Pasangan suami isteri tekad ubah nasib untuk dapat miliki rumah sendiri
Pasangan suami isteri tekad ubah nasib untuk dapat miliki rumah sendiri
Kasih seorang ayah yang tidak mengenal batas jelas terpancar menerusi cara beliau berhempas-pulas bertugas demi mencapai impian untuk memiliki rumah sendiri buat isteri dan enam anaknya.
Sebagai seorang kerani kiraan barang di syarikat logistik dan perkapalan, Encik Muhammad Suhaimi Awang, 51 tahun, akur ia bukanlah satu pekerjaan yang menjanjikan kekayaan dan keselesaan hidup.
Namun ia memberikan kelonggaran masa yang mengizinkan dirinya menghantar dan menjemput anak-anak dari sekolah setiap hari.
“Saya nak dapatkan ‘rumah beli’ jadi boleh besarkan anak saya dengan lebih selesa di ruang yang lebih besar.
“Nanti kalau saya dah tak ada, sekurang-kurangnya anak-anak ada rumah untuk tinggal.
“Saya pun nak mereka ada pelajaran tinggi, dapat kerja bagus, boleh hidup lebih baik dari keadaan sekarang,” luah hati Encik Suhaimi dalam tangisan.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di flat sewa dua bilik di Yishun pada 5 Mac, Encik Suhaimi dan isterinya, Cik Nor Erna Karina Masdilah, 29 tahun, sedang menguruskan lima anak mereka yang berusia antara satu dengan lapan tahun.
Anak sulung mereka yang berusia 10 tahun pula sedang berada di kelas tambahan ketika itu.
Bagi pasangan suami isteri itu, memastikan anak hadir ke sekolah setiap hari, di samping menghadiri kegiatan selepas sekolah adalah cara untuk menyemai nilai pendidikan dalam diri mereka.
Anak mereka menghadiri sekolah rendah, tadika, prasekolah dan pusat penjagaan bayi.
Nilai itulah antara perkara yang dipelajari Encik Suhaimi dan Cik Nor Erna melalui bimbingan Encik Joseph Lua, pembimbing keluarga ComLink+ mereka sejak 2025.
Apabila kali pertama dipadankan dengan keluarga Encik Suhaimi, Encik Lua berkongsi antara isu paling mendesak yang beliau perhatikan, ialah keadaan kewangan serta pembahagian masa.
“Pada ketika itu, Encik Suhaimi merupakan penyara tunggal keluarganya.
“Hanya satu pendapatan untuk menampung keluarga seramai lapan orang.
“Jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas.
“Selain itu, apabila anak-anak yang lebih tua pulang ke rumah, mereka lazimnya menghabiskan masa di rumah sahaja.
“Wujud potensi untuk mereka mendapat pendedahan kepada program dan aktiviti selepas sekolah yang lebih banyak, selaras dengan minat mereka,” kata Encik Lua.
Dengan bimbingan Encik Lua, Encik Suhaimi dan Cik Erna telah belajar cara mengurangkan kos perbelanjaan serta kepentingan mendedahkan kanak-kanak kepada peluang pendidikan.
Mereka juga telah mendapat bantuan tambahan Pakej Kemajuan ComLink+ untuk Pekerjaan dan Prasekolah.
Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah mengumumkan Pakej Kemajuan ComLink+ yang dipertingkatkan pada 6 Mac.
Ini termasuk bayaran perkongsian baru sebanyak $500 setiap suku tahun kepada keluarga yang terus bekerjasama dengan pembimbing keluarga atau pekerja kes untuk mencapai matlamat yang ditentukan.
Bayaran $500 ini adalah dalam bentuk $200 wang tunai dan $300 yang akan disalurkan ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Bagi aspek prasekolah, setiap anak yang mencatat kehadiran ke kelas prasekolah sekurang-kurangnya 75 peratus bagi setiap suku tahun akan menerima sebanyak $250, iaitu $100 wang tunai dan tokokan $150 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA).
Bagi kanak-kanak yang mencatat kehadiran ke kelas prasekolah antara 50 peratus dengan 74 peratus akan menerima $150 berupa $60 wang tunai dan tokokan $90 ke dalam CDA bagi tempoh yang sama.
Dalam aspek pekerjaan, setiap isi rumah dengan pendapatan bulanan antara $1,000 dengan $1,999 akan menerima sebanyak $500 setiap suku tahun – $200 wang tunai dan $300 disalurkan ke dalam CPF.
Isi rumah dengan pendapatan sekurang-kurangnya $2,000 akan menerima $1,250 setiap suku tahun – $500 wang tunai dan $750 dalam CPF.
Justeru, disebabkan ingin meringankan beban suaminya, Cik Erna turut mengambil inisiatif bekerja sambilan sebagai pembantu kedai di sebuah minimart, yang terletak di blok bersebelahan rumah mereka, mulai penghujung 2025.
Dengan dua sumber pendapatan, keluarga Cik Erna buat kali pertamanya, berjaya menyimpan sekitar $200 sebulan.
Melangkah ke hadapan dengan azam baru, Encik Suhaimi dan Cik Erna bercadang mengikuti kursus peningkatan kemahiran bagi membuka peluang mendapatkan pekerjaan lebih baik, dengan caruman CPF yang lebih tinggi.
Ini akan membolehkan mereka untuk menambah wang simpanan dan CPF, agar dapat mencapai impian memiliki rumah suatu hari kelak.

