Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan muda gemar ke arked lepaskan tekanan

Disifat ‘tempat istimewa di hati’, bawa susuri jalan kenangan zaman kecil
Jun 27, 2025 | 11:27 AM
permainan kompetitif, kegiatan
Cik Nurfatin Puteri Amirhamzah dan Encik Muhammad Haiqal Razali sering bermain permainan kompetitif seperti hoki udara, Monopoly Dice, gendang Jepun, Taiko No Tatsujin dan Plinko di arked. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi pasangan lain, masa ‘berdating’ mungkin diluangkan dengan makan bersama di restoran atau kafe, menonton wayang atau berjalan-jalan di pusat beli-belah.

Namun, bagi Cik Nurfatin Puteri Amirhamzah, 25 tahun, dan Encik Muhammad Haiqal Razali, 28 tahun, mereka paling gemar ke arked, dikelilingi lampu neon dan muzik permainan yang kuat.

Mereka kerap ke pusat hiburan arked seperti, Timezone dan Cow Play Cow Moo, untuk bermain hoki udara, mencuba nasib di mesin sepit atau claw machine untuk memenangi hadiah menarik dan bermain gendang Jepun, Taiko No Tatsujin.

Pasangan Cik Nurfatin Puteri Amirhamzah dan Encik Muhammad Haiqal Razali, meluangkan masa bersama di arked seperti Timezone dan Cow Play Cow Moo yang terletak di pusat beli-belah merata Singapura.
Pasangan Cik Nurfatin Puteri Amirhamzah dan Encik Muhammad Haiqal Razali, meluangkan masa bersama di arked seperti Timezone dan Cow Play Cow Moo yang terletak di pusat beli-belah merata Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Nurfatin berkata arked mempunyai “tempat istimewa di hati” beliau dan suaminya.

Pasangan itu berumah tangga pada Disember 2024.

“Setiap kali kami ke arked, kami seperti dibawa kembali ke zaman kanak-kanak.

“Setiap bunyi ‘bip’ dan loceng permainan mesin membuat jantung berdegup lebih pantas!” kata Cik Nurfatin yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tan Tock Seng.

Encik Haiqal pula bertugas sebagai pembangun aplikasi pakar di syarikat perbankan, DBS.

Industri permainan dan permainan elektronik di rantau ini dilaporkan terus berkembang.

Dalam acara Gamescom Asia pada 2024, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan) Encik Alvin Tan berkata, Asia Tenggara merupakan pasaran sukan elektronik (e-sukan) yang berkembang pesat daripada $39.2 juta pada 2021 kepada $72.5 juta pada 2024.

Menurut Encik Tan, pada waktu itu, pasaran permainan video dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) 13.3 peratus, manakala pasaran e-sukan dijangka berkembang pada CAGR 9.2 peratus dalam tiga tahun akan datang.

Selain permainan video, pusat hiburan seperti arked biasanya menawarkan pelbagai permainan, seperti permainan ritma, permainan elektromekanik dan permainan sukan.

Bagi pasangan penggemar arked Cik Fatin dan Encik Haiqal, mereka mengunjungi arked setiap minggu atau setiap dua minggu.

Setiap kali mereka mengunjungi sebarang cawangan arked, tidak kira di Timezone atau Cow Play Cow Moo, mereka akan membelanjakan sekurang-kurangnya $50. 

Kadangkala, nilai itu boleh mencecah antara $100 dengan $200 setiap kunjungan jika ada sebarang permainan yang menarik perhatian mereka. 

Jumlah paling tinggi yang pernah dibelanjakan dalam sehari adalah sekitar $300 dan dalam seminggu, pernah mencecah hingga $500.

Antara permainan kegemaran pasangan itu ialah permainan gendang Jepun Taiko No Tatsujin yang memerlukan pemain untuk memukul gendang itu mengikut irama tertentu untuk meraih markah tinggi.

Mereka amat meminati permainan itu sehingga mengambil keputusan untuk membeli versi mini yang boleh dimainkan di rumah.

Malah, cincin yang dipakai Encik Haiqal pernah menjadi kemek kerana memukul gendang itu dengan terlalu kuat.

Cincin Muhammad Haiqal Razali telah kemek dalam satu sesi permainan gendang Taiko No Tatsujin kerana memukul terlalu kuat.
Cincin Muhammad Haiqal Razali telah kemek dalam satu sesi permainan gendang Taiko No Tatsujin kerana memukul terlalu kuat. - Foto NURFATIN PUTERI AMIRHAMZAH

Kegiatan arked pasangan itu tidak terbatas kepada pusat permainan di Singapura.

Mereka juga akan mengunjungi arked di luar negara apabila mereka melancong.

Pada awal 2025, mereka telah pergi ke Jepun untuk berbulan madu, dan mereka sempat mengunjungi arked Round1 dalam lawatan mereka itu.

Bahkan, ada arked di Jepun yang beroperasi selama 24 jam, dan tidak terhad kepada permainan mesin sahaja.

Negara bumi matahari itu dikenali dengan budaya mengunjungi arked dengan banyak permainan arked popular dihasilkan di sana.

Antara permainan yang mereka cuba ialah permainan simulasi memandu kereta api. 

Jika ada orang yang melihat permainan arked sebagai membazir wang, pasangan itu pula menganggapnya sebagai cara untuk meluangkan masa bersama dan melepaskan tekanan.

“Ia satu cara yang mudah bagi kami untuk meluangkan masa bersama kerana cawangan arked ada di mana-mana,” tambah Encik Haiqal.

“Ia satu cara yang mudah bagi kami untuk meluangkan masa bersama kerana cawangan arked ada di mana-mana.”
Encik Muhammad Haiqal Razali, penggemar arked.

“Setiap kali kami ke arked, kami seperti dibawa kembali ke zaman kanak-kanak... Setiap bunyi ‘bip’ dan loceng permainan mesin membuat jantung berdegup lebih pantas!”
Cik Nurfatin Puteri Amirhamzah, penggemar arked.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg