Beg plastik kembali semula di Don Don Donki, tujuh bulan selepas rangkaian pasar raya Jepun itu menghentikan daripada memberikannya kepada pelanggan.
Beg plastik baru – yang akan tersedia mulai 19 Mei – adalah mesra alam, serta dikenakan bayaran lima sen setiap satu, menurut kenyataan pasar raya tersebut pada hari yang sama.
Beg ini direka khas untuk terurai secara semula jadi dari masa ke masa dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar dalam jangka panjang, membantu rangkaian ini untuk terus menyokong keperluan pelanggan dengan cara yang lebih mesra alam, tambah Don Don Donki.
“Kami terus menggalakkan semua pelanggan untuk membawa beg guna semula mereka selagi boleh,” kata syarikat itu dalam satu hantaran di Facebook, lapor The Straits Times (ST).
Don Don Donki, yang mempunyai 17 cawangan di Singapura, sebelum ini menghentikan penjualan beg plastik pada 1 Oktober 2024.
Sebelum itu, pelanggan yang memerlukan beg plastik perlu membayar 10 sen untuk setiap transaksi sehingga Julai 2023 dan kemudian bayaran diturunkan kepada lima sen bagi setiap beg.
Beberapa pengguna Internet menyuarakan sokongan terhadap langkah terbaru ini, sementara sesetengah yang lain masih ragu-ragu, sama ada beg plastik tersebut akan memberi impak positif yang ketara terhadap alam sekitar.
Seorang pengguna Facebook, Encik Pang Kia Nian, yang menyokong langkah ini, berkata: “Saya berhenti membeli-belah di Don Don Donki selepas ia menghentikan beg plastik pada 2024 kerana kebanyakan lawatan saya tidak dirancang dan sukar untuk membawa pulang barang yang dibeli.”
Seorang lagi pengguna, Encik Timothy Kao, pula mempertikaikan: “Adakah jejak karbon beg biodegradasi lebih rendah berbanding beg plastik biasa?”
Pengguna, Encik Daniel Sng, pula mencadangkan: “Mungkin (Don Don Donki) boleh menyediakan beg plastik percuma dan memberi diskaun kecil kepada pelanggan yang membawa beg sendiri.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg