Pasangan warga emas lega dibantu Pertapis ringankan beban harian
Pasangan warga emas lega dibantu Pertapis ringankan beban harian
“Sebelum Pertapis datang, kami mesti pastikan ada makanan. Kami hanya cuba mahu teruskan hidup.”
Begitulah luahan hati Cik Aisah Abu Bakar, 74 tahun. Beliau dan suaminya, Encik Salaluden K.S.R Musa, 71 tahun, tidak lagi bekerja kerana usia dan kesihatan. Pasangan yang tiada anak ini turut menanggung pelbagai penyakit kronik.
Cik Aisah menghidap penyakit mata akibat diabetes/kencing manis, di samping tekanan darah tinggi dan kolesterol yang memerlukan rawatan bulanan di poliklinik.
Suaminya pula berdepan penyakit jantung, diabetes, tekanan darah tinggi, dan kolesterol. Tanpa anak tempat bergantung, mereka perlu menguruskan kesihatan sendiri, menjadikan kehidupan harian sering kali mencabar dari segi fizikal, emosi, dan kewangan.
Menurut Cik Aisah, ada masanya mereka terpaksa mencatu makanan dengan cermat agar bekalan cukup sepanjang bulan. Bagi mereka, setiap perbelanjaan dan pembelian perlu ditimbang sedalam-dalamnya.
Kini, melalui bantuan zakat daripada Pertapis, Cik Aisah menerima peruntukan makanan dan baucar pasar raya yang sedikit sebanyak meringankan beban harian mereka.
Sokongan ini bukan sekadar barangan runcit, malah ruang kelegaan dalam hidup yang penuh ujian.
“Dengan bantuan Pertapis, kami rasa lega. Alhamdulillah,” kata Cik Aisah penuh rasa syukur.
Cik Aisah mengakui, kesunyian kadangkala hadir, kerana kebanyakan hari hanya dihabiskan berdua dengan suami di rumah.
Namun, Ramadan membawa perubahan. Setiap tahun, Pertapis menjemput penerima zakat berkumpul dalam majlis berbuka puasa yang istimewa.
Meja dihidangkan dengan juadah panas, perbualan mesra mengalir antara penerima dan sukarelawan dengan kakitangan. Hidangan ini menjadi lebih daripada sekadar makanan, ia adalah pengalaman yang bermakna.
Cik Aisah berkata: “Apabila mereka anjurkan majlis berbuka puasa, saya rasa semua orang di sana keluarga saya. Ada kegembiraan apabila kami makan bersama. Biasanya, kami hanya makan berdua.”
Semasa majlis tersebut, penerima manfaat turut menerima sedekah dan sokongan perayaan untuk membantu persiapan Hari Raya.
Bagi Cik Aisah, ini bukan hanya tentang bantuan, bahkan tentang rasa diingati, dihargai, dan disertakan.
Selama lebih 55 tahun, Pertapis menyokong insan dan keluarga rentan dalam masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas yang bergelut dengan cabaran hidup.
Melalui bantuan bulanan, sokongan perayaan, dan perhimpunan masyarakat, badan ini memastikan tiada siapa yang terpinggir.
Bagi pasangan warga emas seperti Cik Aisah dan suaminya, sokongan ini bukan sekadar makanan di meja, ia tentang maruah, persahabatan, dan jaminan bahawa ada yang mengambil berat.
“Jika bukan kerana Pertapis, saya tidak tahu bagaimana nasib kami,” luahnya lagi.
Zakat dan sumbangan anda membolehkan Pertapis terus membantu warga emas, keluarga, dan individu yang bergelut secara senyap di sebalik pintu tertutup.
Dengan sokongan anda, Pertapis bukan sahaja menyediakan bantuan penting, malah turut menyemai harapan, kelegaan, dan rasa kekitaan kepada mereka yang paling memerlukan.
Untuk tunaikan zakat anda dengan Pertapis:
2. Melalui PayNow: UEN S71SS0014H.
3. Kunjungi kaunter zakat Pertapis di Kompleks Joo Chiat, #04-1019. Dibuka setiap hari sepanjang Ramadan, dari 9 pagi hingga 5 petang.
4. ‘Zakat Connect’ – khidmat kutip zakat di depan pintu anda. Hubungi talian 6745-3969 untuk buat janji temu.

