Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Mpox mungkin lebih leceh dari ganggu kehidupan harian

Sep 9, 2024 | 7:19 PM
Langkah pemeriksaan suhu badan dan visual di Lapangan Terbang Changi bagi kru dan penumpang yang tiba dari kawasan-kawasan yang terjejas oleh mpox dilakukan sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga terhadap virus itu di Singapura.
Langkah pemeriksaan suhu badan dan visual di Lapangan Terbang Changi bagi kru dan penumpang yang tiba dari kawasan-kawasan yang terjejas oleh mpox dilakukan sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga terhadap virus itu di Singapura. - Foto CHANGI AIRPORT GROUP

Bagi Singapura, mpox yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet,  mungkin menjadi “virus melecehkan yang boleh kita urus, tanpa gangguan besar kepada kehidupan harian kita”, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, kepada Parlimen pada 9 September.

Beliau menjawab pertanyaan enam Anggota Parlimen (AP) yang bertanya tentang langkah yang akan Singapura ambil untuk melindungi orang ramai daripada wabak itu.

Encik Ong menjelaskan bahawa penyakit itu merebak sebahagian besarnya melalui hubungan fizikal yang rapat.

Virus itu tidak merebak melalui bawaan udara, dan “tidak merebak jauh dan luas seperti Covid-19”.

Penyebaran penyakit itu adalah kira-kira 12 kali lebih perlahan, ertinya, 10 orang dengan virus mpox akan menyebarkannya kepada 13 yang lain, manakala 10 orang yang dijangkiti Covid-19 akan menyebarkannya kepada 50 yang lain.

Walaupun terdapat langkah-langkah di sempadan, seperti pengisytiharan simptom mpox, serta pemeriksaan suhu dan visual di kedua-dua pusat pemeriksaan udara dan laut, Encik Ong berkata memandangkan tempoh inkubasi penyakit itu sehingga 21 hari, “beberapa kes mungkin tidak dapat dikesan di sempadan”, lapor The Straits Times.

Oleh itu semua doktor di sini telah diminta supaya berwaspada dengan gejala mpox.

Kes-kes yang disyaki akan dibawa ke hospital di mana pesakit akan diuji, dan jika terbukti menghidap mpox, akan diasingkan sehingga pulih.

Kenalan rapat mereka akan dikuarantin selama 21 hari dari pendedahan terakhir mereka kepada orang yang dijangkiti.

Encik Ong menambah bahawa kemudahan hospital, termasuk unit jagaan rapi, adalah mencukupi.

Vaksinasi penduduk tidak diperlukan, jadi ia hanya akan diberikan kepada kenalan rapat pesakit dan pekerja penjagaan kesihatan yang mungkin berisiko.

Oleh itu, bekalan vaksin cacar Jynneos di Singapura, yang dapat melindungi diri daripada mpox, seharusnya mencukupi.

Namun begitu, bagi mengukuhkan kesiapsiagaan dan daya tahan negara, Kementerian Kesihatan (MOH) merancang untuk membeli lebih banyak dos “apabila tersedia”, kata Encik Ong.

Beliau berkata: “Memandangkan vaksin cacar diwajibkan di Singapura sehingga awal 1981, akan ada sedikit daya tahan dalam kalangan sebahagian besar rakyat Singapura berumur 45 tahun ke atas.”

Setakat ini, Singapura mempunyai 15 kes mpox pada 2024.

Kesemuanya adalah jenis Clade 2, yang lebih ringan, dan bukan Clade 1 seperti dalam wabak semasa, walaupun Encik Ong berkata orang ramai harus menjangkakan Clade 1 akan tiba di sini pada satu masa nanti.

Jika ia berlaku juga, kadar kematian mungkin lebih rendah daripada tiga hingga empat orang bagi setiap 100 yang direkodkan untuk wabak semasa, kerana terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan, tambahnya.

Singapura juga mempunyai penjagaan kesihatan yang lebih bermutu.

Beliau berkata kadar kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh sosioekonomi, “dan kami percaya bahawa hasilnya berbeza di negara-negara di luar Afrika”.

Namun, pelan kontingensi telah diusahakan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).

Sekolah-sekolah juga mempunyai protokol sedia ada untuk menguruskan wabak seperti penyakit tangan, kaki dan mulut. Protokol itu berkaitan dengan wabak mpox.

Sebagai respons kepada soalan susulan daripada Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee), sama ada perlu ada pengawasan lebih rapi dalam persekitaran tempat tinggal yang rapat, seperti kem tentera, rumah orang tua dan dormitori pekerja asing, Encik Ong bersetuju ia mungkin satu idea yang baik.

Wabak mpox telah menjangkiti lebih 20,000 orang dan membunuh lebih 600 orang pada 2024, sebahagian besarnya di Republik Demokratik Congo.

Ia diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg