Syukur, dakapan mesra keluarga sambut ketibaan warga S’pura dari Riyadh
Syukur, dakapan mesra keluarga sambut ketibaan warga S’pura dari Riyadh
Zaqy: Dengan situasi konflik Timur Tengah kian genting, SAF sentiasa ingin bantu, lindungi warga S’pura terkandas
Suasana di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi lebih riuh daripada biasa pada dinihari 11 Mac dengan kepulangan 218 warga Singapura dan keluarga mereka yang terkandas di Timur Tengah ekoran perang antara Iran dengan Israel/Amerika Syarikat.
Dakapan rindu mengisi ruang legar Balai Ketibaan T2 setelah ketibaan mereka disambut anggota keluarga dan sahabat handai – kegirangan dan tangisan kegembiraan jelas terpancar pada wajah masing-masing.
Kegirangan sedemikian jelas terpancar di wajah Cik Nur Fadliah Kamis sekeluarga selepas mereka melalui tempoh ketidaktentuan menyusuli konflik yang berlaku di Timur Tengah.
Ini sekali gus memaksa mereka mencari penyelesaian segera untuk pulang ke tanah air, ujar suri rumah berusia 39 tahun itu.
Beliau pulang ke Singapura bersama suami, Encik Mohamed Abbas Abdul Kader, dan dua anak kecil mereka yang berusia dua dan lima tahun.
Mereka merupakan individu yang pulang ke negara ini dengan menaiki pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Penerbangan khas penghantaran pulang dengan kod penerbangan SAF12 itu berlepas dari Riyadh sekitar 5.30 petang (waktu tempatan) pada 10 Mac dan mendarat di Lapangan Terbang Changi sekitar 6 pagi pada 11 Mac.
Ini merupakan penerbangan pulang ketiga yang dilaksanakan oleh Singapura dalam usahanya membawa pulang rakyat Singapura yang terjejas dek konflik Israel/Amerika dengan Iran dan menggugat rantau Timur Tengah.
Ia diaturkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) bagi memenuhi permintaan warga Singapura di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi untuk pulang, di tengah-tengah penutupan ruang udara banyak negara Timur Tengah.
Hadir untuk menyambut ketibaan penumpang ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Berkongsi kepada media sebelum bertemu penumpang di T2, Encik Zaqy berkata situasi di Timur Tengah semakin genting dan memerlukan pemerintah melancarkan penerbangan penghantaran pulang bagi membantu warga Singapura yang terkandas.
Beliau berkata usaha ini amat penting kerana ia menunjukkan pemerintah dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) “sentiasa ingin membantu dan melindungi warga Singapura, walaupun ia terjadi di Timur Tengah”.
“Ini satu kepastian yang ingin diberikan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, (melalui usaha) penerbangan penghantaran pulang sedemikian,” ujarnya, sambil menambah penerbangan penghantaran pulang kedua menggunakan pesawat MRTT RSAF akan diusahakan pada 12 Mac.
Dalam kenyataan bersama MFA dan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 11 Mac, pesawat MRTT RSAF tersebut akan dikerahkan ke Jeddah, Arab Saudi, atas kegunaan operasi penerbangan pulang semata.
Dalam pada itu, Cik Nur Fadliah – yang sudah menetap di Wilayah Timur Saudi selama sembilan bulan untuk menemani suaminya atas urusan kerja – berkata keluarga beliau seharusnya berangkat pulang ke Singapura pada 17 Mac melalui syarikat penerbangan Etihad.
Ini secara umumnya melibatkan perhentian di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), dahulu sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.
Disebabkan peperangan yang tercetus di Timur Tengah sejak 28 Februari, ruang udara bagi kebanyakan negara terbabit, termasuk UAE, masih ditutup atau beroperasi secara terhad.
Beliau berkata: “Saya sebenarnya sudah mula pasrah, saya mungkin perlu raikan Hari Raya di Wilayah Timur Saudi, berjauhan dari keluarga di Singapura buat kali pertama tahun ini (2026).
“Apa tidaknya? Kami dah buat rancangan awal sejak Disember 2025 untuk pulang pada 17 Mac.
“Jadi apabila konflik tercetus pada hujung Februari, kami semakin khuatir kerana perlu buat rancangan lain.”
Menurutnya, beliau sekeluarga perlu menempuh perjalanan darat selama lebih kurang lima jam dari tempat beliau menetap, sebelum tiba di Riyadh sebagai persediaan penerbangan pulang ke Singapura.
