Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan SCDF mula operasi mencari dan menyelamat di Myanmar

Selamatkan lelaki terperangkap dalam bangunan perumahan tiga tingkat yang runtuh
Mar 30, 2025 | 1:56 PM
Pasukan SCDF bersama pegawai setempat berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap dalam bangunan perumahan tiga tingkat di ibu kota Naypyidaw.
Pasukan SCDF bersama pegawai setempat berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap dalam bangunan perumahan tiga tingkat di ibu kota Naypyidaw. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO FACEBOOK SCDF

Pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang berada di Myanmar untuk membantu mangsa gempa bumi telah memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 30 Mac.

Pasukan daripada kontinjen Operasi Lionheart (OLH) itu berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap dalam bangunan perumahan tiga tingkat yang sebahagiannya runtuh, kata SCDF dalam satu kemas kini pada 30 Mac.

Lelaki itu diselamatkan pada 11 pagi waktu Singapura, selepas operasi selama lapan jam bersama Jabatan Bomba Naypyidaw di bandar Zebuthiri yang terletak di ibu kota Naypyidaw.

Lelaki tersebut, yang berada dalam keadaan sedar dan boleh berkomunikasi, terperangkap di bawah timbunan konkrit.

“Sepanjang operasi menyelamat itu, pasukan tersebut terus berhubung dengan individu itu, dan air diberikan kepada lelaki tersebut menerusi tiub plastik yang dimasukkan dalam lubang antara kepingan konkrit,” kata SCDF.

Pasukan itu juga telah menggunakan peralatan khas untuk memecah konkrit yang memerangkap mangsa.

Setelah lelaki itu berjaya diselamatkan, seorang paramedik SCDF kemudian mendapati mangsa berada dalam keadaan stabil sebelum beliau dihantar ke hospital.

Di Naypyidaw, pasukan itu juga telah memantau satu lagi tapak kemusnahan melibatkan dua bangunan perumahan tiga tingkat yang runtuh di Aungmyay Theinkha Street.

Anjing pencari Frenchy dan Rizzo, yang juga adik beradik, telah dikerah untuk operasi mencari tetapi tiada mangsa hidup yang dikesan.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 pada 28 Mac itu telah membunuh lebih 1,600 orang di Myanmar dan mencederakan lebih 2,300 yang lain, dengan angka kematian dijangka meningkat, menurut laporan media.

Pegawai SCDF berada di Myanmar untuk menyahut seruan junta tentera negara itu dengan menghantar satu pasukan termasuk Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart), doktor Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa, paramedik, pakar mencari dan pakar bahan berbahaya.

Sebelum ini, kontinjen OLH telah berlepas dari Singapura menaiki penerbangan Singapore Airlines dari Lapangan Terbang Changi pada sekitar 1.20 petang pada 29 Mac, dan tiba di Yangon pada 4 petang (waktu Singapura) pada hari sama.

Mereka kemudian berangkat ke Naypyidaw, di utara Yangon, menerusi penerbangan domestik.

Pasukan SCDF yang terdiri seramai 80 orang dan empat anjing pencari tiba ibu kota Naypyidaw pada 7.30 malam 29 Mac (waktu Singapura).

Dalam kemas kini pada 29 Mac sebelum ini, SCDF berkata Naypyidaw merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas dengan bilangan mangsa tercedera yang dijangka tinggi.

SCDF turut menyatakan penghargaannya kepada Kedutaan Singapura di Yangon dan Myanmar Airways International yang membantu kontinjen OLH dalam perjalanan mereka ke Naypyidaw.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg