Terdapat banyak peluang untuk berkembang dan pelbagai laluan kejayaan yang boleh dikecapi bagi belia yang berminat menerokai bidang warisan budaya.

Malah, penglibatan dalam seni dan warisan budaya bukan sahaja memperkukuh jati diri, ia membina pelbagai kemahiran seperti kreativiti, keyakinan diri, daya tahan, kepimpinan dan komunikasi yang semakin penting dalam dunia pekerjaan hari ini, kata satu panel dalam podcast langsung Berita Harian (BH), NoTapis, semasa Festival Belia DKSG (Dikir Singapura) 2026 di auditorium Taman Warisan Melayu pada 11 Julai.

Berkongsi pengalaman, mereka berkata bidang seni turut membuka pelbagai peluang kerjaya dalam ekosistem industri kreatif, seperti dalam bidang pendidikan, penulisan, penerbitan, pengurusan pentas, penerbitan kandungan dan pelbagai peranan profesional lain.

Podcast langsung bertajuk, Minat Warisan Budaya, Belia Boleh Berjaya?, itu dihoskan penerbit NoTapis BH, Cik Natasha Mustafa, dan menampilkan Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail; pengasas syarikat teknologi dan arkitek data, Encik Shamir Rahim; serta tukang karut muda kumpulan Endang Ratiana daripada Politeknik Republic, Cik Nur Syahindah Aqilah Zakaria.

Turut menjadi topik perbincangan ialah bagaimana teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan platform digital boleh dimanfaatkan bagi menjadikan warisan budaya lebih dekat dan relevan kepada generasi muda.

Podcast langsung Berita Harian (BH) bertajuk, ‘Minat Warisan Budaya, Belia Boleh Berjaya?’, sempena Festival Belia (Dikir Singapura) 2026 di Taman Warisan Melayu pada 11 Julai menampilkan (dari kiri) penerbit NoTapis BH selaku moderator, Cik Natasha Mustafa; Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail; pengasas syarikat teknologi dan arkitek data, Encik Shamir Rahim; dan tukang karut muda daripada Politeknik Republic, Cik Nur Syahindah Aqilah Zakaria.
Podcast langsung Berita Harian (BH) bertajuk, ‘Minat Warisan Budaya, Belia Boleh Berjaya?’, sempena Festival Belia (Dikir Singapura) 2026 di Taman Warisan Melayu pada 11 Julai menampilkan (dari kiri) penerbit NoTapis BH selaku moderator, Cik Natasha Mustafa; Pengarah Eksekutif Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail; pengasas syarikat teknologi dan arkitek data, Encik Shamir Rahim; dan tukang karut muda daripada Politeknik Republic, Cik Nur Syahindah Aqilah Zakaria. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Shamir berpandangan, perkembangan pesat AI menjadikan kreativiti manusia semakin bernilai berbanding sekadar pengetahuan teknikal.

“Dengan $20 sebulan, anda ada ‘pakar Doktor Falsafah (PhD)’ dalam telefon. Yang penting sekarang ialah kreativiti dan imaginasi. Pada saya, budaya itulah tempat asal usul kreativiti.

“AI boleh membantu kita, tetapi kreativiti tetap datang daripada manusia. Sebab itu seni dan budaya menjadi semakin penting dalam dunia hari ini,” ujar Encik Shamir.

Sementara itu, Encik Didicazli berkata masyarakat tidak seharusnya melihat bidang seni secara sempit dan memberatkan soal wang. Sebaliknya ia membina keyakinan diri, kebolehan dan kemahiran selain menawarkan pelbagai laluan kerjaya.

“Kalau kita ingin melihat seni, jangan ingat duit dulu. Seni membina keyakinan diri, kebolehan dan kemahiran.

“Dalam ekosistem seni ada penulis skrip, jurugambar, pengurus pentas, juruteknik bunyi dan ramai lagi yang membina kerjaya melalui bidang ini,” kata Encik Didicazli.

Tambahnya, pengalaman bergiat sebagai tukang karut bersama kumpulan Kelana Purba pada zaman remajanya telah turut membentuk disiplin, keberanian dan kemahiran berkomunikasi yang banyak membantunya dalam kerjaya hari ini.

Bagi Cik Nur Syahindah pula, walaupun pernah berdepan tanggapan bahawa penglibatan dalam seni hanya ‘membuang masa’, beliau memilih untuk terus mengembangkan minatnya kerana percaya warisan budaya memainkan peranan penting dalam membentuk identiti generasi muda.

“Pada mulanya ada juga perasaan itu, tetapi minat saya lebih kuat daripada kata-kata mereka.

“Untuk mengenali warisan budaya kita juga sama penting kerana melalui seni kita mendapat lebih banyak pendedahan dan pengalaman,” kongsi beliau.

Podcast itu merupakan antara acara festival yang diadakan buat pertama kali dengan bertemakan Rentas Belia.

Festival sehari itu menghimpunkan pelajar daripada 10 institut pengajian tinggi menerusi pertandingan dikir barat, persembahan pentas, forum, bengkel, pameran interaktif dan sesi perkongsian yang bertujuan menggalakkan lebih ramai belia mendekati seni serta warisan budaya Melayu.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menyampaikan ucapan pada majlis penutup Festival Belia DKSG 2026 di Taman Warisan Melayu pada 11 Julai.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menyampaikan ucapan pada majlis penutup Festival Belia DKSG 2026 di Taman Warisan Melayu pada 11 Julai. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

BH merupakan rakan media rasmi festival itu, yang dianjurkan bersama Sanggar, Dikir Barat Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Taman Warisan Melayu.

Menurut Editor BH, Encik Mohd Nazry Mokhtar, kerjasama itu sejajar dengan usaha transformasi BH untuk mendekati golongan belia melalui platform dan pendekatan yang lebih dekat dengan mereka.

“Di bawah transformasi BH, kami telah meningkatkan usaha untuk mendekati golongan belia.

“Justeru, kami melihat Festival Belia DKSG sebagai platform yang sangat baik untuk mendekati golongan muda dalam suasana yang lebih santai dan interaktif.

“Podcast secara langsung pula membolehkan perbincangan berlangsung dengan lebih segar dan dekat dengan hadirin.

“Ia juga selaras dengan usaha transformasi BH untuk menyampaikan kandungan dalam pelbagai format yang lebih sesuai dengan cara generasi muda mendapatkan maklumat hari ini,” katanya.

Encik Nazry berkata perbincangan mengenai warisan budaya juga penting kerana minat terhadap budaya tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang hanya berkaitan dengan masa lalu.

“Warisan boleh menjadi sumber identiti, inspirasi dan juga peluang. Hari ini, bidang seperti seni, muzik, bahasa, fesyen dan industri kreatif membuka banyak ruang untuk belia membina kerjaya dan mencipta sesuatu yang baru berasaskan akar budaya mereka sendiri,” katanya.

Pengarah Festival dan Pengasas bersama Sanggar, Encik Muhammad Ilyia Kamsani, menjelaskan festival itu dianjurkan ketika penyertaan belia dalam seni dikir barat semakin memberangsangkan.

Justeru inilah masa sesuai untuk memberi mereka platform yang lebih besar, tambahnya.

Katanya, penglibatan 10 institut pengajian tinggi menerusi persembahan, forum, bengkel dan sesi perkongsian bertujuan menggalakkan belia tampil sebagai pemimpin dan pewaris warisan budaya.

“Saya berharap belia diperkasa untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan dunia warisan.

“Saya juga mahu melihat lebih banyak wacana serta idea baru dipersembahkan dengan cara yang lebih segar dan progresif,” katanya.