Perjalanan lama ini turut dirasakan Encik Wan Nordin, penduduk tetap Singapura dengan kerakyatan Malaysia yang bekerja sebagai perunding sumber manusia di Doha, Qatar.
Menurutnya, beliau perlu meredah perjalanan darat lebih kurang tujuh jam dengan menaiki bas, seperti yang diaturkan dari Kedutaan Singapura di Doha, sebelum tiba di Riyadh.
Encik Wan berkata konflik itu merupakan satu “situasi luar biasa” dan penuh dengan ketidaktentuan.
Bahkan, beliau sendiri pernah beberapa kali mendengar letupan hasil serangan Iran ke atas sasaran di Qatar, yang meledak tidak jauh dari kawasan tempat tinggalnya.
Katanya: “Tidak pernah kami alami suasana seperti ini. Sangat tegang, penuh dengan panik dan ketidakpastian.
“Jadi memang dari awal sudah penuh dengan ketakutan dan ketidakpastian.”
Lantaran itu, dakapan erat bersama kakak sulungnya, Cik Nor Fadilah Nordin, 36 tahun, yang hadir untuk menyambut adik bongsu tersayang, lebih terasa.
Apatah lagi Encik Wan merupakan satu-satunya anak lelaki dalam kalangan tiga beradik.
Tidak ingin melepaskan peluang, Cik Nor Fadilah tiba di lapangan terbang sejak 4 pagi selepas merentas seberang Tambak dengan menaiki kereta.
Warga Malaysia yang menetap di Johor Bahru itu berkata: “Adik saya ini satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Ayah kami dah tiada.
“Beliau dihantar ke Doha, Qatar, lebih kurang dua tahun lalu untuk kerja dan tinggal berseorangan.
“Paling bimbang adalah mak. Sampai sekarang mak susah tidur kerana takut tentang keselamatan adik.”
Oleh demikian, beliau sangat terharu dan bersyukur adiknya kini kembali ke pangkuan keluarga.
Bagi Encik Rudyanto Mohamed Talib pula, beliau agak resah kerana jadual penerbangan asal beliau telah dibatalkan beberapa kali dan tiada kata putus atau sebarang pengesahan diberikan untuk penerbangan pulang ke Singapura.
Juruteknik akses tali bagi salah satu syarikat minyak Arab Saudi itu menjelaskan beliau sepatutnya pulang minggu lalu setelah bertugas di sana selama lebih kurang tiga bulan.
Beliau, yang berusia 43 tahun, berkata: “Syarikat dah buat tempahan tiket penerbangan, tetapi pihak berkuasa membatalkan penerbangan (atas sebab keselamatan).”
Isterinya, Cik Nursila Adam, 39 tahun, peniaga dari rumah, cukup bimbang tentang tahap keselamatan Encik Rudyanto dek peristiwa ini. Mereka telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.
Beliau menambah angkara konflik Timur Tengah, pasangan itu sering bertanya khabar menerusi panggilan video setiap hari, ada kalanya lebih sekali sehari.
“Apabila saya dapat tahu konflik ini melanda Timur Tengah, terdetik persoalan dalam diri saya, ‘Boleh ke suami saya pulang sebelum Raya?’
“Saya sangat bersyukur dapat berjumpa dengan suami saya lagi,” ujarnya, yang kelihatan lesu setelah menunggu ketibaan suami tersayang di T2 sejak 2 pagi.
Justeru, apabila muncul peluang untuk pulang ke Singapura melalui penerbangan penghantaran pulang aturan MFA, Encik Rudyanto berkata majikan menggalakkan dan menggesanya untuk pulang dan tidak meragukan status kerjanya.
Gesaan serupa turut dibuat oleh majikan Encik Mohamad Esa Rahmad, yang telah menetap di Jubail, Arab Saudi – terletak dalam jarak pemanduan sekitar lima jam timur dari Riyadh – selama lebih 10 tahun.
Encik Esa, 59 tahun, yang bekerja sebagai pakar kecekapan perkilangan, pulang ke Singapura bersama isteri, Cik Mastura Muhamad, dengan disambut kakaknya, Cik Ruzaimah Rahmad.
Menurutnya, majikan beliau menggesanya pulang dan berada di samping keluarga.
Beliau berkata: “Saya rasa tahun ini (2026), saya banyak ulang-alik ke Singapura berbanding tahun-tahun sebelum ini. Biasanya saya pulang lebih kurang empat kali dalam setahun.
“Insya-Allah, saya berharap keadaan tidak berlarutan dan situasi di Timur Tengah tidak bertambah parah dan kami dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala.”

