Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan petugas dibentuk tarik bakat sertai bidang binaan, seni bina

Sep 4, 2024 | 4:27 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dibawa melihat pameran Minggu Persekitaran Binaan Antarabangsa pada 4 September. Acara perdagangan selama tiga hari itu diadakan di Pusat Ekspo & Konvensyen Sands dari 4 hingga 6 September.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dibawa melihat pameran Minggu Persekitaran Binaan Antarabangsa pada 4 September. Acara perdagangan selama tiga hari itu diadakan di Pusat Ekspo & Konvensyen Sands dari 4 hingga 6 September. - Foto ST

Sebuah pasukan petugas telah dibentuk untuk meningkatkan imej sektor binaan, seni bina dan pengurusan prasarana, dalam usaha menarik lebih ramai bakat – terutama golongan muda – menceburi bidang itu.

Pemerintah juga akan menggandakan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang jenis pekerjaan dalam sektor itu, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, semasa perasmian Minggu Persekitaran Binaan Antarabangsa, pada 4 September.

Acara perdagangan tiga hari itu diadakan di Pusat Ekspo & Konvensyen Sands dari 4 hingga 6 September.

“Ia akan memerlukan usaha kolektif semua pihak berkepentingan dalam persekitaran binaan bekerjasama dalam pendekatan antara disiplin, bagi menjadikan kenyataan visi kita menjadikan sektor ini menarik dan progresif,” kata Encik Lee mengenai pasukan petugas itu.

Diketuai pengerusi Surbana Jurong, Encik Chaly Mah, dan Menteri Kedua Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah, pasukan petugas itu, yang juga berusaha mengubah tenaga kerja dan tempat kerja bagi masa depan serta menggalak amalan industri mampan, akan membangunkan idea dalam beberapa bulan akan datang, tambahnya.

Persatuan perdagangan dan dewan perniagaan, institusi pengajian tinggi dan karyawan muda dalam sektor persekitaran binaan juga merupakan sebahagian pasukan petugas itu, lapor The Straits Times.

Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) berkata pasukan petugas itu dibentuk bagi memastikan Singapura mempunyai rangkaian karyawan dan firma berkebolehan untuk melaksanakan pelan prasarana projek bangunan jangka panjang seperti Long Island, Greater Southern Waterfront, Terminal 5 Changi dan banyak lagi.

Secara berasingan, kempen yang bertujuan meningkatkan persepsi mengenai industri itu turut dilancarkan pada 4 September.

Ia akan menyerlahkan bagaimana usaha pekerja dalam sektor itu telah membentuk cara hidup rakyat Singapura, dan membina usaha meningkatkan penghargaan orang ramai terhadap sektor tersebut, kata Encik Lee.

“Sedang kita menggalak inovasi, kita melihat banyak pekerjaan baru yang menarik dicipta, yang seterusnya akan meningkatkan prospek kerjaya bagi karyawan sedia ada dan memberikan peluang menarik kepada bakat muda yang ingin menyertai sektor ini.

“Kempen ini akan menyerlahkan kepelbagaian pekerjaan dalam sektor tersebut dan peluang-peluang baru yang sudah mula muncul,” tambah beliau.

Encik Lee berkata terdapat “banyak ruang untuk penambahbaikan” dalam sektor tersebut, selain penjenamaan dan persepsi orang ramai.

Menurut beliau, komuniti persekitaran binaan kekal mengambil berat tentang trajektori bidang seni bina dan kejuruteraan.

Maklum balas sedemikian termasuk apakah terdapat cukup bakat muda Singapura yang mengejar kerjaya dalam seni bina dan kejuruteraan, apakah gaji dan ganjaran yang ditawarkan berdaya saing, dan apakah syarikat akan memperbaiki amalan sumber manusia mereka.

Presiden Institut Arkitek Singapura, Encik Melvin Tan, yang merupakan antara anggota pasukan petugas itu, berkata beliau berharap dapat menggalak imbalan lebih adil, memandangkan persekitaran kerja mencabar yang dihadapi oleh jurutera dan arkitek.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg