Hampir 15 tahun lalu, Encik Abdul Ahalid Hasmuni,terpaksa membatalkan janji temu makan malam dengan isterinya di Pusat Penjaja Adam Road pada saat terakhir.

Beliau yang pada ketika itu berusia 41 tahun dan bertugas sebagai Pegawai Bertanggungjawab bagi Unit Penyelenggaraan di bawah Agensi Sains dan Teknologi Pasukan Home Team (HTX), telah dipanggil untuk kembali bertugas apabila kebakaran besar berlaku di Pulau Bukom pada September 2011.

Antara lain, tugas hariannya adalah untuk memastikan kapal-kapal Home Team sentiasa bersedia— termasuk diisi semula dengan bahan api, diperiksa, dan dikembalikan ke laut untuk beroperasi secepat mungkin.

Pada malam September 2011 itu, beliau dan pasukannya telah dikerah untuk memberi sokongan kepada armada marin Home Team, yang dikerah menyertai operasi yang berlangsung hampir 32 jam itu.

Operasi itu kini disifatkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebagai antara kebakaran paling rumit dan mencabar untuk dikawal, dengan lebih 13 lori bomba dan 21 kenderaan sokongan dikerahkan.

Pengalaman itu kekal sebagai antara detik paling mencabar sepanjang hampir 25 tahun berkhidmat di Home Team, kata Encik Ahalid, semasa ditemui Berita Harian (BH).

Kini, selaku Timbalan Pengarah bagi Sistem Marin di HTX, beliau mengetuai hampir 100 jurutera dan juruteknik yang memastikan armada marin Home Team sentiasa berada bersedia untuk beroperasi.

Beliau juga berusaha untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang keadaan dan ini dilakukannya.

Encik Ahalid, yang menyifatkan kerjayanya sebagai satu perjalanan yang penuh dengan cabaran dan peluang, berkata beliau juga sentiasa bersedia menghadapi sebarang keadaan dan ini dilakukannya. Satu cara ialah dengan terus belajar untuk mempertingkat dirinya.

Beliau menyertai Home Team berbekal diploma, tetapi kini memiliki ijazah jurusuan Pengurusan Kejuruteraan dari Universiti Western, Sydney.

“Antara titik perubahan terbesar dalam kerjaya saya ialah apabila saya mula diberi tanggungjawab yang lebih besar dan memikul peranan kepimpinan. Ketika itu, cara saya berfikir turut berubah. Saya bukan lagi diharap sekadar menyelesaikan masalah kejuruteraan sendiri, tetapi juga memimpin dan membimbing orang lain supaya mereka turut berjaya.

“Maka, apabila melihat semula kelayakan diploma saya, saya sedar ia agak khusus kepada bidang tertentu. Sebab itu saya ingin meningkatkan kemahiran saya agar dapat membangunkan tenaga kerja dan memastikan pegawai Home Team terus bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” kata beliau.

Encik Ahalid merupakan antara 103 pegawai Home Team yang diiktiraf atas kecekapan mereka sempena Majlis Memperingati Hari Kebangsaan di Akademi Home Team pada 29 Julai

Sumbangan seramai 17 lagi sukarelawan Home Team, sembilan pertubuhan, tiga projek berpasukan serta 23 orang awam turut diiktiraf pada majlis tahunan itu yang dihadiri oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, selaku tetamu terhormat.

Encik Ahalid menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai satu penghargaan kepada komitmen pasukannya dalam memastikan aset-aset marin sentiasa bersedia dan terus berkembang seiring dengan peredaran zaman.

“Apabila orang ramai melihat sebuah kapal Home Team bertindak dalam sesuatu insiden, perhatian mereka lazimnya tertumpu kepada para pegawai yang berada di atas kapal.

“Namun, di sebalik setiap misi yang berjaya, terdapat sekumpulan jurutera yang bekerja tanpa mengenal penat di sebalik tabir bagi memastikan kapal tersebut selamat, boleh dipercayai dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas.

Malah, beliau berbangga dengan pendekatan penyenggaraan armada kini jauh lebih canggih berbanding ketika beliau mula menyertai Home Team pada 2001.

Ini disebabkan teknologi yang membantu mempercepatkan proses pengumpulan dan analisis data untuk mengesan petanda awal kerosakan sebelum menjejaskan sebuah operasi.

“Dahulu, kami lebih bergantung kepada penyenggaraan berkala dan hanya bertindak apabila mesin menunjukkan tanda-tanda kerosakan. Namun, kami kini menggunakan data untuk meramalkan potensi kerosakan lebih awal dan merancang penyenggaraan dengan lebih tepat.

“Matlamatnya bukan lagi sekadar menyenggara kapal, tetapi meningkatkan kebolehpercayaan dan ketersediaan armada melalui pendekatan kejuruteraan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Apabila ditanya mengenai harapannya dalam tempoh lima tahun akan datang, Encik Ahalid berharap dapat terus menyumbang kepada HTX di samping membimbing generasi jurutera seterusnya dalam menerajui bidang kejuruteraan marin.

“Kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan apa yang ada hari ini. Kita perlu sentiasa belajar, melupakan perkara yang tidak lagi relevan dan mempelajari semula perkara baharu.

“Saya berharap dapat terus menyumbang dan melihat generasi jurutera seterusnya membawa keupayaan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.