Vaksinasi terhadap mpox clade I akan diberikan percuma kepada pekerja penjagaan kesihatan yang berisiko tinggi terdedah kepada mpox, serta kepada hubungan rapat terhadap kes yang disahkan, kata Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung pada 4 September.
Ini demi memastikan rakyat yang paling memerlukannya diberi perlindungan, tambahnya semasa sidang media yang diadakan di Kementerian Kesihatan (MOH).
Pengesanan hubungan akan segera dilakukan untuk mereka yang ada hubungan rapat kes clade I yang disahkan dan mereka akan dikuarantin selama 21 hari, iaitu tempoh inkubasi yang diperhatikan di Afrika.
Mpox, yang disebabkan oleh virus cacar monyet, mempunyai dua subjenis iaitu clade I, yang lebih ganas dan boleh membawa maut, dan clade II yang kurang teruk.
Menurut MOH, setakat ini, wabak ini secara amnya hanya terhad di Afrika, dengan dua kes mpox clade I yang lebih teruk dilaporkan di Sweden dan Thailand.
Dalam pada itu, vaksin ‘JYNNEOS’ yang merupakan vaksin hidup yang lemah, telah diluluskan untuk kegunaan di Singapura untuk perlindungan daripada mpox dan cacar dan akan diberikan secara percuma kepada dua kumpulan itu.
Encik Ong berkata bahawa bekalan semasa vaksin ‘JYNNEOS’ diunjurkan mencukupi berdasarkan strategi vaksinasi semasa dan MOH akan terus memantau keadaan dan menyesuaikan strategi vaksinasi dengan sewajarnya, berdasarkan situasi mpox dan bekalan vaksin sesuai dengan perkembangan di seluruh dunia.
“Mpox ialah virus yang menyusahkan yang boleh kami uruskan.
“Virus ini belum merebak ke banyak negara lagi dan kami tidak mempunyai maklumat penuh tentang ciri-ciri virus ini.
“Tetapi kami mempunyai maklumat yang baik tentang sikapnya, ciri-ciri utamanya, yang membolehkan kami bangunkan pelan tindak balas,” kata Encik Ong.
Beliau turut menjelaskan setiap virus mempunyai ciri yang berbeza dan langkah yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19, tidak boleh digunakan untuk menangani mpox clade I, sekiranya ia tiba ke Singapura.
Walaupun virus mpox clade I nampaknya lebih mudah berjangkit, ia kurang menular berbanding virus pernafasan seperti influenza dan Covid-19.
Berdasarkan bukti semasa bahawa mpox merebak terutama melalui hubungan fizikal rapat, MOH telah memaklumkan semua pengamal perubatan dan institusi penjagaan kesihatan agar berwaspada dalam mengesan dan melaporkan semua kes mpox kepada MOH dengan segera, terutama jangkitan clade I yang disyaki.
Kes yang disyaki akan dipindahkan ke hospital untuk penilaian dan rawatan lanjut, jika perlu, tambah MOH.
Penyakit yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, boleh merebak melalui hubungan rapat.
Walaupun ia tidak teruk, ia boleh membawa maut dalam kes yang jarang berlaku dan menyebabkan simptom seperti selesema dan menyebabkan badan mempunyai bintik-bintik atau bisul.
Singapura telah mengesan 14 kes clade II namun tiada kes clade I dikesan pada 2024.
Sebagai langkah mencegah pengimportan mpox dari luar negara, Singapura telah memulakan pemeriksaan suhu dan visual di kededua pusat pemeriksaan udara dan laut sejak 23 Ogos.
“
“Mpox ialah virus yang menyusahkan yang boleh kami uruskan. Virus ini belum merebak ke banyak negara lagi dan kami tidak mempunyai maklumat penuh tentang ciri-ciri virus ini, tetapi kami mempunyai maklumat yang baik tentang sikapnya, ciri-ciri utamanya, yang membolehkan kami membangunkan pelan tindak balas.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg