Pegawai MFA harungi cabaran demi bawa keluar rakyat S’pura dari zon konflik dengan selamat
Pegawai MFA harungi cabaran demi bawa keluar rakyat S’pura dari zon konflik dengan selamat
Anggota pasukan respons konsular tungkus lumus bantu warga pulang dari zon konflik di Timur Tengah
Di sebalik kejayaan setiap operasi pemindahan rakyat Singapura dari zon berisiko, terletaknya kisah pengorbanan dan ketabahan para pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang menjadi “tulang belakang” operasi.
Antara mereka ialah anggota pasukan respons konsular, Encik Muhamad Faizal Abdul Rahim, yang terlibat dalam operasi penghantaran balik rakyat Singapura dari Jeddah, Arab Saudi.
Beliau telah menempuh perjalanan selama 26 jam mengikuti pelajar Singapura menaiki bas dari Amman, Jordan, ke Jeddah supaya mereka dapat menaiki pesawat pulang ke Singapura dengan selamat.
“Perjalanannya mengambil masa selama 26 jam, namun kami gembira kerana para pelajar telah tiba dengan selamat, dan ia memberi mereka peluang untuk kembali kepada keluarga mereka,” kata beliau.
Encik Faizal merupakan antara pegawai MFA yang bertungkus lumus membantu rakyat Singapura di rantau Timur Tengah kembali ke tanah air di tengah-tengah perang antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran yang sedang berlaku kini.
MFA telah berkongsi dengan pihak media, rakaman melibatkan beberapa pegawainya yang menyingkap pengalaman dan cabaran mereka dalam merancang dan menyelaraskan operasi penghantaran balik tersebut dan juga perasaan mereka membantu rakyat Singapura dan keluarga mereka.
Singapura telah menyediakan empat penerbangan penghantaran pulang khas bagi lebih 600 rakyat Singapura dan anggota keluarga mereka dari Timur Tengah sejauh ini.
Ia melibatkan kedua-dua pesawat komersial Singapore Airlines (SIA) dan pesawat tentera Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
SIA mengendalikan dua penerbangan pertama dari Muscat, Oman – yang pertama membawa pulang 152 rakyat Singapura dan keluarga mereka pada 7 Mac, dan yang kedua pula membawa 167 penumpang pada 8 Mac.
Lagi 218 rakyat Singapura dan keluarga mereka pulang ke tanah air pada 11 Mac menaiki pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 RSAF dari Riyadh, Arab Saudi.
Terkini, 81 rakyat Singapura dan keluarga mereka selamat kembali ke negara ini pada 13 Mac menaiki pesawat MRTT A330 RSAF dari Jeddah.
Menceritakan cabaran yang dihadapi, anggota pasukan respons konsular, Encik Supramaniam Ganesan, yang terlibat dalam operasi penghantaran balik di Muscat, berkata banyak penyelarasan perlu dilakukan dalam masa terhad dan dengan sumber yang terbatas.
“Kami cuba selesaikan banyak perkara semasa kami sedang bergerak dan dalam perjalanan. Ini bukan keadaan biasa.
“Kami tak ada masa nak buka komputer riba dan berfikir panjang.
“Kadangkala, kami hanya hantar pesanan ringkas kepada rakyat Singapura kami, WhatsApp mereka, dan berikan maklumat yang diperlukan supaya mereka semua sempat mengejar penerbangan esok,” kata beliau.
Sementara itu, Encik Michael Lim, yang terlibat dalam operasi di Riyadh, berkata beliau dan pasukan respons konsular berusaha memindahkan sekumpulan rakyat Singapura dari Qatar dan Bahrain dengan selamat dengan menaiki bas ke Riyadh bagi menaiki penerbangan pulang ke tanah air.
Berkongsi pengalamannya memindahkan rakyat Singapura dari Bahrain ke Arab Saudi, beliau berkata:
“Keadaan agak membimbangkan kerana sebaik sahaja kami tiba (di sempadan Bahrain), kami menerima beberapa pemberitahuan di telefon bimbit yang menunjukkan adanya bahaya tertentu, amaran, dan bunyi siren... tetapi sebaik berada di sana, kami cuba untuk kekal tenang.
“Kami mengumpulkan rakyat Singapura tersebut dan menguruskan proses melintasi sempadan kembali ke Arab Saudi, yang melibatkan pemeriksaan pasport serta kastam.
“Semasa proses itu, saya rasa amat bersyukur kerana pernah mempelajari bahasa Arab semasa menetap di sini sebelum ini.
“Saya berterima kasih kerana kebolehan itu membolehkan saya membantu urusan rakyat Singapura bagi pemeriksaan pasport dan kastam, bagi memastikan mereka dapat merentasi sempadan dari Bahrain ke Riyadh dengan selamat.”

