Sebuah unit pemerintah yang menangani isu bunyi bising serius dan penimbunan barang akan dilanjutkan ke seluruh negara mulai 1 September, susulan satu percubaan di Tampines. 

Lebih banyak pertikaian jiran kini boleh dirujuk untuk sesi pengantaraan wajib, sedang pegawai awam diberi lebih kuasa untuk mengeluarkan arahan sedemikian.

Perubahan itu akan diguna pakai kepada pertikaian jiran di kedua-dua kawasan perumahan awam dan swasta.

Unit Perhubungan Masyarakat (CRU), yang terdiri daripada pegawai yang berkuasa menyiasat kes sebegini serta mengambil tindakan penguatkuasaan apabila perlu, telah dijalankan secara rintis di kawasan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Tampines sejak April 2025.

Sebagai sebahagian percubaan itu, pegawai daripada HDB turut diberi kuasa untuk mengarahkan pihak yang bertikai untuk menghadiri sesi pengantaraan wajib.

Tiga kementerian – Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) – berkata dalam satu kenyataan bersama pada 28 Ogos bahawa peluasan skim itu bermakna pertikaian jiran boleh dirujuk untuk sesi pengantaraan pada peringkat lebih awal.

Pegawai CRU boleh mengambil kenyataan daripada jiran dan, dengan persetujuan penduduk, memasang sensor bunyi di rumah untuk mengumpul bukti. 

Setelah siasatan selesai, pegawai boleh mengeluarkan nasihat atau amaran, yang tidak membawa sebarang penalti. Jika amaran itu diabaikan, pegawai boleh mengeluarkan perintah pembendungan (abatement order).

Sebagai langkah terakhir, CRU boleh merujuk kes gangguan paling serius kepada HDB untuk dipertimbangkan pengambilalihan unit rumah berkenaan.

Mulai 1 September, seseorang juga boleh diarahkan oleh Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT) untuk menjalani penilaian atau rawatan kesihatan mental.

Ini sekiranya beliau sebelum ini enggan berbuat demikian dan terdapat sebab munasabah untuk mempercayai bahawa beliau mengalami masalah kesihatan mental yang menyumbang kepada gangguan yang dialami jirannya.

CDRT merupakan mahkamah khusus yang menangani pertikaian berterusan antara jiran selepas usaha penyelesaian lain, seperti sesi pengantaraan, gagal.

Sebanyak 299 tuntutan CDRT difailkan antara April 2025 dan Julai 2026, dengan 85 peratus daripadanya berkaitan bunyi bising.

Sekitar separuh daripada tuntutan yang difailkan diselesaikan secara aman, manakala baki kes sama ada telah diputuskan, dikenakan perintah, atau masih dalam proses perbicaraan.

Sehingga 31 Julai, CDRT telah mengeluarkan tiga perintah pengecualian untuk mengusir penduduk daripada rumah mereka buat sementara waktu.

Tiga kementerian itu menyatakan jika jiran yang bertikai mencapai penyelesaian semasa sesi pengantaraan, perjanjian itu boleh didaftarkan sebagai perintah CDRT, sekiranya semua pihak bersetuju.

Ini membolehkan penguatkuasaan yang lebih pantas, jika satu pihak tidak mematuhi perintah tersebut, pihak yang satu lagi boleh memohon untuk menguatkuasakannya.

Sementara itu, di bawah projek perintis Tampines, CRU mengendalikan sembilan kes pertikaian bunyi bising. Tiada kes yang melibatkan penimbunan barang.

Empat daripada sembilan kes itu melibatkan individu dengan masalah kesihatan mental. Dalam kes itu, CRU bekerjasama dengan agensi seperti Institut Kesihatan Mental (IMH) dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC) untuk memudahkan penilaian dan rawatan.

Satu lagi kes melibatkan penggunaan bunyi bising secara sengaja untuk mengganggu jiran. Ia berhenti selepas campur tangan pegawai CRU dan agensi lain.

Sensor bunyi digunakan dalam salah satu daripada kes itu.

Bagi baki empat kes lagi, siasatan mendapati tiada bukti bunyi bising yang serius, dan pihak yang terlibat diarahkan mencari penyelesaian melalui saluran lain. Dalam satu kes, CRU mengarahkan kedua-dua pihak menghadiri sesi pengantaraan dan mereka berjaya mencapai penyelesaian.