Pasir Ris-Changi lancar bazar Ramadan skala besar pertama
Pasir Ris-Changi lancar bazar Ramadan skala besar pertama
Terletak di padang terbuka berhadapan Blok 414 Pasir Ris Drive 6, acara berlangsung hingga 19 Mac
Pasir Ris-Changi lancar bazar Ramadan skala besar pertama
Penduduk GRC Pasir Ris-Changi kini boleh mengunjungi bazar Ramadan pertama berskala besar di kawasan itu, yang menampilkan sekitar 50 gerai makanan dan minuman.
Bazar yang terletak di padang terbuka berhadapan Blok 414 Pasir Ris Drive 6 itu dilancarkan secara rasmi pada 20 Februari dan akan berlangsung hingga 19 Mac.
Pada hari pelancarannya, Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Changi, termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah; Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; serta Cik Valerie Lee dan Encik Sharael Taha, menyertai sekitar 50 wakil daripada pelbagai pertubuhan agama termasuk badan Melayu/Islam dalam majlis berbuka puasa.
Dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA) dengan kerjasama pertubuhan akar umbi GRC Pasir Ris-Changi, bazar tersebut menampilkan 50 gerai, dengan ada daripadanya diusahakan oleh penduduk setempat, termasuk gerai kuih-muih dan gerai minuman.
Semasa ditemui Berita Harian (BH), Encik Sharael berkata bazar tersebut bukan sekadar ruang jual beli.
“Bazar Ramadan ini melangkaui runcit dan makanan; ia adalah ruang untuk mengeratkan hubungan masyarakat dan menghargai budaya bersama.
“Melalui persembahan budaya yang diadakan selepas solat serta gerai masyarakat khas, termasuk pengagihan bubur, baju kurung dan sokongan kepada perniagaan dari rumah bagi keluarga berpendapatan rendah, bazar ini memupuk sifat prihatin, perpaduan dan semangat masyarakat yang kukuh,” katanya.
Sebelum pandemik Covid-19, hanya sebuah bazar kecil dengan sekitar enam gerai pernah dianjurkan.
Dalam satu kenyataan oleh Pejabat Kawasan Undi Pasir Ris-Changi pada 13 Februari, Cik Indranee berkata:
“Bazar ini diadakan semula berdasarkan maklum balas penduduk. Walaupun Ramadan disambut oleh umat Islam, ia juga masa untuk bermuhasabah, berbelas ihsan dan memberi, yang merupakan nilai sejagat.
“Kami berharap bazar ini dapat dinikmati oleh penduduk Muslim dan bukan Muslim, serta menjadi wadah mengukuhkan semangat kemasyarakatan serta penghargaan terhadap identiti berbilang budaya dan agama.”
Selain menikmati juadah Ramadan, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan seni hujung minggu.
Pasir Ris Mall akan menaja satu acara berbuka puasa pada 3 Mac sebagai tanda kerjasama erat antara masyarakat dengan perniagaan tempatan dalam menyokong keluarga berpendapatan rendah.
Sambutan ini turut merangkumi inisiatif pengagihan baju kurung terpakai ‘Wear, Share & Care’ pada 28 Februari, beberapa sesi pengagihan bubur, acara berbasikal masyarakat Ramadan Ride pada 6 Mac, demonstrasi masakan oleh Cef Bob pada 14 Mac, sesi fotografi Potret Raya dan sambutan Hari Raya peringkat GRC pada 4 April.
“
“Melalui persembahan budaya yang diadakan selepas solat serta gerai masyarakat khas, termasuk pengagihan bubur, baju kurung dan sokongan kepada perniagaan dari rumah bagi keluarga berpendapatan rendah, bazar ini memupuk sifat prihatin, perpaduan dan semangat masyarakat yang kukuh.”
