Sukan kanu Singapura digemparkan dengan kontroversi menjelang Sukan SEA 2025 yang bakal berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Thailand, selepas timbul dakwaan bahawa seorang bekas pegawai kanan telah menawarkan rasuah kepada atlet negara untuk menarik diri daripada acara tersebut.
Bekas pegawai daripada Persekutuan Kanu Singapura (SCF) itu telah mendekati seorang atlet yang merupakan sebahagian daripada pasukan 14 orang bagi Sukan SEA 2025 dengan satu cadangan pada awal Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Dia didakwa menawarkan wang antara $50,000 dengan $60,000 kepada atlet tersebut untuk menarik diri daripada acara Sukan SEA 2025 bagi memberi peluang kepada atlet lain menggantikan tempatnya.
Menurut sumber, bekas pegawai tersebut diarahkan berbuat demikian oleh seorang lagi bekas pegawai kanan daripada persekutuan tersebut.
Apabila atlet itu menolak, bekas pegawai pertama itu didakwa cuba menawarkan insentif yang sama kepada seorang lagi anggota pasukan, yang turut menolaknya.
Seorang individu yang mengetahui kejadian tersebut memberitahu ST bahawa beliau “sangat terkejut” dengan jumlah wang yang ditawarkan.
Kejadian tersebut didedahkan pada Ogos apabila satu aduan dibuat kepada SCF.
Menurut SCF, pihaknya telah menyiasat perkara itu apabila dakwaan tersebut diketahui.
“Siasatan mendapati ia adalah satu salah faham dan tiada niat jahat. SCF mengekalkan dasar toleransi sifar terhadap kelakuan tidak beretika,” kata jurucakapnya.
“Sebagai komitmen terhadap ketelusan, SCF sedang menjalankan semakan bebas terhadap proses siasatannya dengan nasihat Majlis Sukan Singapura (SportSG) untuk memastikan kebertanggungjawapan dan tadbir urus yang baik.”
“Pasukan Sukan SEA telah dipilih mengikut dasar pemilihan yang telah ditetapkan dan diumumkan pada 27 Ogos.”
Kededua pegawai tersebut tidak lagi berada dalam SCF dan tidak hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persekutuan pada 27 September ketika pemilihan jawatankuasa eksekutif baru berlangsung.
Anggota SCF yang hadir di AGM enggan mengulas mengenai kejadian itu, sementara kededua bekas pegawai tersebut tidak memberi sebarang respons apabila diminta memberi komen.
Jurucakap bagi badan pengelola negara SportSG berkata:
“SportSG mengambil serius isu yang melibatkan integriti dan kesejahteraan masyarakat sukan, dan tidak akan teragak-agak melaporkan salah laku kepada pihak berkuasa.
“Kami sedar SCF telah selesai menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Memandangkan kepentingan kes ini, SportSG meminta SCF menubuhkan jawatankuasa bebas untuk semakan proses siasatan dan mengukuhkan tadbir urus.
“Kami juga bekerjasama dengan jawatankuasa SCF yang baru untuk memastikan atlet TeamSG yang dipilih untuk Sukan SEA 2025 terus mendapat sokongan dalam latihan dan persediaan mereka.”
Kejadian terbaru itu berlaku selepas beberapa kontroversi dalam sukan Singapura.
Pada Mac, SportSG membuat laporan polis selepas siasatan mendapati Persekutuan Sukan Selam Singapura (SUF) mengemukakan keputusan palsu untuk acara renang berganti-ganti 4x200 meter wanita semasa pemilihan untuk Sukan SEA 2023.
Pada Ogos, sembilan pemain bola keranjang ditangkap oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) kerana disyaki terlibat dalam pengaturan perlawanan di Liga Bola Keranjang Nasional (NBL).
Antara yang ditangkap adalah pemain daripada pasukan yang bertanding.
Pada September, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Kriket Singapura, Saad Khan Janjua, digantung setahun daripada tugas latihan oleh SportSG selepas aduan penderaan lisan oleh pemain.
Beliau juga “digantung daripada peranannya sebagai pentadbir sukan, tertakluk kepada penyelesaian program pendidikan”.
Namun, hukuman itu mendapat kecaman beberapa pemain yang berasakan ia terlalu ringan dan meninggalkan pemain kecewa dengan sistem yang sepatutnya melindungi mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg