Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai CPIB sahut amanah jaga integriti pertubuhan masyarakat
Ambil masa empat hingga enam bulan untuk siasat kes pertama
Tinjauan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) yang dikeluarkan pada April 2026 menunjukkan jumlah laporan berkaitan kes rasuah di Singapura jatuh ke paras terendah sejak 2010, meneruskan trend kemerosotan buat sekurang-kurangnya lima tahun berturut-turut.
Berita Harian (BH) menelusuri perjalanan dua pegawai siasatan yang tekun menyumbang kepada kejayaan tersebut di sebalik tabir.
Encik Muhammad Farhan Azimi sudah lama meminati drama televisyen bertema jenayah, terutamanya bagaimana watak Patrick Jane dalam siri televisyen, ‘The Mentalist’ menyelesaikan kes menggunakan daya pemerhatian yang tajam serta kebijaksanaannya.
Tidak hairanlah beliau memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kriminologi di Institut Teknologi Singapura (SIT), serta tertarik kepada topik berkaitan jenayah rasuah.
Setelah menyertai Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) sebagai Pegawai Siasatan (IO) pada 2023, beliau menyedari tugas menjalankan siasatan sebenarnya amat berbeza daripada teori akademik dan drama televisyen.
Berbeza dengan watak Patrick Jane yang seolah-olah mampu menyelesaikan kes dalam masa 10 minit, pegawai di CPIB perlu bekerja secara berpasukan untuk meneliti segala bukti serta menjalankan sesi wawancara yang panjang, kata pemuda berusia 30 tahun itu.
Beliau melalui sendiri pengalaman itu apabila mengambil masa empat hingga enam bulan untuk menyiasat kes pertamanya.
Ia melibatkan seorang bekas pengurus teknologi maklumat (IT) di Yayasan Mendaki yang cuba mendapatkan rasuah dalam bentuk sebuah komputer riba komputer bernilai lebih $1,000 daripada seorang pekerja syarikat IT.
Usaha gigih pegawai seperti Encik Farhan amat penting dalam memastikan kadar rasuah di Singapura sentiasa terkawal.
Tinjauan CPIB yang dikeluarkan pada April menunjukkan jumlah laporan berkaitan kes rasuah di Singapura jatuh ke paras paling rendah sejak 2010, meneruskan trend kemerosotan buat sekurang-kurangnya lima tahun berturut-turut.
Malah, 98 peratus responden menilai keadaan rasuah di negara ini pada tahap ‘baik’, ‘sangat baik’ atau ‘cemerlang’.
Kini, Encik Farhan merupakan Ketua Pegawai Khas (PSI) di bawah Pejabat Siasatan Kewangan.
Lazimnya, terdapat sekitar 10 pegawai dalam satu pasukan yang menjalankan siasatan.
Bergantung pada tahap kerumitan, sesuatu kes boleh mengambil masa antara 48 jam dengan beberapa bulan untuk diselesaikan.
Sepanjang tempoh tersebut, Encik Farhan perlu menyaring pelbagai bukti, menyoal siasat suspek, ‘turun padang’ untuk mengumpul maklumat dan ada kalanya melakukan penangkapan.
Menurut CPIB, laporan daripada orang awam – termasuk laporan tanpa nama – amat penting sebagai titik permulaan bagi pegawai memulakan siasatan.
Daripada 160 laporan mengenai rasuah yang diterima CPIB pada 2025, 56 laporan, atau 35 peratus dilakukan secara tanpa nama.
Mengimbau kembali permulaannya di CPIB, Encik Farhan berkongsi betapa bermaknanya mengendalikan siasatan bagi kes rasuah yang melibatkan bekas pekerja di Mendaki.
Kes itu melibatkan Zulkifli Kader, 51 tahun, warga Malaysia yang tidak lagi bekerja dengan badan bantuan Melayu/Muslim itu, yang dituduh melakukan kesalahan tersebut dalam tiga kejadian antara April dengan Mei 2023.
Zulkifli didakwa cuba memperoleh sebuah komputer riba, Lenovo ThinkPad T14, bernilai sekurang-kurangnya $1,061.61 daripada seorang pekerja A-Speed Pte Ltd, sebagai ganjaran kerana menerima tender syarikat itu bagi kerja berkaitan Mendaki.
Encik Farhan menganggap kes itu sebagai amanah untuk meyakinkan masyarakat bahawa badan bantuan serta institusi pemerintah lain di Singapura kekal telus.
“Ternyata, Mendaki adalah lembaga yang amat penting bagi masyarakat Melayu/Islam. Jadi, saya ingin memastikan kejadian itu sekadar satu insiden yang terpencil.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa badan bantuan, seperti Mendaki, sentiasa menjalankan tugas menyantuni masyarakat secara telus.
“Misalnya, kami tidak mahu pihak yang bekerjasama dengan Mendaki berasakan mereka perlu menawarkan ‘hadiah’ untuk mendapat kontrak.
“Sebab itulah saya mengambil masa hingga enam bulan untuk meneliti sama ada perkara ini kerap berlaku atau tidak.
“Mujur, siasatan kami menunjukkan bahwa ia sekadar tindakan seorang individu yang mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan pengaruhnya,” kongsi Encik Farhan, yang masih bujang.
Namun, Encik Farhan perlu mengharungi pelbagai cabaran bagi menyelesaikan kes itu, terutama sekali dalam mengaitkan komputer riba tersebut sebagai bentuk rasuah.
Menurutnya, kes di mana rasuah yang cuba diperoleh dalam bentuk selain daripada wang lazimnya lebih sukar untuk dibuktikan.
Amalan memberi hadiah tidak semestinya bermakna pihak berlaku salah, lantas ia lebih mencabar untuk mengaitkan hadiah kepada niat menerima atau memberi rasuah, jelasnya.
Oleh demikian, kerjasama antara setiap pegawai untuk menjalankan semua tugas berbeza itu amat penting untuk menyelesaikan kes dengan teliti, tegas Encik Farhan.
Justeru, beliau dan rakan seperjuangannya sudah biasa kerja hingga ke lewat malam.
“Bagaimanapun, saya selalu boleh bergantung kepada sokongan keluarga saya. Setiap kali pulang lewat, pasti akan ada lauk sambal goreng kegemaran saya,” seloroh anak sulung tiga beradik itu.
Kadar yang tinggi antara responden yang menganggap keadaan rasuah yang baik dalam laporan terkini CPIB turut menjadi pemangkin bagi Encik Farhan meneruskan perjuangannya.
“Saya juga gembira terdapat keyakinan tinggi dalam rakyat Singapura terhadap tugas pegawai CPIB. Saya pasti penghargaan ini akan terus mendorong kami dalam tugasan ini,” katanya.
