Setelah “berehat” selama 13 tahun, Pertapis kembali giat mengadakan penyembelihan korban pada 2024.
Pada 2025 pula, ia akan meneruskan amalan ibadah itu menerusi, ‘Pertapis Live Korban 2025’.
Ibadah korban 2025 itu akan diadakan pada 7 Jun di Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 34 Geylang.
Untuk menyempurnakan ibadah korban itu, Pertapis akan membawa masuk kambing biri-biri jenis Merino dari Australia.
Lebih 120 ekor kambing biri-biri itu akan diterbangkan terus ke Singapura.
Usaha Pertapis menjalankan ibadah korban di Singapura berasaskan kesedaran penting dalam Islam.
Seperti hadis daripada riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Dia menyembelih mereka dengan tangannya sendiri dan menyebut nama Allah ke atas mereka dan bertakbir dan meletakkan kakinya di sisi mereka”, kebanyakan ulama menggariskan kepentingan mengikuti sunah Nabi Muhammad saw yang lengkap iaitu menyaksikan sendiri detik penyembelihan korban apabila ia boleh dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, berkata:
”Ada sesuatu istimewa dalam acara korban anjuran kami pada 2025 ini.
“Kami amat gembira dan berbesar hati dapat bekerjasama dengan Darul Arqam Singapura (MCAS). Para sohibul korban, atau orang yang melaksanakan korban daripada Darul Arqam kebanyakannya mualaf, atau saudara baru.
“Dengan adanya kerjasama dengan Darul Arqam, ini akan memberi peluang kepada mereka meraih pengalaman korban dan menyaksikan sendiri ibadah penyembelihan korban buat kali pertama.”
Pertapis mahu menghidupkan kembali tradisi yang sangat digalakkan dalam Islam.
Ia sedang giat berusaha mengembalikan amalan menyembelih korban di Singapura dengan tumpuan kepada amalan sunah iaitu menyaksikan sendiri ibadah penyembelihan.
Langkah itu juga akan mendorong umat Islam untuk hadir secara fizikal dan terlibat secara aktif dalam ibadah, sebagaimana mengikut sunah Rasulullah saw.
Daging korban Pertapis yang segar itu akan disumbangkan kepada penerima bantuan Pertapis yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, golongan ibu dan bapa tunggal dan juga warga emas.
Pertapis sangat prihatin dan memberi tumpuan kepada badan amal tempatan.
Warga Singapura biasanya merupakan masyarakat yang pemurah dan baik hati.
Mereka sememangnya cenderung untuk menyokong golongan memerlukan di negara jiran dan negara yang menghadapi kemelut kemanusiaan.
Sejak kebelakangan ini, sudah menjadi satu kebiasaan bagi warga Singapura melakukan ibadah korban di luar negara.
Pertapis ingin menggalakkan masyarakat setempat meneruskan usaha murni mereka di Singapura, agar dapat berkongsi rezeki dengan golongan keluarga rentan di sini.
Pengagihan daging segar kepada penerima bantuan Pertapis hanya berlaku sekali setahun semasa Hari Raya Haji.
“Kami memang jarang berpeluang membeli daging kerana kekangan kewangan.
“Melalui pengagihan daging korban seperti ini, barulah kami dapat merasa daging bersama keluarga,” ujar salah seorang penerima bantuan Pertapis, menggambarkan betapa besar makna bantuan tersebut kepada golongan memerlukan.
Daging daripada ibadah korban itu akan diagihkan kepada 500 keluarga berpendapatan rendah di bawah naungan Pertapis.
Untuk penyertaan, sila layari laman web, https://www.pertapis.org.sg/korban2025
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg