Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai teknikal SP Group pastikan loji penyejuk beroperasi dengan baik bagi penduduk Tengah
Pegawai teknikal SP Group pastikan loji penyejuk beroperasi dengan baik bagi penduduk Tengah
SP Group sedia khidmat penyelenggaraan percuma bagi sistem penyejukan terpusat selama tiga tahun dengan pakej ‘MyTengah Care+’
Pegawai teknikal SP Group pastikan loji penyejuk beroperasi dengan baik bagi penduduk Tengah
Satu amaran berkelip pada papan pemuka pemantauan di bilik kawalan - menandakan sedikit turun naik dalam kadar aliran air di salah sebuah loji penyejukan sistem penyejukan terpusat (CCS) yang membekalkan perkhidmatan kepada penduduk di Tengah.
Dalam beberapa minit, Encik Ariff Shah Mohamed Azhar, 52 tahun, pegawai teknikal utama kanan SP Group, segera meneliti bacaan sistem dan menilai keadaan tersebut. Lalu, beliau mengarahkan pasukannya mengenai tindak balas terbaik serta menentukan sama ada sistem perlu distabilkan dari jauh atau jurutera dihantar untuk menjalankan pemeriksaan fizikal di loji penyejukan di atas bumbung flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tengah.
Tindakan pantas sebegitu merupakan antara langkah pencegahan yang dilaksanakan SP Group bagi memastikan operasi CCS terus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan – satu usaha berterusan yang sering tidak disedari penduduk.
Semua ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab harian Encik Ariff Shah dalam memastikan loji penyejukan beroperasi secara optimum, serta suhu dan aliran air dingin yang dibekalkan kepada pelanggan kekal stabil dan memuaskan.
Sebahagian besar tugas Encik Ariff Shah dilaksanakan di balik tabir.
Pantauan 24 jam sehari
Dari bilik kawalan pusat, beliau bersama pasukan operasi memantau prestasi loji 24 jam sehari, sambil menganalisis data melibatkan aliran, tekanan dan suhu air bagi setiap kawasan serta blok di Tengah.
Sistem penggera automatik berfungsi mengesan lebih awal sebarang masalah yang mungkin berlaku, sekali gus membolehkan pasukan CCS melakukan pelarasan segera atau mengarahkan jurutera bertindak bagi menyelesaikan masalah serta mengoptimumkan operasi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Walaupun sistem CCS boleh dikendalikan dari jauh, dalam keadaan tertentu, Encik Ariff Shah tetap perlu menghantar jurutera ke lokasi, khususnya ke bumbung blok HDB di Tengah, bagi melaras peralatan atau menjalankan kerja pembaikan.
Di Tengah, loji penyejukan ditempatkan di bumbung beberapa blok HDB terpilih, dan jurutera menjalankan penyelenggaraan berkala setiap bulan terhadap peralatan kritikal seperti penyejuk dan pam.
“Namun, dengan reka bentuk modular CCS yang saling terhubung, beban operasi dapat dibahagikan dengan cekap merentasi blok HDB dan kemudahan awam.
“Ini memastikan bekalan tidak terganggu walaupun salah satu loji sedang menjalani penyelenggaraan,” kata Encik Ariff Shah, yang mengetuai sebuah pasukan seramai 21 kakitangan operasi.
Selain itu, beliau turut bekerjasama rapat dengan pasukan sokongan lain dalam SP Group, termasuk duta kemampanan dan pasukan pelibatan penduduk.
Tengah merupakan estet HDB pertama yang menyediakan sistem penyejukan terpusat sebagai pilihan kepada pemilik rumah.
Dikendalikan oleh SP Group, CCS menjadi antara ciri utama yang menyokong visi Tengah sebagai sebuah bandar pintar dan mampan.
Berbeza daripada penghawa dingin konvensional yang menggunakan pemampat luar dan bahan penyejuk, CCS memanfaatkan air sejuk untuk menyingkirkan haba.
Penyejuk terpusat di atas bumbung blok menghasilkan air dingin yang kemudian disalur terus ke kediaman penduduk.
Menurut jurucakap SP Group, sistem itu sekitar 30 peratus lebih cekap tenaga.
