Rancangan pasangan suami isteri untuk mengembara dari Singapura ke Thailand selama sembilan hari menaiki motosikal bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka terkandas di Hat Yai dek banjir besar.
Hat Yai, yang terletak di kawasan selatan Thailand, menjadi pilihan Cik Ritzsya Remona Putri Samsudin Ali, 27 tahun, dan suaminya Encik Daniel Cheng, 28 tahun, kerana ia berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand dan juga destinasi popular bagi golongan penunggang motosikal.
Meskipun cuaca mendung dan hujan gerimis melanda sepanjang perjalanan mereka yang bermula pada 21 November, Cik Ritzsya tidak menjangka cuaca akan berubah dan menjadi lebih teruk dalam sekelip mata.
“Kami melepasi imigresen Thailand sekitar 8 malam pada 21 November melalui (pusat pemeriksaan) Sadao.
“Di Sadao, hanya hujan renyai, jadi kami meneruskan perjalanan seperti biasa.
“Namun, apabila kami sampai di Hat Yai, ia sudah mula banjir.
“Suami saya terpaksa menunggang motosikal meredah banjir dengan bantuan beberapa penduduk tempatan kerana arus amat deras,” kongsi Cik Ritzsya ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 24 November.
Hat Yai dilanda hujan lebat, dengan jumlah taburan hujan mencecah 595 milimeter (mm) antara 19 dengan 22 November, lapor The Straits Times (ST).
Pihak berkuasa Thailand mengisytiharkannya sebagai zon bencana tahap merah.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan Kedutaan Singapura di Bangkok sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas.
Apabila menerima amaran banjir sekitar 30 minit setelah mereka tiba di Hat Yai, Cik Ritzsya dan suaminya, yang lelah menunggang motosikal sepanjang hari, menjadi buntu.
Mereka tidak pasti jika mereka sepatutnya berpatah balik ke Malaysia atau meneruskan perjalanan di Thailand.
Akibat keletihan, mereka membuat keputusan menginap di Airbnb yang telah mereka tempah untuk malam itu, sebelum membuat keputusan keesokan harinya.
Mereka tidak menyangka pada 22 November sekitar 8 pagi, paras air meningkat sehingga membanjiri lantai bawah rumah penginapan mereka dan menenggelami motosikal mereka.
Bot yang dijanjikan hos penginapan mereka untuk membawa mereka ke kawasan lebih tinggi juga gagal tiba, membuatkan mereka terpaksa menyelamatkan diri sendiri.
“Jadi kami berjalan meredah banjir selama satu jam untuk sampai ke lokasi baru dan kami menginap di sini sejak 23 November.
“Buat masa ini masih ada bekalan elektrik, namun bekalan air sudah pun terputus.
“Kami kini mengumpul air hujan untuk mengisi tangki di rumah supaya kami masih mempunyai air.
“Tetapi kami baru sahaja menerima berita bahawa bekalan elektrik juga akan terputus tidak lama lagi,” cerita Cik Ritzsya.
Oleh kerana cuaca yang tidak menentu dan halangan di jalan raya, pasangan itu terpaksa menunggu dan memantau paras air setiap hari.
Mereka berharap keadaan banjir akan pulih supaya dapat menghubungi perkhidmatan tunda kenderaan untuk membawa motosikal mereka ke bengkel untuk diperbaiki, sebelum membuat perjalanan pulang ke Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg