Setiap kali siren lori bomba bergema di kawasan kejiranannya, Encik Muhammad Azfar Mazlan yang ketika itu masih kanak-kanak lagi akan berlari ke jendela untuk melihat lori bomba keluar dari Balai Bomba Sengkang yang terletak bertentangan flatnya.

Dalam diam, beliau menyimpan satu impian - untuk menjadi anggota bomba yang bergegas menyelamatkan nyawa.

Beliau, yang kini bertugas sebagai penolong pegawai bomba di sebuah syarikat di Jurong Island, akhirnya tidak menjadi pegawai bomba.

Namun, beliau tetap mendaftar sebagai anggota bomba secara sukarela bersama Pasukan Pertahan Awam (SCDF) di bawah Unit Bantuan Pertahanan Awam (CDAU) . Antara lain, beliau menyertai operasi memadam api dan menyelamat bersama anggota SCDF.

Bagi Encik Azfar, peluang berkhidmat sebagai sukarelawan bukan sekadar membantu masyarakat, malah membolehkannya menimba pengalaman dan memperkukuh kemahiran sebagai anggota bomba.

“Pengalaman yang saya peroleh membantu saya menjadi lebih bersedia dan berkesan dalam tugas hakiki saya. Pada masa yang sama, saya dapat membantu orang ramai ketika mereka melalui saat paling sukar dalam hidup,” katanya.

Antara pengalaman yang paling meninggalkan kesan ialah ketika beliau menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap dalam kebakaran sebuah flat pada 2023.

“Apa yang paling saya ingat ialah wajah lega pak cik itu apabila melihat kami datang membantu.

Ketika itu saya sedar tugas anggota bomba bukan sekadar memadam api, tetapi memberi harapan dan membuatkan mangsa berasa selamat ketika melalui detik yang paling mencabar dalam hidup mereka,” katanya.

Pada 5 April 2025, Encik Azfar sekali lagi berdepan detik mencemaskan apabila bertindak memecah masuk sebuah flat yang sedang dijilat api di Yorkhill bagi membolehkan pasukan bomba memasuki unit berkenaan dengan segera.

Mengimbas kejadian itu, beliau berkata latihan yang diterima selama ini membolehkan beliau bertindak dengan tenang walaupun berhadapan situasi berbahaya.

“Ketika itu saya tidak memikirkan soal takut.

Fokus saya hanyalah untuk menjalankan tugas dengan selamat dan memastikan kebakaran dapat dikawal secepat mungkin. Latihan yang kami lalui membuatkan setiap tindakan menjadi seperti naluri,” katanya.

Sepanjang menjadi sukarelawan, Encik Azfar turut menyahut 16 panggilan Community First Responder (CFR).

Walaupun perlu membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan tugas sukarelawan, beliau percaya setiap pengorbanan berbaloi jika mampu membantu mereka yang memerlukan.

Pada 29 Julai, jasa yang disumbangkan oleh Encik Azfar itu diiktiraf di Majlis Memperingati Hari Kebangsaan Home Team, selepas beliau menerima Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Dalam Negeri.

Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterimanya itu, Encik Azfar berkata anugerah tersebut bukan miliknya seorang.

“Sejujurnya saya terkejut dan berasa amat berbesar hati.

Tetapi bagi saya, anugerah ini milik setiap anggota barisan hadapan yang setiap hari tampil membantu orang lain. Saya hanya menerimanya bagi pihak mereka,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai anak muda berani melangkah ke hadapan untuk berbakti kepada masyarakat.

“Tak perlu menjadi luar biasa untuk mula membantu orang lain. Apa yang penting ialah keikhlasan dan keberanian untuk mengambil langkah pertama.”