Selain itu, penggunaan bahan pendingin yang lebih rendah turut membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, sekali gus menjadikannya pilihan yang lebih mesra alam.
Sehingga Mac 2026, lebih 7,500 isi rumah di Tengah telah mendaftar untuk menggunakan sistem CCS.
Beri ketenangan
Dengan semakin ramai pemilik rumah mula berpindah ke flat di Tengah, Encik Ariff Shah, yang menyelenggara sistem CCS sejak kelompok flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama di Tengah disiapkan pada 2023, memberi jaminan bahawa isu awal seperti kebocoran dan pemeluwapan (kondensasi) kini telah ditangani.
“Oleh kerana sistem CCS dipasang dalam tempoh yang agak suntuk disebabkan kelewatan akibat pandemik Covid-19, ia menyumbang kepada beberapa isu berkaitan mutu pemasangan CCS. Masalah kebocoran dikenal pasti berpunca daripada sambungan-T brass – aloi tembaga dan zink – yang terlalu ketat hingga menyebabkan retakan akibat pengembangan dan pengecutan dalam persekitaran dalaman flat.
“SP Group telah mengambil langkah proaktif dengan menggantikan sambungan-T brass kepada jenis besi bergalvani. Kawalan mutu turut diperketat, di samping penambahbaikan bahan seperti penebat,” jelas Encik Ariff Shah.
“Sehingga September 2025, sebanyak 95 peratus isi rumah yang menggunakan sambungan-T brass telah digantikan dengan sambungan besi bergalvani,” kata Encik Ariff Shah.
Seorang penduduk Tengah, Muhammad Hairi Ahmad, seorang jurulatih berusia 34 tahun, memilih menggunakan khidmat CCS bagi menyokong usaha kelestarian atau kemampanan.
Beliau layak menerima khidmat penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.
Sejak berpindah masuk, beliau telah menggunakan perkhidmatan penyelenggaraan CCS pada Januari 2026.
“Teknisyen CCS telah memeriksa unit gegelung kipas, paip dan penyaluran CCS untuk memastikan sistem CCS berfungsi dengan baik. Kerja dilakukan dengan kemas walaupun hanya dilakukan oleh seorang teknisyen,” kata Encik Hairi.
Beliau menambah: “Bagi saya, CCS lebih murah daripada alat hawa dingin konvensional. Di rumah tiga bilik ibu saya, kami memasang hawa dingin setiap hari. Bil utiliti, termasuk air dan elektrik, tidak termasuk gas, berjumlah lebih $200 sebulan. Saya menghidupkan alat hawa dingin setiap hari di flat lima bilik saya, tetapi bil utiliti saya, termasuk elektrik, air dan gas, berjumlah sekitar $120 hingga $140 sebulan.”
“Untuk penyelenggaraan CCS, saya boleh hubungi SP Group. Ia juga menyokong usaha kemampanan.”
Bagi Encik Ariff Shah, pelaksanaan CCS di Tengah merupakan satu proses pembelajaran berterusan, termasuk dalam aspek berinteraksi dengan penduduk berkaitan kerja penyelenggaraan.
SP Group juga menyediakan pelan pembangunan bagi kakitangannya terus mempelajari teknologi baru serta meningkatkan kemahiran teknikal selaras dengan keperluan sistem tersebut.
Penyelenggaraan percuma
Pelanggan CCS turut menikmati pakej percuma ‘MyTengah Care+’, yang merangkumi jaminan mutu kerja selama tiga tahun bagi paip, penyaluran dan penebatan, selain khidmat penyelenggaraan unit gegelung kipas oleh SP Group sebanyak dua kali setahun.
Selepas tempoh itu, penduduk boleh memilih mendapatkan khidmat penyelenggaraan secara ad hoc mengikut keperluan.
SP Group turut menawarkan diskaun bagi unit gegelung kipas serta menyediakan khidmat pemasangan sebelum penduduk berpindah masuk ke kediaman mereka.
Memandangkan sistem penyejukan itu diurus oleh jurutera terlatih, penduduk tidak perlu bimbang tentang penyelenggaraan atau penggantian peralatan pada masa hadapan.
Layari laman web, https://bh.sg/tengah-ccs untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sistem penyejuk terpusat di Tengah.
Rencana ini dibawakan oleh:
