Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan petugas baru dilancar bagi pembangunan belia Melayu/Islam

Oct 11, 2025 | 9:21 PM
Rahayu Mahzam, Dr Syed Harun Alhabsyi
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (dua dari kiri), dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (tiga dari kiri), bergambar bersama beberapa konsultan belia semasa pelancaran Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam pada 11 Oktober. Antaranya ialah (dari kiri) penganalisis, pemegang amanah, perkhidmatan fidusiari di HSBC, Cik Adlynna Aziz; pengerusi Serumpun DKSG, Encik Syafiq Moklas; pengasas bersama SGFR, Encik Luqmaan Hakiim;  pengasas Membina Community, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi; dan pengasas SkateSG, Encik Hafiz Salleh. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Sebuah pasukan petugas yang bertujuan memperkukuh pembangunan dan penglibatan belia Melayu/Islam di Singapura telah dilancarkan pada 11 Oktober.

Dinamakan Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam, inisiatif itu dilancarkan semasa acara Piala Suara Serumpun 2025 yang berlangsung di The Theatre at Mediacorp.

Pasukan itu akan dipimpin oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Pasukan itu turut disokong oleh sekretariat yang merangkumi Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

Piala Suara Serumpun merupakan acara tahunan yang mempamerkan dikir barat, seni persembahan tradisional Melayu meriah, yang bertujuan menimbulkan minat dalam kalangan belia serta memelihara kekayaan warisan budaya Melayu.

Dalam ucapannya, Cik Rahayu berkata Pasukan Petugas Pembangunan Belia Melayu/Islam merupakan satu usaha penting untuk membantu pembangunan belia dalam masyarakat.

“Usaha mendekati dan menyokong belia bukan usaha baru dan banyak badan Melayu/Islam telah menjalankan program yang amat bermakna bagi golongan anak muda dalam masyarakat kita.

“Usaha ini harus terus dipertingkatkan, terutama sekali dalam keadaan dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Pasukan petugas itu akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan strategik termasuk mengenal pasti peluang pembangunan kerjaya dan melengkapkan belia dengan kemahiran penting yang diperlukan supaya mereka boleh berjaya dalam ekonomi Singapura yang sentiasa berkembang.

Selain itu, pasukan petugas tersebut juga akan memberi tumpuan kepada usaha memupuk ekspresi budaya dan membentuk jati diri menerusi seni, agama dan sukan serta usaha memperkukuh perpaduan sosial dengan menggalakkan lebih banyak penglibatan secara berkesan dalam inisiatif nasional dan penglibatan rentas masyarakat.

Pasukan petugas itu turut menampilkan 13 konsultan belia yang terdiri daripada pemimpin muda daripada pelbagai latar belakang termasuk keusahawanan, sukan, seni, media digital, agama dan sektor perkhidmatan sosial.

“Konsultan belia ini mewakili anak-anak muda kita dan membawa perspektif segar kepada usaha pembangunan belia.

“Mereka akan membantu kami menentukan aspek yang memerlukan peningkatan melalui sesi dialog dan kegiatan bersama,” ujar Cik Rahayu.

Antara mereka ialah pengerusi Serumpun DKSG, Encik Syafiq Moklas; pengasas Membina Community, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi; pengasas Lepak Conversations, Cik Yulianna Frederika; pengasas bersama SGFR, Encik Luqmaan Hakiim; atlet angkat berat Singapura, Cik Farhanna Farid; serta penyanyi dan pencipta lagu, Shareefa Aminah Abdul Shariff, yang lebih dikenali sebagai Shazza.

“Sesi ini akan mengumpul suara dan pandangan para belia, dan kami berharap dengan wawasan mereka, kami dapat menambah baik inisiatif sedia ada dan menjadikannya lebih berkesan,” tambah Cik Rahayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg