondominium yang ingin disewa, pasangan itu menjadi mangsa penipuan yang telah dirancang dengan teliti.
“Saya telah menyewa selama 12 tahun. Kami bukan baru dalam hal penyewaan, jadi kami telah melakukan pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan ia sah. Kami telah pergi ke PropNex untuk menyemak nombor lesennya,” kata JM kepada majalah 8days.
Menambah kekecewaan pasangan itu, mereka hanya dapat bertemu dengan “penolong” ejen yang dikatakan sebagai amalan biasa dalam industri.
“Ini bukan sesuatu yang luar biasa, malah ejen kami sekarang juga melakukan perkara yang sama apabila mereka perlu menghadiri beberapa penyenaraian pada masa yang sama. Kami sudah melihat hampir 15 unit pada bulan ini dan kadangkala kami hanya bertemu rakan kongsi atau penolong ejen,” jelas JM.
Penipuan itu terbongkar apabila pasangan itu tiba di unit kondominium yang dikatakan pada petang 16 September, dan berjumpa dengan dua pasangan lain yang turut menunggu “Mike”.
“Ejen” itu tidak hadir dan tidak lama kemudian ia menjadi jelas bahawa ketiga-tiga pasangan telah ditipu, dan kesemuanya kehilangan beribu-ribu dolar dalam wang cengkeram.
JM dan Faz, yang kehilangan $7,200, berasa amat terkesan kerana sewa rumah yang mereka duduki (sekarang) hampir tamat.
“Perancangan awal adalah untuk membeli flat. Status PR saya baru sahaja diluluskan, dan kami baru mendapat surat Kelayakan Flat HDB kami, jadi kami memohon untuk BTO yang akan datang. Tetapi kami masih perlu menyewa kerana proses itu akan mengambil masa, ” kata JM yang berpindah ke sini dari Filipina.
Menambah kegusaran di hati JM dan Faz, mereka mengakui ‘tak sedap hati’ tentang kontrak itu, terutamanya desakan “ejen” untuk mendapatkan wang cengkeram dari mereka.
“Jika kami menanyakan sesuatu, mereka sangat pantas menjawab, dan berikan jawapan yang menenangkan,” ingat JM.
Faz, seorang warga Singapura menambah: “Biasanya mereka perlu menyemak dengan pemilik rumah tetapi Mike akan bersetuju dalam masa 15 minit.”
JM percaya penipu itu tahu mereka dalam situasi yang terdesak, oleh kerana kontrak sewa rumah sekarang hampir tamat.
“Mereka akan mengatakan kami terlalu lambat membuat keputusan dan memberitahu kami sudah ada ramai orang yang berminat. Mereka meletakkan kami dalam situasi seperti ini untuk mendesak kami (membuat keputusan),” katanya.
Sejak berkongsi kisah mereka, JM telah dihubungi oleh seorang wanita yang tidak dikenali yang hampir menjadi mangsa penipuan yang sama, daripada penyenaraian unit yang sama dan juga “ejen” yang sama.
“Nampaknya ia masih berterusan dan mereka beroperasi di bawah nombor telefon yang berbeza. Mereka masih bercakap dengannya, mereka memberitahu beliau lambat untuk membayar deposit. Wanita itu menyukai tempat itu, tetapi teman lelakinya berasa tawaran itu mencurigakan, dan ingin menyemak sama ada mereka bercakap dengan ejen yang sebenar terlebih dahulu. Syukurlah, beliau tidak membayar cengkeram,” kata JM.
Pasangan itu telah memfailkan laporan polis dan menghubungi PropNex untuk mendapatkan bantuan. Mereka berharap pengalaman mereka akan menjadi amaran kepada penyewa lain.
“Adalah amalan biasa untuk menyerahkan deposit kepada ejen yang kemudiannya akan menyerahkannya kepada pemilik rumah. Semuanya atas dasar kepercayaan. Kami selalu diingatkan supaya tidak mengklik pautan untuk mengelakkan penipuan tetapi tiada siapa yang beritahu bagaimana ini boleh berlaku juga,” kata Faz.
“Sekiranya kita tidak dapat mendapatkan semula wang kita, sekurang-kurangnya kita boleh mewujudkan sedikit kesedaran mengenainya,” tambah JM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg