Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah mengumumkan pasukannya yang akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025)
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, tidak akan bertanding dan tempatnya dalam pasukan digantikan oleh muka baru PAP, pengarah pembangunan perniagaan Cik Diana Pang, 51 tahun.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Encik Seah Kian Peng; dan Cik Tin Pei Ling; dengan ketua pasukan, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, melengkapkan pasukan PAP itu.
Dr Tan mengumumkan demikian dalam satu sidang media yang diadakan di cawangan PAP Marine Parade di Marine Crescent pada 20 April, bagi memperkenalkan barisan PAP yang akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025.
Menjawab soalan Berita Harian (BH) mengenai Encik Fahmi yang tidak hadir di sidang media itu, Dr Tan berkata Encik Fahmi tidak akan bertanding di GRC tersebut pada GE2025.
Namun beliau tidak memberikan pengesahan sama ada Encik Fahmi, yang menyertai politik pada GE2020, akan bertanding di kawasan lain atau bersara daripada politik.
“...Penentuan sebenar adalah pada Hari Penamaan Calon. Berhubung sama ada beliau akan dinamakan sebagai calon di tempat lain, itu adalah keputusan yang akan dibuat Parti dalam analisis muktamad pada Hari Penamaan Calon.”
Sementara itu, Dr Faishal, yang berpindah dari GRC Nee Soon ke GRC Marine Parade-Braddell Heights bagi GE2025, memberitahu BH beliau akan meneruskan usaha mendekati penduduk di GRC baru, sebagaimana beliau lakukan di GRC lamanya.
Kawasan undi Marine Parade itu bukan tempat baru bagi beliau, kata Dr Faishal.
Ini kerana AP empat penggal itu telah berkhidmat di GRC Marine Parade apabila beliau mula-mula menyertai politik pada 2006.
Beliau berpindah ke GRC Nee Soon pada GE2011.
Dalam pada itu, Dr Tan turut mengumumkan seorang lagi muka baru PAP – peguam perkapalan, Cik Gho Sze Kee, 46 tahun.
Beliau akan bertanding di SMC Mountbatten, menggantikan AP veteran, Encik Lim Biow Chuan, yang akan bersara daripada politik.
Encik Lim menyertai politik pada 2006 dan telah berkhidmat sebagai AP SMC Mountbatten sejak 2011.
Cik Gho telah dilihat bersama Encik Lim sejak Ogos 2024, dan telah menemaninya ke pelbagai acara seperti sambutan Hari Kebangsaan bersama Pusat Penuaan Aktif Thye Hua Kwan dan Jawatankuasa Penuaan Aktif Mountbatten.
Dr Tan berkata: “Kami mohon mandat kuat, bukan sahaja untuk GRC Marine Parade-Braddell Heights, malah untuk seluruh kelompok Marine Parade termasuk SMC Mountbatten, agar kami dapat menjalankan pelan-pelan yang telah kami umumkan sebelum ini.”
Persaingan untuk merebut undi di GRC Marine Parade-Braddell Heights dijangka menarik tajuk berita sepanjang tempoh GE2025.
PAP telah menguasai GRC Marine Parade selama 37 tahun sejak 1988 – apabila sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dibentuk.
Pada GE2020 yang diadakan di tengah-tengah pandemik, PAP meraih 57.74 peratus undi di GRC Marine Parade, berbanding WP yang meraih 42.26 peratus undi.
Pada ketika itu, pasukan PAP dibentuk oleh Dr Tan; Encik Seah; Encik Fahmi; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; serta mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin.
Encik Tan meletak jawatan pada Julai 2023 apabila hubungan sulitnya dengan AP GRC Tampines ketika itu, Cik Cheng Li Hui, terdedah.
Encik Tong pula dijangka berpindah ke GRC East Coast bagi GE2025.
Buat masa ini, WP belum lagi mengumumkan rancangan untuk bertanding di kawasan undi tersebut, walaupun ia dijangka berbuat demikian menjelang Hari Penamaan Calon pada 23 April.
Parti Perpaduan Nasional (NSP), yang sebelum ini telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights, memberitahu BH pada 20 April bahawa parti tersebut tidak akan bertanding di GRC tersebut pada GE2025.
Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) pula telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di SMC Mountbatten.
PAR adalah gabungan tiga parti iaitu Parti Suara Rakyat (PV), Parti Pembaharuan (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP). Parti Kuasa Rakyat (PPP) menarik diri pada Februari disebabkan perbezaan strategi.
Pada GE2020, Encik Lim memenangi 73.82 peratus undi berlawan calon parti Suara Rakyat (PV), Encik Sivakumaran Chellappa, yang memenangi 26.18 peratus undi.
Beliau juga memenangi 71.86 peratus undi pada GE2015 ketika berlawan dengan calon Parti Rakyat Singapura (SPP), Cik Jeanette Chong-Aruldoss.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg