Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasport S’pura kekal paling berkuasa di dunia sekali lagi
Pasport S’pura kekal paling berkuasa di dunia sekali lagi
Pasport S’pura kekal paling berkuasa di dunia sekali lagi
Pemegang pasport Singapura terus menikmati manfaat pasport paling berkuasa di dunia, dengan akses bebas visa atau visa semasa ketibaan ke 192 destinasi.
Singapura mengekalkan kedudukan teratas itu dalam Indeks Pasport Henley terbaru, yang dikeluarkan buat kali kedua bagi 2026 pada 21 Julai.
Amiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat peningkatan terbesar sejak laporan terakhir yang diterbitkan pada Januari lalu.
UAE melonjak naik tiga tangga untuk menyertai Jepun dan Korea Selatan di tempat kedua dengan masing-masing mendapat akses ke 188 destinasi.
Sweden berada di tangga ketiga dengan akses ke 187 destinasi, diikuti oleh 11 negara Eropah lain yang berkongsi kedudukan di tempat keempat.
Negara-negara di tangga keempat yang mempunyai akses ke 186 destinasi ialah Belgium, Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Italy, Luxembourg, Belanda, Norway dan Sepanyol.
Austria, Greece, Malta, Portugal dan Switzerland berada di kedudukan kelima bersama dengan akses ke 185 destinasi, manakala Hungary, Poland dan Britain berada di tangga keenam.
Di tangga ketujuh pula ialah Malaysia, Australia dan New Zealand, bersama Canada serta empat negara Eropah lain.
Pasport Singapura juga menduduki tangga teratas dalam laporan Januari oleh Henley & Partners, syarikat pakar dalam perancangan pemastautinan dan kerakyatan.
Sementara itu, Afghanistan sekali lagi berada di kedudukan terakhir daripada 199 pasport, dengan akses ke 22 destinasi sahaja.
Jumlah itu merosot berbanding 24 destinasi yang dilaporkan pada Januari lalu, sekali gus mencatat jurang mobiliti perjalanan global tertinggi iaitu sebanyak 170 destinasi berbanding Singapura yang menduduki tangga teratas.
Meskipun begitu, indeks tersebut – yang kini memasuki tahun ke-20 – menunjukkan bahawa purata pasport kini memberi akses bebas visa ke 108 destinasi di seluruh dunia, meningkat berbanding hanya 58 destinasi semasa indeks berkenaan mula diperkenalkan pada 2006.
Henley & Partners turut mendapati bahawa kebebasan perjalanan global telah berkembang pesat sepanjang 20 tahun lalu.
Pada 2006, pasport paling berkuasa – yang dimiliki oleh warga Amerika Syarikat, Denmark dan Finland – memberikan akses bebas visa ke 130 destinasi.
Peluasan kelonggaran perjalanan global ini berlaku meskipun tahap keamanan sejagat merosot bagi tahun ke-12 berturut-turut, menurut Indeks Keamanan Global terbaru oleh Institut Ekonomi & Keamanan.
Apabila kedua-dua indeks tersebut dibandingkan, Henley & Partners mendapati terdapat hubung kait kuat antara tahap keamanan sesebuah destinasi dengan kekuatan pasportnya sepanjang 20 tahun lalu.
Singapura menduduki tangga kelapan dalam Indeks Keamanan Global dan tangga teratas dalam Indeks Pasport Henley, manakala Jepun, Switzerland, Ireland, Austria, Portugal, Finland, Denmark, New Zealand, Canada, Czechia dan Malaysia semuanya menduduki kedudukan tinggi dalam kedua-dua indeks tersebut.
Sementara itu, Afghanistan, Syria dan Yaman adalah antara negara paling tidak aman di dunia dan mempunyai pasport paling lemah di dunia.
Kekecualian ini merangkumi Israel, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Ukraine dan Russia – yang kesemuanya menduduki tangga tinggi dalam Indeks Pasport Henley tetapi berada di kedudukan lebih rendah dalam carta keamanan.
Indeks Pasport Henley, yang menilai kedudukan pasport dunia dua kali setahun, mengukur bilangan destinasi yang boleh diakses oleh pemegang pasport tanpa perlu memohon visa terlebih dahulu.
Indeks tersebut berasaskan data perjalanan rasmi oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) dan digunakan oleh syarikat penerbangan serta pemerintah di serata dunia untuk menentukan syarat kemasukan.