Golongan kurang upaya dan anggota keluarga mereka bakal menerima sokongan dan perlindungan yang lebih kukuh merentasi pelbagai peringkat kehidupan dengan terbentuknya pasukan petugas berbilang agensi baru pada masa akan datang, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Beliau akur akan kebimbangan yang diutarakan penjaga golongan kurang upaya berhubung aspek kesediaan pekerjaan, usaha membantu golongan tersebut menjalani kehidupan berdikari, serta keperluan sokongan jangka panjang selepas mereka tamat pendidikan di sekolah pendidikan khas (Sped).
“MSF (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga) sedang meneliti isu sedemikian… namun ini merupakan usaha seluruh agensi pemerintah dan lebih penting lagi, usaha seluruh masyarakat.
“Ia bukan sahaja tentang apa yang dilakukan pemerintah, bahkan ia juga melibatkan peranan kita semua, termasuk majikan dan masyarakat umum,” ujarnya.
Sehubungan itu, pemerintah akan menubuhkan pasukan petugas baru yang dipengerusikan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, demi melakar penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
Selain Encik Goh, pasukan petugas itu turut dianggotai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang.
Anggota-anggota pasukan petugas itu telah dilantik oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Encik Wong mengumumkan pembentukan pasukan petugas itu ketika berucap di majlis pelancaran Vista@Enabling Village pada 5 Disember, sempena ulang tahun ke-10 Enabling Village yang terletak di Lengkok Bahru.
Antara tetamu lain yang hadir termasuk Encik Masagos, Encik Goh dan Encik Chua.
Vista@Enabling Village merupakan bangunan empat tingkat baru yang berfungsi sebagai sambungan kepada Enabling Village, iaitu pusat sehenti golongan kurang upaya yang dikendali agensi perkhidmatan sosial SG Enable.
Menurut kenyataan SG Enable pada 5 Disember, bangunan itu akan menempatkan beberapa inisiatif utama agensi itu dan kemudahan baru seperti dewan persembahan yang mampu menampung sehingga 200 orang.
Encik Wong berkata pasukan petugas itu akan mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak berkepentingan merangkumi golongan kurang upaya, penjaga dan pihak majikan.
Dalam satu kenyataan susulan pada 5 Disember, MSF berkata pasukan petugas itu akan menumpukan usaha terhadap tiga teras utama iaitu pekerjaan, kehidupan bermasyarakat dan kemampuan.
Menurut MSF, pasukan itu juga akan meneliti kaedah untuk mendapatkan sokongan lebih kukuh daripada sektor korporat, rakan kongsi masyarakat dan orang ramai bagi “memupuk penerimaan masyarakat dan tahap keterangkuman terhadap golongan kurang upaya yang lebih tinggi”.
Pasukan itu akan mengemukakan saranan mereka pada 2026, melengkapi Pelan Induk Pemerkasaan 2030 (EMP 2030) yang dibentangkan pada Ogos 2022, tambah MSF.
Di bawah EMP 2030, antara bidang tumpuan adalah untuk memperkukuh sokongan bagi pembelajaran sepanjang hayat dan memperkaya golongan kurang upaya untuk hidup secara berdikari.
Encik Masagos berkata:
“Melalui sesi interaksi di bawah EMP2030 dan gerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward SG, kami telah mendengar daripada golongan kurang upaya dan penjaga mereka tentang kebimbangan dan aspirasi mereka merentasi (pelbagai) peringkat kehidupan.
“Dengan berpaksikan lensa dari sudut kekeluargaan dan hala tuju kehidupan seseorang, pasukan petugas ini bertujuan memperkukuh sokongan selanjutnya untuk anggota keluarga golongan kurang upaya dan golongan itu sendiri serta membentuk masyarakat yang lebih terangkum.”
Sehubungan itu, Encik Goh berkata golongan kurang upaya dan penjaga mereka membentangkan kebimbangan terhadap aspek kemampuan, pekerjaan serta sokongan dan penerimaan OKU dalam kalangan masyarakat.
“Ini adalah tekanan sebenar yang perlu dilalui anggota keluarga golongan kurang upaya setiap hari dan ia merupakan keutamaan pasukan petugas untuk mengatasinya.
“Kami akan berunding dengan golongan kurang upaya, penjaga mereka, badan korporat dan rakan kongsi masyarakat untuk mencipta penyelesaian praktikal bersama,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg