Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: SAF kukuh dan berkesan, polisi insurans paling penting bagi S’pura

Walau S’pura terhindar daripada konflik, harus bersedia dari segi mental untuk sebarang kemungkinan
Aug 27, 2024 | 6:37 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berlari bersama rekrut Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) di Tekong pada 27 Ogos. Mengiringi beliau ialah Komander BMTC, Kolonel Muhammad Helmi Khaswan
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berlari bersama rekrut Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) di Tekong pada 27 Ogos. Mengiringi beliau ialah Komander BMTC, Kolonel Muhammad Helmi Khaswan - The Straits Times

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang kukuh dan berkesan adalah polisi insurans paling penting bagi Singapura, di tengah-tengah dunia yang semakin bergejolak, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.

Bercakap dalam lawatan pertamanya ke Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC) di Pulau Tekong sebagai Perdana Menteri pada 27 Ogos, Encik Wong berkata dalam dunia yang semakin berbahaya dan tidak menentu, konflik bersenjata boleh dilihat tercetus di pelbagai tempat.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) di BMTC di Pulau Tekong, Encik Wong berkata: “(Kita) bernasib baik bahagian dunia ini, di Asia Tenggara, kita telah terhindar. Kita tidak mempunyai konflik di bahagian dunia ini. Tetapi kita harus bersedia dari segi mental untuk sebarang kemungkinan.

“Dan itulah sebabnya dengan adanya pasukan SAF dan Home Team yang kuat serta berkesan, ia sangat penting untuk Singapura.”

Pada lawatannya ke Pulau Tekong, beliau diiringi Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Panglima Tentera Darat SAF, Mejar Jeneral David Neo.

Encik Wong menyertai sekitar 420 rekrut, serta jurulatih dan kakitangan BMTC untuk larian 1.8 kilometer selepas pengawal istiadat seramai 24 orang askar menyambut kedatangannya.

Encik Wong turut berucap kepada mereka selepas larian dan berkongsi bahawa tulang belakang kepada SAF yang lebih kukuh dan berkesan adalah Perkhidmatan Negara (NS).

“Setiap generasi rakyat Singapura telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Negara dan kini giliran anda.

“Terima kasih kerana melangkah ke hadapan dan membuat sumbangan dan pengorbanan ini kepada Singapura,” kata beliau.

Menurutnya, pemerintah akan terus melakukan pelaburan besar ke dalam SAF dan Home Team dan menyifatkan pelaburan ini sebagai “polisi insurans yang paling penting bagi Singapura kerana inilah yang membolehkan kita menjaga keamanan dan kestabilan kita”.

Encik Wong menambah bahawa kaedah latihan askar telah berkembang saban tahun dan ia kini lebih berasaskan sains.

“Kami menggunakan teknologi dan penyelesaian baru serta menyokong askar melalui program latihan. Ia lebih berkaedah dan sistematik, dan kami tidak menjejas piawaian latihan.

“Kami masih mahu memastikan bahawa mereka memenuhi semua tahap latihan yang diperlukan.

“Saya gembira melihat kaedah baru, dengan bantuan teknologi baru dan penyelesaian baru, telah membawa kepada hasil yang lebih baik kerana askar dapat menjadi lebih cergas dan mereka mampu menyumbang sebagai sebahagian daripada pasukan pejuang yang berkesan,” ujar Encik Wong.

Walaupun dengan naik taraf serta transformasi yang sedang berlaku, beliau berkata bahawa keselamatan askar tetap menjadi keutamaan mereka.

Ketika pergaulannya bersama beberapa rekrut di Pulau Tekong, beliau dapat melihat keyakinan yang kuat dalam diri mereka untuk melangkah ke hadapan, berlatih bersungguh-sungguh dan melakukan bahagian mereka untuk mempertahankan Singapura.

Encik Wong sempat berkongsi pengalaman Perkhidmatan Negara (NS) beliau di Pulau Tekong pada 1991.

“Apabila saya sertai BMT, saya seorang yang tidak cergas. Saya tidak fokus untuk bersenam di sekolah tetapi BMT mencabar had saya sendiri. Sekolah Pegawai Kadet (OCS) pula mencabar had saya dengan lebih jauh. SAF merupakan jurulatih kecergasan terbaik untuk saya.

“Saya tidak pernah tahu saya boleh melakukan sesuatu seperti itu tetapi dengan beberapa latihan, anda boleh mendorong diri sendiri.

“Tiada apa yang akan mengganggu saya pada masa hadapan kerana saya telah melalui latihan seperti ini dan walaupun kesukaran bakal timbul pada masa hadapan, saya akan bangkit dan saya akan terus melakukan yang lebih baik,” ujar Encik Wong.

Beliau mengalu-alukan sokongan yang kuat dapat dikekalkan buat perkhidmatan negara supaya dapat memastikan Singapura kekal sebagai mercu tanda keamanan dan kestabilan walaupun dalam dunia yang tidak menentu dan bergolak.

(Kita) bernasib baik bahagian dunia ini, di Asia Tenggara, kita telah terhindar. Kita tidak mempunyai konflik di bahagian dunia ini. Tetapi kita harus bersedia dari segi mental untuk sebarang kemungkinan. Dan itulah sebabnya dengan adanya pasukan SAF dan Home Team yang kuat serta berkesan, ia sangat penting untuk Singapura.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg