Yuran penjagaan kanak-kanak dikurangkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yuran penjagaan kanak-kanak dikurangkan

Mar 6, 2026 | 1:34 PM

Yuran penjagaan kanak-kanak dikurangkan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
yuran penjagaan kanak-kanak, prasekolah, dikurangkan
Yuran penjagaan kanak-kanak sepanjang hari kini dihadkan kepada $610 di prasekolah pengendali utama dan $650 di prasekolah pengendali rakan kongsi mulai 2026, memastikan ia kekal dimampui keluarga di sini. - Foto ZAOBAO

Yuran penjagaan kanak-kanak sepanjang hari kini dihadkan kepada $610 di prasekolah pengendali utama dan $650 di prasekolah pengendali rakan kongsi mulai 2026.

Ini menyusuli beberapa pusingan pengurangan had yuran sejak 2020.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, memberi jaminan bahawa pemerintah berhasrat memastikan harga perkhidmatan penjagaan kanak-kanak kekal berpatutan.

Beliau berkata had yuran tersebut adalah 15 peratus lebih rendah berbanding 2020.

“Ini akan memastikan perbelanjaan bagi penjagaan kanak-kanak sepanjang hari di prasekolah pengendali utama setanding dengan gabungan yuran sekolah rendah dan penjagaan selepas sekolah.

“Dengan had pendapatan subsidi tambahan yang disemak semula diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dalam ucapan Belanjawannya, banyak keluarga boleh menjangkakan pembayaran yuran yang lebih rendah,” kata Encik Goh semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 6 Mac.

Encik Wong dalam ucapan Belanjawannya pada 12 Februari lalu berkata pemerintah akan meningkatkan subsidi berdasarkan pendapatan bagi khidmat prasekolah dan penjagaan pelajar.

“Kami akan terus memastikan prasekolah dan penjagaan pelajar kekal berpatutan untuk menyokong tahun-tahun awal pembangunan kanak-kanak yang kritikal.

“Saban tahun, kami telah mengurangkan had yuran prasekolah dan meningkatkan subsidi.

“Hari ini, yuran penjagaan kanak-kanak bagi keluarga dwipendapatan setanding dengan yuran di sekolah rendah dan penjagaan selepas sekolah,” kata Encik Wong ketika itu.

Siling pendapatan isi rumah bulanan kasar bagi Skim Bantuan Yuran Tadika (KiFAS) dan Subsidi Tambahan Penjagaan Bayi dan Anak akan dinaikkan mulai Januari 2027.

Ini bermakna had kelayakan pendapatan isi rumah bulanan bagi subsidi prasekolah akan ditingkatkan daripada $12,000 kepada $15,000 menjelang 2027.

Perubahan itu dijangka memanfaatkan lebih 60,000 keluarga.

Contohnya, isi rumah berpendapatan median $12,500, dengan dua orang anak di pusat penjagaan kanak-kanak pengendali utama, akan mendapati jumlah yuran bagi kedua-dua anak mereka berkurangan sebanyak 35 peratus daripada $730 pada 2026, kepada $470 pada 2027.

Selain itu, skim Bantuan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA) juga akan dikemas kini bermula 2027, dengan had kelayakan pendapatan isi rumah bulanan bagi subsidi penjagaan pelajar dinaikkan daripada $4,500 kepada $6,500.

Sekitar 13,000 pelajar dijangka meraih manfaat daripada perubahan ini, menurut Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dalam ucapannya.

Encik Zhulkarnain turut mengumumkan bahawa MSF akan memanjangkan tempoh bantuan maksimum SCFA daripada 24 bulan kepada 36 bulan.

Sementara itu Encik Goh, dalam responsnya kepada saranan Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) agar subsidi prasekolah mudah alih dan sokongan gaji tambahan diberikan kepada pengendali bukan disokong pemerintah, berkata:

“Subsidi mudah alih telah dibincangkan di Parlimen sebelum ini.

“Kami telah mengkaji perkara ini, menekankan bahawa pendekatan ini sahaja boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini, seperti kenaikan yuran tanpa penambahbaikan dalam aksesibiliti atau mutu, atau prasekolah menjadi terlalu komersial.

“Sebaliknya, kami mengambil pendekatan yang lebih holistik.

“Kami menyediakan pembiayaan kepada pengendali yang dipilih dengan teliti, untuk mengehadkan yuran dan mengekalkan mutu.

“Kami juga menyediakan subsidi asas serta subsidi tambahan berdasarkan kemampuan ibu bapa bagi memastikan kos prasekolah kekal mampu milik, dengan keluarga berpendapatan rendah membayar yuran yang lebih rendah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg