Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sertai SCDF demi Operasi Lionheart, gembira dapat bantu mangsa gempa Myanmar

Apr 26, 2025 | 6:25 PM
Mejar Ros Farina Mohd Fauzi Rodrigues, 35 tahun, jurutera struktur.
Mejar Ros Farina Mohd Fauzi Rodrigues, 35 tahun, jurutera struktur. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bersiap untuk pulang ke rumah setelah sehari bertugas sebagai seorang komander kursus di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Mejar Ros Farina menerima khabar bahawa beliau bakal dikerah bertugas di Myanmar setelah negara itu dilanda gempa bumi. 

Ditemui Berita Harian (BH) di satu acara media di Pusat Taktikal Pasukan Home Team (HTTC) pada 21 April, Mejar Farina berkongsi pengalamannya mengenai Operasi Lionheart (OLH) di Myanmar.

Setelah bersiap sedia bersama OLH selama lapan tahun tanpa ditugaskan untuk ke luar negeri, ini kali pertama beliau diberi peluang berkhidmat. Bersama pasukan OLH, Mejar Farina melibatkan diri sebagai seorang jurutera struktur, dan telah diberi tanggungjawab untuk memastikan setiap bangunan runtuh boleh dimasuki oleh pegawai penyelamat. 

Ini bermakna beliau harus memastikan keselamatan pasukannya yang memasuki runtuhan batu di kawasan gempa itu untuk mencapai mangsa yang terperangkap. 

“Saya akan tunggu sedia sekali dalam tempoh setahun setengah. Jadi saya langsung tidak sangka akan ditugaskan ke luar negeri,” kata Mejar Farina sambil menyatakan pasukannya sepatutnya bertukar giliran dengan pasukan lain dalam beberapa hari sahaja. 

Walaupun sudah berlatih dan berkhidmat bersama SCDF selama 10 tahun, Mejar Farina belum pernah berpeluang bertugas di luar negara. 

Kali ini, pasukan OLH dianggotai 48 pegawai Melayu/ Islam yang terpaksa diaktifkan pada dua hari terakhir Ramadan, hingga minggu pertama Syawal. 

“Keluarga saya tetap sokong saya walaupun saya tidak dapat beraya bersama mereka di Singapura,” kata Mejar Farina. 

Sikap positif Mejar Farina telah membantunya menerima kenyataan bahawa beliau tidak akan menyambut Syawal bersama keluarganya di Singapura.

Buat kali pertama, kemahirannya yang dipelajari sepanjang perkhidmatannya di SCDF dapat digunakan pada situasi lebih besar, dan bukan dari segi kemalangan jalan raya ataupun kebakaran sahaja.

Meskipun ini merupakan tugas OLH pertama bagi Mejar Farina, kegelisahannya diatasi dengan kerjasama pasukannya yang sentiasa tolong-menolong. 

“Saya sudah lama bekerja rapat dengan pasukan saya, jadi saya rasa selesa walaupun hanya lima pegawai wanita,” jelas Mejar Farina yang merupakan salah seorang daripada mereka yang telah ditugaskan ke Myanmar.

Peluang ini turut menjadi satu pencapaian khas bagi Mejar Farina yang telah menyertai SCDF khususnya kerana beliau memang bercita-cita berkhidmat bersama OLH. Jika diberi peluang, beliau berkata akan sedia berkhidmat lagi bersama OLH. 

Pasukan OLH dipimpin ketua kumpulan Kolonel Tay Zhi Wei, 41 tahun, seorang Panglima Divisyen Pertama SCDF. 

“Operasi ini adalah paling cepat, kami telah ke negara tersebut dalam masa yang paling cepat dibandingkan operasi lain. 

“Gempa bumi melanda Myanmar pada hari Jumaat, dan kami tiba di Myanmar dalam masa 26 jam,” kata Kolonel Tay. 

Operasi OLH ini dijalankan selama 11 hari – dari 29 Mac hingga 8 April – dan telah melibatkan seramai 80 anggota pegawai SCDF. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg