NAGOYA: Pasukan wanita epee Singapura meraih pingat gangsa Sukan Asia pada 25 September, meskipun tewas di peringkat separuh akhir kepada Korea Selatan.

Ini selepas mereka bangkit cemerlang dalam suku akhir menentang Uzbekistan.

Epee ialah satu daripada tiga disiplin dalam sukan lawan pedang, selain foil dan sabre.

Di Aichi Sky Expo, Filzah Hidayah, Kiria Tikanah, Esther Tan dan Elle Koh bangkit daripada ketinggalan besar pada penghujung saingan, dengan Koh memastikan kemenangan 42-41 ke atas Uzbekistan dalam masa tambahan.

Kuartet pilihan utama yang mara terus ke suku akhir itu kemudian tewas 35-45 kepada juara bertahan Korea Selatan.

Kedua-dua pasukan yang tewas di separuh akhir menerima gangsa tanpa perlawanan penentuan.

Ini kali pertama pasukan epee Singapura meraih pingat di Sukan Asia.

Pasukan epee wanita tersingkir pada suku akhir dalam tiga edisi berturut-turut sebelum ini.

Kejayaan menaiki podium pada 25 September menjadikan pungutan pingat atlet lawan pedang Singapura kepada tiga pingat.

Kuartet itu ketinggalan sehingga 11 mata kepada Malika Khakimova, Dilnaz Murzataeva dan Sanam Nazarova dari Uzbekistan sebelum Koh kemudian meraih mata penentuan dalam masa tambahan untuk melengkapkan kebangkitan Singapura.

Pada separuh akhir, Singapura tewas 45-35 kepada juara bertahan Korea Selatan yang dibarisi pemenang emas individu Song Se-ra, Yang Seung-hye, Lim Tae-hee dan Lee Hye-in.

Kazakhstan dan China akan bersua dalam satu lagi separuh akhir.

Atlet lawan pedang Singapura sudah meraih tiga pingat di Aichi-Nagoya, dengan lebih banyak acara berpasukan dijadualkan dalam beberapa hari akan datang.

Pada 22 September, Kiria Tikanah memenangi pingat perak pertama Singapura dalam sejarah acara lawan pedang di Sukan Asia menerusi epee wanita.

Sehari kemudian, Maxine Wong meraih pingat individu pertamanya di Sukan Asia dengan gangsa acara foil wanita selepas tewas kepada Yuka Ueno dari Jepun pada separuh akhir.

Lim Wei Wen meraih pingat lawan pedang pertama Singapura di Sukan Asia dengan gangsa epee lelaki pada 2014.

Pada awal 25 September, pasukan epee wanita, pilihan utama berdasarkan prestasi acara individu, mara terus ke suku akhir tanpa bertanding.

Pungutan pingat kontinjen Singapura seramai 304 atlet turut merangkumi emas petarung seni bela diri campuran (MMA) Tiffany Teo, dua perak perenang Gan Ching Hwee dan gangsa atlet wushu Zeanne Law dalam acara taijiquan-taijijian wanita, menjadikan jumlah keseluruhan empat pingat.

Pada Sukan Asia 2023 di Hangzhou, Singapura meraih 16 pingat, iaitu tiga emas, enam perak dan tujuh gangsa.