Topik diikuti
Pergi ke BHkuPasukan petugas pengantaraan baharu dilancar di Geylang Serai
Inisiatif diharap dapat pererat hubungan kejiranan, tangani perselisihan faham sesama jiran pada peringkat awal.
Pasukan petugas pengantaraan baharu dilancar di Geylang Serai
Sebuah pasukan petugas pengantaraan baharu telah dibentuk di Geylang Serai bagi memberikan platform tambahan kepada penduduk untuk mengukuhkan hubungan kejiranan serta menangani perselisihan faham sesama jiran pada peringkat awal.
Inisiatif itu dilancarkan secara rasmi semasa Lawatan Masyarakat Menteri (MCV) oleh Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong ke Geylang Serai pada 27 September, yang dihoskan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Cik Diana Pang.
Bercakap dengan media di majlis pelancaran itu, Cik Pang, yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC itu, berkata inisiatif itu diharapkan dapat membantu penduduk mencari penyelesaian awal sebelum sebarang pertikaian menjadi lebih besar.
“Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang amat penting kerana hubungan yang harmoni adalah perkara yang kita idamkan.
“Seringkali, salah faham berlaku apabila kita tidak saling memahami dan kita tidak tahu bagaimana untuk mula mencari penyelesaian.
“Kadangkala, isu yang timbul itu kecil sahaja, tapi pihak-pihak yang terlibat berasa janggal untuk berbincang antara satu sama lain.
“Justeru, para sukarelawan kita bersedia untuk tampil ke hadapan, berbincang dengan mereka, dan membantu mereka meredakan keadaan,” kata Cik Pang.
Pasukan petugas baharu itu dibentuk oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Geylang Serai selepas pemimpin akar umbi mendapati bahawa sebilangan pertikaian kejiranan dapat diselesaikan melalui komunikasi dan dialog yang lebih awal.
Pasukan itu dianggotai oleh lebih daripada 15 pemimpin akar umbi yang telah mendapat latihan khas daripada Institut Pengantaraan Antarabangsa.
Pengerusi Pasukan Petugas Pengantaraan Geylang Serai, Encik Clement Yong, berkongsi bahawa dalam salah satu kes awal, pasukan itu berjaya membantu dua jiran menyelesaikan pertikaian mengenai gangguan bunyi bising dan tabiat merokok.
“Melalui perbincangan secara terbuka, kedua-dua pihak dapat lebih memahami kebimbangan masing-masing dan mencapai penyelesaian secara baik.
“Satu perkembangan yang menggalakkan juga ialah para jiran ini telah bertukar-tukar maklumat hubungan melalui proses pengantaraan kami,” kata Encik Yong.
Inisiatif di peringkat akar umbi ini melengkapi usaha nasional pemerintah dalam mengukuhkan Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF).
Sejak 1 September, pemerintah telah meluaskan pelaksanaan Unit Perhubungan Masyarakat (CRU) dan rangka kerja arahan pengantaraan mandatori ke seluruh negara selepas projek perintis di Tampines.
Di bawah pelaksanaan nasional ini, Lembaga Perumahan dan Pembangunan(HDB) serta Persatuan Rakyat (PA) diberi kuasa mengeluarkan arahan pengantaraan yang mewajibkan jiran yang bertikai menghadiri sesi pengantaraan di Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC).
Kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan denda sehingga $1,500.
Selain pelancaran pasukan pengantaraan, majlis tersebut yang berlangsung di Haig Road itu turut menyaksikan beberapa pengumuman dan pelancaran inisiatif sosial lain bagi kebajikan penduduk di Geylang Serai.
Encik Tong dan Cik Pang turut merasmikan pembukaan Pusat Penuaan Aktif (AAC) NTUC Health di Blok 11 Haig Road.
Pusat itu bekerjasama dengan rakan masyarakat seperti Friends of The Third Age dan Sunlove Mental Wellness untuk menganjurkan pemeriksaan kesihatan, aktiviti minat, dan program sosial bagi menyokong warga emas yang tinggal berseorangan.
Bagi membantu penduduk menangani kos perbelanjaan harian, CCC Geylang Serai juga bekerjasama dengan Persatuan Pedagang Haig Road menerusi inisiatif Makanan Bajet Geylang Serai di Pasar dan Pusat Penjaja Haig Road.
Menerusi program ini, gerai yang mengambil bahagian menawarkan minuman kopi dan teh pada harga $1.20 atau kurang, serta hidangan utama pada harga $3.50 atau kurang.