Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan HDB bantu keluarga flat sewa capai impian miliki rumah sendiri
Beri panduan semak kedudukan kewangan, kenal pasti geran sesuai, pilih jenis flat mampu milik
Bagi pasangan Cik Noor Aini Jani dan Encik Muhammad Waliyuddin Nordin, impian untuk memiliki rumah sendiri bukan sesuatu yang pernah mereka rancang secara terperinci.
Namun, ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, dunia mereka ikut berubah.
Impian Cik Aini untuk mengembara ke seluruh dunia terpaksa diketepikan, perancangan kewangan mereka berubah, malah pasangan itu akhirnya berpindah ke flat sewa dua bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) selepas mendapati pilihan lain berada di luar kemampuan mereka.
Namun, apabila mereka akhirnya bersedia untuk memiliki rumah sendiri, mereka menyedari cabaran terbesar bukan sekadar mengumpul wang.
Pasangan itu sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak memulakan perjalanan untuk memiliki rumah tersebut.
“Pada awalnya ketika saya mempunyai hasrat untuk mendapatkan rumah sendiri, saya cuba untuk membuat permohonan.
“Tetapi ketika itu, saya perasan sebenarnya terdapat pelbagai perkara yang diperlukan dalam permohonan tersebut,” jelas Cik Aini, 35 tahun, kakitangan pentadbiran di syarikat insurans.
Antara perkara yang beliau tidak tahu termasuk jumlah simpanan minimum dalam Akaun Biasa Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sebelum layak memohon Surat Kelayakan Flat HDB (HFE), geran yang boleh dimanfaatkan serta langkah yang perlu diambil sebelum mengemukakan permohonan.
Hanya selepas diperkenalkan kepada Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) kendalian HDB melalui jurulatih keluarga ComLink+, perjalanan itu mula lebih jelas.
Melalui bimbingan secara peribadi daripada pegawai HST, Cik Aini berkata beliau dan suaminya dibimbing pada setiap peringkat proses pembelian rumah, daripada memahami kelayakan mereka, menyemak kedudukan kewangan, mengenal pasti geran yang sesuai hinggalah memilih jenis flat yang mampu dimiliki.
“Bagi saya, HST ini seperti mereka membimbing anda dari mula hingga akhir. Apa sahaja yang kami kurang faham, mereka akan terangkan satu per satu.
“Sepanjang proses itu, pegawai HST telah membantu untuk semak penyata gaji kami, terangkan tentang HFE, jumlah CPF yang diperlukan dan juga geran-geran yang kami layak terima dan ini membuat kami lebih yakin untuk meneruskan permohonan,” kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia empat tahun itu.
Hasil bimbingan tersebut, pasangan itu berjaya mendapatkan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tiga bilik di Sengkang dan mereka dijangka menerima kunci rumah mereka pada 2027.
Menurut Cik Aini, tanpa bimbingan yang diterima, beliau tidak pasti sama ada mereka mampu melalui keseluruhan proses itu dengan lancar.
Suaminya, Encik Muhammad Waliyuddin, 30 tahun, bertugas sebagai jurulatih bebas dalam bidang sukan air.
Pegawai HST, Cik Nurul Suhaidah Amran, memberitahu Berita Harian (BH) – yang mengendalikan podcast NoTapis – bahawa pengalaman pasangan itu bukanlah luar biasa.
Menurut beliau, ramai penghuni rumah sewa sebenarnya mempunyai aspirasi untuk memiliki rumah sendiri, namun mereka sering tidak mengetahui cara membeli rumah secara menyeluruh.
“Tugas kami adalah untuk memberi bimbingan kepada penduduk rumah sewa yang sudah bersedia untuk membeli rumah, terutamanya mereka yang ada anak-anak kecil.
“Mungkin mereka sudah bersedia untuk membeli rumah, tetapi mereka memerlukan panduan atau bimbingan untuk membeli rumah secara menyeluruh,” jelas beliau.
Ditubuhkan pada 2019, HST membantu keluarga penghuni rumah sewa yang bersedia melangkah ke arah pemilikan rumah dengan memberi bimbingan daripada peringkat perancangan sehingga mereka menerima kunci rumah, satu proses yang boleh mengambil masa antara tiga dengan empat tahun.
Sejak penubuhan pasukan itu, HST telah mendampingi 2,500 keluarga.
Pada 2025, HDB membantu hampir 700 isi rumah sewa awam dalam perjalanan mereka memiliki rumah sendiri.
“Kami membantu keluarga mengira bajet perumahan, mengenal pasti geran yang sesuai, memilih jenis flat mengikut kemampuan serta membimbing mereka melalui keseluruhan proses permohonan,” tambah Cik Suhaidah.
Selain menunggu rujukan, Cik Suhaidah berkongsi bahawa HST juga mengenal pasti secara proaktif sekiranya keluarga yang duduk di rumah flat sewa layak memperoleh rumah mereka sendiri.
Ini berdasarkan faktor seperti kestabilan pekerjaan, jumlah CPF yang mencukupi dan kelayakan, sebelum menghubungi mereka.
“
Bagi saya, HST (Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah) ini seperti mereka membimbing anda dari mula hingga akhir. Apa sahaja yang kami kurang faham, mereka akan terangkan satu per satu. Sepanjang proses itu, pegawai HST telah membantu untuk semak penyata gaji kami, terangkan tentang HFE (Surat Kelayakan Flat HDB), jumlah CPF (Tabung Simpanan Pekerja) yang diperlukan dan juga geran-geran yang kami layak terima dan ini membuat kami lebih yakin untuk meneruskan permohonan.“
Tugas kami adalah untuk memberi bimbingan kepada penduduk rumah sewa yang sudah bersedia untuk membeli rumah, terutamanya mereka yang ada anak-anak kecil. Mungkin mereka sudah bersedia untuk membeli rumah, tetapi mereka memerlukan panduan atau bimbingan untuk membeli rumah secara menyeluruh.