NARATHIWAT: Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat di Thailand mendedahkan sekurang-kurangnya 30 pasangan dari Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu datang ke wilayah berkenaan pada setiap bulan untuk bernikah dan berpoligami.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Encik Abdul Aziz Che Mamat, berkata kebanyakan pasangan yang ingin berpoligami datang ke wilayah ini untuk menjadi pasangan secara sah dan sanggup datang dari jauh semata-mata bagi menghalalkan hubungan.
Beliau berkata berpoligami adalah antara punca ramai pasangan Malaysia beralih melangsungkan perkahwinan ke selatan Thailand dan tindakan berkenaan seharusnya tidak dipandang sinis dan masyarakat harus berfikiran terbuka.
“Bagaimanapun perkahwinan yang dilangsungkan di selatan Thailand tidak semudah disangka kerana ada syarat tersendiri termasuk memeriksa latar belakang pasangan.
“Antara syarat wajib, jika pasangan wanita itu janda atau balu kita perlu melihat surat cerai atau sijil mati pasangannya terlebih dahulu. Sekiranya syarat itu tidak dipatuhi atau meragukan, pasangan berkenaan tidak akan dinikahkan,” katanya, lapor Astro Awani.
Encik Abdul Aziz berkata pihaknya tidak secara semberono menikahkan mereka kerana setiap orang perlu memikirkan nasab keturunan mereka selepas ini sekiranya berbohong.
Setiap pasangan yang ingin berpoligami di Thailand perlu membuat pengesahan di Pejabat Konsulat Besar Malaysia di Songkhla dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia semula bagi menggelak sebarang fitnah dan hak pasangan wanita sekiranya mempunyai anak kelak.
Sebelum ini media Malaysia ada melaporkan kes rasuah lebih RM1 juta ($280,000) membabitkan pegawai kanan pejabat agama di Perlis, termasuk imam dan seorang pemilik syarikat, bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri itu.
Ia antara lain membabitkan pasangan Malaysia yang ingin mendaftarkan perkahwinan mereka yang dijalankan di sempadan (Thailand), akan membayar sejumlah wang tunai kepada syarikat perunding sekitar RM5,000 untuk memudahkan urusan berkenaan di Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg