Seorang pengurus kemudahan sekolah dikatakan menerima rasuah lebih $67,000 dengan membenarkan tiga individu meneruskan perniagaan mereka dengan sekolah tersebut.
Lelaki berusia 58 tahun itu dituduh menerima rasuah dalam 31 kejadian berasingan sepanjang hampir lima tahun, dari Februari 2018 hingga Januari 2023.
Pada masa kesalahan itu, Ng Cher Him, bekerja sebagai pengurus kemudahan di Institusi St Joseph (SJI).
Pada 18 September, Ng menghadapi sembilan pertuduhan – enam pertuduhan rasuah kerana mendapatkan atau menerima rasuah daripada orang lain dalam peranannya sebagai pengurus kemudahan SJI, dan tiga pertuduhan kerana mengelirukan sekolah tersebut dengan memberi harga palsu.
Ng dituduh menerima rasuah berjumlah $24,820 daripada pengurus jualan di syarikat pembinaan FB Services, Renee Song Mui Kuan, sebanyak 12 kali dari 2018 hingga 2020.
Ia dikatakan adalah ganjaran Ng kerana membenarkan syarikat Song meneruskan perniagaannya dengan SJI, lapor The Straits Times (ST)
Dia juga dikatakan menerima lagi $34,780 daripada Song dalam 13 kejadian lain antara 2020 dengan 2023 di bawah aturan yang sama.
Song, 53 tahun, menghadapi empat pertuduhan pada 18 September kerana dikatakan memberi rasuah kepada Ng bagi memajukan perniagaan syarikatnya dengan SJI.
Ng turut dituduh menerima rasuah sebanyak $5,000 daripada pengarah syarikat alat hawa dingin, EuconAir Services, Ooi Kim Wei, sekali antara Januari 2021 dengan Februari 2021.
Pada 18 September, Ooi, 48 tahun, dikenakan satu pertuduhan kerana dikatakan memberi rasuah kepada Ng sebagai ganjaran bagi meneruskan perniagaan syarikatnya dengan SJI.
Dalam pada itu, Ng juga dituduh menerima sekurang-kurangnya $2,500 daripada pengarah di firma sekuriti Integrated Security Solution Asia Pacific, Margaret Chin Lee Lan.
Dia dikatakan menerima wang tersebut daripada wanita berusia 71 tahun itu sebanyak lima kali antara 2020 dengan 2022.
Ng dan Chin turut dituduh bersubahat untuk menyediakan satu set sebut harga palsu, sebanyak enam kali pada 2019 dan 2020, bagi pembekalan dan pemasangan sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekolah, untuk mengelirukan SJI supaya menerima aturan tersebut.
Pada 18 September, Chin menghadapi empat pertuduhan, antara lain, kerana dikatakan memberi rasuah kepada Ng bagi memajukan perniagaan syarikatnya dengan SJI.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg