Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan KKH-MUIS raih anugerah jagaan kesihatan tertinggi bantu pasangan Islam
Projek Arif sokong pasangan titi alam perkahwinan, keibubapaan
Pasukan KKH-MUIS raih anugerah jagaan kesihatan tertinggi bantu pasangan Islam
Bagi menangani jurang ketara dalam pengetahuan mengenai kesihatan ibu dan anak dalam kalangan pasangan muda Islam yang telah dikenal pasti bagi satu kajian, Projek ‘Achieving Resilient and Inspiring Families’ (Projek Arif) telah dilancarkan pada September 2020.
Projek tersebut merupakan program pertama di Asia Tenggara yang membimbing pasangan bermula daripada memasuki alam perkahwinan, prakehamilan, kehamilan, kelahiran, keibubapaan hingga kesihatan anak.
Ini dilakukan dengan menyepadukan sokongan klinikal kesihatan ibu dan anak ke dalam ekosistem perkahwinan berteraskan agama.
Pasukan di sebalik Projek Arif menerima Anugerah Pasukan Cemerlang Penjagaan Masyarakat Nasional di Anugerah Kecemerlangan Perubatan Nasional, pada 17 September.
Projek ini dimulakan oleh pasukan daripada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Temasek Foundation.
Timbalan Pengerusi Bahagian Perbidanan dan Sakit Puan KKH, Dr Suzanna Sulaiman, berkata:
“Faktor utamanya bukan kemampuan kewangan. (Selain jurang pengetahuan itu), kami juga menyedari bahawa agama memainkan peranan penting dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan dalam kalangan masyarakat. Ini menjadikan masjid dan jurunikah sebagai titik permulaan semula jadi bagi penjagaan kesihatan pencegahan.”
Sejak dilancarkan hingga Mei 2026, Projek Arif telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 individu, termasuk lebih 5,000 pasangan yang menerima bimbingan dan sokongan.
“Projek Arif bukan sahaja bertujuan menyokong para ibu, malah kami turut menyokong para bapa. (Golongan bapa) memainkan peranan penting sepanjang perjalanan ini – daripada persiapan bergelar ibu bapa, menyokong isteri semasa hamil dan bersalin, sehingga terlibat secara aktif dalam kesihatan serta perkembangan anak-anak mereka,” kata Dr Suzanna, sambil menambah bahawa setiap keluarga berhak mendapat permulaan hidup yang terbaik.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata di majlis anugerah di Conrad Singapore bahawa pasukan Projek Arif telah melihat melangkaui tembok hospital bagi bertanyakan satu soalan yang mudah tetapi penting: “Apakah yang benar-benar diperlukan oleh pesakit dan keluarga mereka?”
Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata Projek Arif menyedari bahawa kesihatan boleh dibentuk oleh keadaan peribadi dan masyarakat seseorang, malah lebih daripada apa yang berlaku di dalam klinik.
“Preskripsi sosial telah menjadi teras utama dasar penjagaan kesihatan kita, dengan sokongan program nasional seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG...
“Jika semangat yang sama ini diterapkan ke dalam seluruh sistem penjagaan kesihatan, kita akan mampu mengukuhkan institusi keluarga, memperkasa masyarakat dan menyumbang kepada masyarakat yang penyayang serta prihatin yang ingin kita bina bersama,” kata Encik Ong.
Anugerah Kecemerlangan Perubatan Nasional, yang merupakan anugerah tertinggi peringkat nasional bagi sektor penjagaan kesihatan di Singapura, telah mengiktiraf seramai tujuh klinisian dan dua pasukan pada 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Besar Sengkang, Profesor Teo Eng Kiong, menerima Anugerah Klinisian Cemerlang Nasional atas sumbangan beliau dalam bidang gastroenterologi (penyakit berkaitan perut serta usus) dan hepatologi (penyakit berkaitan hati) serta kepimpinan beliau dalam memajukan keselamatan pesakit, pendidikan perubatan dan perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Profesor N. Gopalakrishna Iyer, yang mengetuai Jabatan Pembedahan Kepala dan Leher di Pusat Barah Nasional Singapura, merangkul Anugerah Saintis Klinisian Cemerlang Nasional.
SENARAI PENERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PERUBATAN NASIONAL 2026:
- Anugerah Klinisian Cemerlang Nasional: Profesor Teo Eng Kiong dari Hospital Besar Sengkang (SingHealth)
- Anugerah Klinisian Saintis Cemerlang Nasional: Profesor N. Gopalakrishna Iyer dari Pusat Barah Nasional Singapura (SingHealth) dan Dr Su Xinyi dari Hospital Universiti Nasional (Sistem Kesihatan Universiti Nasional, NUHS)
- Anugerah Klinisian Pembimbing Cemerlang Nasional: Profesor Terrance Chua Siang Jin, Pusat Jantung Nasional Singapura (SingHealth) dan Profesor Pang Weng Sun, Hospital Khoo Teck Puat (NHG Health)
- Anugerah Klinisian Pendidik Cemerlang Nasional: Profesor Madya Nga Min En, Hospital Universiti Nasional (NUHS) dan Dr Kevin Tan, Institut Sains Neuro Nasional (SingHealth)
Penerima Anugerah Kategori Pasukan
- Anugerah Pasukan Kecemerlangan Klinikal Nasional: Pusat Sehenti Risiko Tinggi Perbidanan (Stork), KKH (SingHealth) – merangkumi Profesor Madya Tan Lay Kok, Dr Serene Thain Pei Ting, Dr Tan Chuen Wen, Profesor Madya Michelle Jong
- Anugerah Pasukan Cemerlang Penjagaan Masyarakat Nasional: Projek Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif), KKH (SingHealth) – Dr Suzanna Sulaiman, Dr Nur Adila Ahmad Hatib, Cik Siti Nurzakiah Zaran dan Encik Mohamad Helmy Mohamad Isa

