Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan Operasi Lionheart SCDF diiktiraf PBB

Aug 22, 2025 | 7:29 PM
Kontinjen Operasi Lionheart SCDF mengekalkan klasifikasi pasukan mencari dan menyelamat bandar berskala berat di bawah Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kontinjen Operasi Lionheart SCDF mengekalkan klasifikasi pasukan mencari dan menyelamat bandar berskala berat di bawah Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto ST

Selepas latihan menyelamat yang mencabar selama 36 jam, pasukan bantuan bencana antarabangsa elit Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Operasi Lionheart, mengekalkan pengiktirafan tertinggi antarabangsa bagi pasukan penyelamat bencana.

Pasukan itu mengekalkan klasifikasi pasukan mencari dan menyelamat bandar berskala berat (Heavy Usar) di bawah Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (Insarag) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Semasa latihan penilaian semula Insarag yang bermula pada 19 Ogos, kontinjen Operasi Lionheart SCDF dikehendaki menyelamatkan seorang mangsa yang cedera dan terperangkap di sebalik dinding serong yang runtuh, lapor The Straits Times (ST).

Latihan itu – yang dijalankan di Pusat Taktikal Pasukan Home Team (HTTC) di Mandai – dinilai oleh 13 pengklasifikasi atau pakar dari tujuh negara, serta pemerhati dari Australia, Brazil, Hong Kong, Qatar dan Perancis.

Para pengklasifikasi itu menumpukan perhatian pada kemahiran dan kepakaran yang ditunjukkan pasukan semasa operasi mencari dan menyelamat, serta keupayaan perubatan dan pengurusan logistik mereka, kata Pengarah Latihan dan Pembangunan Profesional di HTTC, Penolong Pesuruhjaya (AC) Chew Keng Tok, pada 21 Ogos.

Pasukan penyelamat menggunakan gerudi hidraulik untuk menebuk lubang melalui dinding konkrit dengan kelebaran satu kaki. 

Keadaan yang bising dan berdebu turut menjadikan tugas itu mencabar.

Kontingen itu turut menggunakan anjing pengesan untuk mencari ‘mangsa terselamat’ yang tertimbus di bawah runtuhan.

Seorang pegawai keselamatan dan pengklasifikasi memerhati dengan teliti cara beberapa penyelamat mengeluarkan seorang ‘mangsa tercedera’ yang tersepit di bawah bongkah konkrit.

Semasa majlis penutup pada 22 Ogos bagi menandakan pengakhiran latihan itu, pasukan SCDF bersorak dan bertepuk tangan apabila wakil PBB Insarag, Encik Winston Chang, melaungkan dari pentas: “Anda lulus!”

“Pasukan Operasi Lionheart Singapura telah berjaya menamatkan latihan berskala penuh selama 36 jam dalam keadaan mencabar. Pengklasifikasi sejagat Insarag antarabangsa… telah memberikan markah tertinggi kepada Pasukan Singapura,” kata Encik Chang dalam ucapannya.

Seramai 80 anggota kontingen telah menerima lencana Insarag PBB.

Ini merupakan penilaian semula ketiga kontinjen itu, selepas 2013 dan 2018, manakala latihan yang dijadual pada 2023 ditunda susulan pandemik Covid-19.

Dengan klasifikasi tersebut, kontinjen Operasi Lionheart dapat menjalankan operasi mencari dan menyelamat berskala penuh, termasuk rawatan perubatan, semasa bencana besar di serata dunia secara bebas sehingga 10 hari.

Kontinjen SCDF merupakan pasukan pertama di rantau Asia-Pasifik dan ketujuh di dunia yang menerima status Heavy Usar pada 2008.

Setakat ini, kontinjen Operasi Lionheart SCDF telah dihantar ke 21 misi luar negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg